Showing posts with label Kisah harian. Show all posts
Showing posts with label Kisah harian. Show all posts

Friday, November 11, 2011

HARI MARAH SEDUNIA PUNAH TIBA-TIBA

Sejak akhir-akhir ini, aku mudah naik hangin. Marah tak semena-mena. Kadang-kadang tengok budak main bola kaki ayam pun spirit nak marah tu mencanak-canak naik. Tak tahu apa fasal. Nak cakap tak cukup makan, setiap kali masuk waktu makan tak pernah miss. (Kalau la solat aku pun macam tu, kan bagus :( ). Kalau nak kata tak cukup nafkah batin, ermm...aku rasa baru semalam dapat. Entah la.

Tapi tadi, baru kejap tadi, tahap menyirap aku dah naik mendadak. Aku menyampah pula bila orang sembang serius tapi guna bahasa budak-budak baru nak naik #BBNU. Bualan kami di medium Facebook Chat adalah lebih kurang gini.

Ros : iponee acu ilang
Aku : ilang katne?
Ros : ipone acu ilang hr ni. buda slongcar beg. ilang kat scool. duit acu pon ilang
Aku : hilang kat bilik guru?
Ros : x.. cat legaran
Aku : mcm mana bag kau bole ada kat legaran plak?
Ros : ye laa sbb acu cat situ... beg acu pun cat citu laaaaa
Aku : Cibai la. Kau bole eja betul-betul tak?
Ros : cau jgn la mrh acu, can phone acu baru ilang :( comp ni xde uruf cay la. ceyboard rosax :(

Krik.... Krik... Krik...

Aku : HAHAHAHAHAHAHAHAHAHA.

Monday, October 10, 2011

UPDATE DIRI SENDIRI

Dah lama dah tak update blog. Sibuk dengan kerjaya dan kerja sampingan serta hobi. Masalah peribadi pun iya juga.

Kerjaya aku pun macam biasa. Terumbang-ambing. Macam dulu-dulu. Rasa macam nak cari kerja baru sahaja. Jiwa dah kurang. Kerja sampingan takde la. Bila takde kerja sampingan, itu juga satu masalah. Umur dah meningkat, tak kan nak bergantung pada gaji kerja tetap sahaja, kan? 

Hobi. Mengarah filem pendek dah sampai tahap diskusi peringkat 1. Diskusi tentang jalan cerita. Pemilihan pelakon, lokasi penggambaran, prop, busana dan shoot-shoot yang cantik dan memberi ilham. Diskusi peringkat 2 akan berlangsung dalam hujung minggu ini atau minggu depan. Depend pada ketidaksibukkan pelakon dan kru. Peringkat ini lebih kepada penerangan kepada para pelakon dan kru yang terlibat tentang filem yang bakal dirakam nanti. Pembahagian tugas juga dibuat pada masa ini untuk mengelakkan pertindihan kerja. Projek ini projek indie. Kru datang dengan kerelaan. Aku tak paksa sebab kerja ini bukan ada gaji.

Oh ya. Projek ini dinamakan Projek Tahi Judi diusahakan di bawah produksi Kamikacak Production dan Gerila Marhaen : Filem Dari Rakyat.

Projek persendirian lain. Aku terpilih untuk menjadi penulis dalam buku terbitan Sindiket Soljah bertajuk Gasak. Buku bergenre gangsterism ini bakal siap bila semua penulis siap tulis. Tak usah ditanya lagi bila keluar. Tapi aku menjanjikan debaran. Hahaha. Tulis pun baru satu muka surat, dah janji yang bukan-bukan. Pui...


Monday, May 09, 2011

SEMPENA HARI IBU, SAYA QUOTE KATA-KATA INI.


"Perempuan datang dan pergi. Yang masih setia cuma satu, yang masih sudi menerima saya cuma satu, yang tak kisah bagaimana paras rupa dan taraf hidup cuma satu, yang percaya saya terbaik untuknya cuma satu, yang mungkin kekal bersamaku hingga akhir hanya cuma satu."

Selamat Hari Ibu.
- Nazri M. Annuar-
Penulis, Pengarah, Pencinta

Wednesday, April 13, 2011

TANYA SAMA HATI

Tanya sama hati, "Pernahkah merindu?". Ingat masa lena apa mimpimu. Masa berjauhan, apa nan dikenang. Bila difahamkan itulah sayang.

Tanya sama hati, "Apa asal sayang? Adakah tandanya nampak dipandang?". Kumbang rayu bunga, bulan dan bintangnya punya tanda-tanda hubungan mesra.

Belajar jaga hati sendiri sebelum sibuk-sibuk nak jaga hati orang lain.

Friday, March 18, 2011

KENTUT

Dulu masa aku studi di poli, budak rumah sewa aku kebanyakkannya datang dari Johor. Dan satu perangai budak-budak ini ialah suka kentut kuat-kuat. Serius punya kuat. Kentut jenis takde kaver-kaver punya. Siap boleh dijadikan permainan menyerupai kad poker. Kentut jenis takde bunyi dikira 3 diamond tapi kalau bau busuk dikira 3 spade. Kentut yang bunyi paling kuat dikira 2 diamond tapi kalau ada bau busuk paing kaw-kaw dikira 2 spade. Jenis tak boleh nak lawan.

Bila aku masuk kampus utara, aku juga berkawan dengan seorang budak Johor. Jenis suka kentut kuat-kuat. Sampai aku rasa terharu, ada juga member nak diajak kentut kuat-kuat. .Takde la malu sangat kalau nak kentut kuat-kuat. Jenis kentut lepas tu gelak kuat-kuat. Tak pun tak faham. Budak-budak lain jenis kentut sopan. Nak kentut pergi luar bilik ke, pergi bilik air ke. Tapi aku dengan budak Johor sorang ni memang bangga la kot dengan kentut kami.

Masuk zaman kerja, aku berkenalan dengan seorang budak Parit Raja. Masa aku pergi family day tempohari, perangai dia pun sama. Kentut jenis 2 spade lepas buat muka bangga dan tak rasa dia bersalah. Memang macam celaka juga.

Kesimpulan ringkas yang aku dapat buat, budak-budak Johor ni kebanyakkannya jenis tak makan saman bila masuk bab-bab kentut. Selamba badak kentut kuat-kuat. Ish, bukan sorang dua taw. Ramai.

Fuuu...

Sunday, March 06, 2011

SUMPAH INI KALI AKHIR AKU LEPAK HUJUNG MINGGU RUMAH SUNDANG SEBELUM DIA NIKAH MINGGU DEPAN. TAHNIAH.

Sumpah, ni kali last aku tidur rumah Sundang malam minggu. Telefon aku merayu suruh datang. Padahal nak minta tolong kemas barang BBQ. Siot betul.

Lepak dengan para perokok tegar malam itu membawa aku kepada satu cinta trilogi ada seorang brader sempoi ni. Sambil memasukkan 2 karton rokok putih jenis Marlboro hasil pembelian secara seludup, ke dalam keretanya. Tiba-tiba dengan ikhlas hati dia memulakan kisah cinta tragiknya.

Aku dulu masa bercinta awek aku ada tanya bila nak berhenti merokok, aku jawab la lepas bertunang. Kemudian lepas bertunang, dia tanya lagi, bila nak berhenti merokok, aku cakap lepas kahwin. Kali ni janji. Kemudian lepas kahwin, dia tanya lagi, bila nak berhenti merokok. Aku cakap kali ni memang betul punya promise, lepas dapat anak. Lepas anak aku dah umur 4 tahun ni, dia tanya lagi. Last-last aku mengaku je.

"Abang rasa abang tak boleh tinggalkan dia la. Sebab abang kenal dia dulu sebelum abang kenal ayang. Dia cinta pertama abang. Cinta pertama memang susah nak lupakan, kan?"

Last-last, bini aku dah malas nak tanya lagi. Mungkin dia berpendapat bahawa lebih bahawa lebih baik laki aku bercinta dengan rokok dari bercinta dengan perempuan garit.

Moral of the story : Bercinta dengan perempuan ke bercinta dengan rokok ka, bahaya tetap ada. Pandai-pandai la praktikkan 'Danger Management' yang korang pernah belajar dulu. Ada ke?

Friday, February 25, 2011

LEPAS USAHA KENA BERDOA

Ada satu malam, aku dok syok balas-balas mesej dengan seorang kawan perempuan yang sudah berkahwin. Masa tu boleh tahan suam-suam kuku dia punya malam. Kawan aku ni dulu aku tak berapa syok kalau nak borak peley sebab dia jenis skema. So, aku borak la style skema malam tu. Tiba-tiba esoknya, awal-awal pagi dalam pukul 6.30am, suami dia ada menyampuk dalam post yang berkenaan.

Aku : Awal bang bangun? Baru balik kerja ke?(Suami dia seorang polis)

Selang 30 minit, kawan aku pula yang reply.

Pida : Dia baru lepas qiammulail la.
Aku : Amboi, rajinnya qiammulail.
Pida : Ye la, dah "kerja kuat" malam tadi, pagi ni kena la doa lebih skit.
Aku : Amboi, dah pandai borak lucah dah sekarang.
Pida : Ye la, malam semalam dah "usaha" lebih, lepas tu baru minta agar Allah kurniakan rezeki anak. Hehehe.
Aku : Pergh, lawak lucah macam ni yang aku hangin nak baca ni.

Mak ai, psiko kaw-kaw betul. Esok kena cari bini la.

Friday, November 12, 2010

PENGALAMAN BARU DENGAN BUKU CACA MARBA MAT JAN


Balik kerja semalam petang, sesampai aku di laman rumah, aku terus tuju peti pos. Dengan harapan buku Caca Marba Mat Jan dan buku Cerita Piala Dunia dah sampai. Tapi hampanya, peti pos kosong. Aku terus tuju ruang tamu.

"Mak!... Ooo.. Mak!" Aku jerit separuh suara, "Assalamualaikum!"

"Amende jerit-jerit masuk rumah ni?" Emak cuba nak marah aku tapi tak jadi sebab aku masuk rumah terus sengih-sengih.

"Ada surat along tak?" Aku tanya.

"Nuu..." Emak menjuihkan bibir ke arah meja kopi depan tivi 36 inci tapi bukan flat screen.

Aku terus meluru ke meja kopi. Buku dah terkeluar dari sampul surat. Aku lihat hujung sampul surat dah basah sebab kena air hujan. Aku sambung sengih-sengih tengok sampul surat. Aku pandang emak. Aku sengih-sengih lagi.

Emak yang sudah dapat mengagak maksud aku, tanpa banyak soal terus bersuara,

"Orang pandai tak cakap diri sendiri pandai, orang hensem tak cakap diri sendiri hensem."

Aku faham maksud emak. Tapi malas nak betah. Ah, dah memang aku kacak. Tak kan aku nak menafikan pula. Aku tak mahu bohong diri sendiri. Keh keh keh

***Caca Marba Mat Jan sesuai dibaca masa-masa tertentu sahaja. Tapi aku lebih gemar baca buku-buku kelakar dan kompak seperti ini ke bilik termenung. Dalam pada meneran, gelak-gelak pun okay juga.

Selain itu, ada juga info undang-undang di dalamnya. Tak dapat banyak, sikit pun jadi la.

Tapi edisi nak cukup kertas belakang sekali memang tak boleh blah. Kah kah kah. Aku harap brader Vovin tak ikut perangai Maharaja China tu okeh. Kah kah kah.

Hero taik kucing!

Monday, March 08, 2010

MELIHAT KEADILAN PADA RAGAM KANAK-KANAK

Lokasi : Hari Maulud Nabi peringkat taman perumahan.
Situasi : 2 budak tengah acuh tak acuh dengar penceramah bagi nasihat; seorang kurus dan seorang gemuk.

2 budak lelaki ini sedang sibuk-sibuk bergurau senda. Aku perhati saja dari jauh. Malas nak tunjuk garang walaupun aku jadi AJK Protokol dalam majlis itu. Gurau punya gurau. Bertepuk tampar sesama mereka. Gelak sana, gelak sini. Tapi yang paling liar aku perhati, si budak kurus itu-lah. Makin galak dia cucuk-cucuk perut member yang gemuk itu.

Makin si gemuk cakap jangan cucuk, eh makin dicucuk lagi. Siap ajak kawan-kawan lain gelak sakan pada si gemuk pula tu. Memang kecil-kecil lagi dah ada rupa penjahat. Dengan perasaan sabar yang tipis, si gemuk itu terus tepuk la kepala si kurus itu. Dan dan itu juga, dia punya meraung macam tak ingat yang dia baru lepas gelak sakan pada si gemuk. Si gemuk pun rasa bersalah.

Tiba-tiba ada seorang pakcik cuba campurtangan dalam pertelingkahan tadi. Konon nak jadi pelerai pergaduhan la tu.

Pakcik tu nasihat/marah pada si gemuk, "Awak tu badan besar. Kalau nak bergurau tu, agak-agak la."

Si gemuk cuba mempertahankan diri, "Dia yang cucuk-cucuk saya dulu."

Pakcik bertambah hangin bila si gemuk pandai menjawab, "Budak ini kalau cucuk pun, kuat mana la pun." Dengan nada yang tinggi.

Si kurus makin meraung-raung. Sakit macam kena inject BCG gamaknya.

Lepas itu, aku rasa macam nak kasi tempeleng satu das dekat sideburn pakcik itu. Dan juga si kurus itu.

Pada pandangan orang, kalau si gemuk yang pukul orang dikatakan si gemuk kaki pukul. Padahal, sebagai mekanisme mempertahankan diri sahaja. Tapi jika si gemuk menangis macam si kurus itu menangis dikatakan si gemuk ni, "Harap badan je besar tapi gembeng".

Macam mana tu? Adilkah?

Saturday, January 30, 2010

PASCA HARI PERKABUNGAN

Dalam masing-masing mempunyai niat tersendiri untuk bersama-sama beretika pakaian berkabung, masing-masing ada kesulitan sendiri untuk melengkapkan diri dengan etika pakaian tu. Maklum la, bukan tiap-tiap minggu perlu berkabung. Jadi, benda yang perlu disiapkan tak datang bergolek. Songkok, tudung putih, lilit songkok putih dan "arm-band" hitam & putih.

Mereka tetap bersungguh untuk menjayakannya walaupun...

1) Ada brader-brader keje-opis-pakai-baju-segak-segak yang pakai songkok dengan lilit putihnya diperbuat daripada potongan kertas A4 putih. Sempat juga aku temubual dengan salah seorang dari mereka.

"Opis aku rugi banyak A4 minggu ini. Aku je dah guna sehari 1 helai, 5 hari 5 helailah. Itu baru aku. Ko bayangkan opis aku tu ada dekat 50 orang yang pakai lilit putih [guna kertas A4] macam aku ni."

2) Mak guard-mak guard "free-hair" dekat opis aku ini pun ada cerita menarik untuk dikongsi bersama.

"Jenuh jugak akak selongkar gerobok cari tudung putih Ahad aritu. Jumpa tapi dah kena makan lipas. Pening jugak nak cari baru. Last-last akak kongsi dengan tudung sekolah anak akak."

3) Ada amoi opis aku ni pun, boleh tahan juga usaha dia untuk beretika pakaian kabung.

"Semalam i haa.... cari itu kain hitam untuk ikat tangan itu punya haa... talak jumpa. Last-last pagi ini, i punya mama suruh pakai "hair-band" hitam dia. Dia cakap boleh maaa...."


Bacaan doa lepas solat Jumaat pun dah berubah. Nasib baik tok imam tak tersasul. Boleh bikin bawaan mulut orang ramai juga kalau tok imam salah baca doa tu.

Tuesday, October 20, 2009

ADA MASALAH DENGAN NAMA SAYA?

Di sebuah klinik. Satu sesi pendaftaran pesakit sedang berlaku. Bau ubat yang berkeliaran memungkinkan aku jatuh sakit lebih daripada pesakit.

Nurse : Selamat datang encik. Pertama kali datang?
Aku : Ya.
Nurse : Sila isi borang ini dulu ye.

Nasib baik nurse tu body solid. Usai memberikan maklumat peribadi, aku serahkan kembali kepada nurse body solid itu.

Nurse : Encik, nama salah ni.
Aku : Awak ada masalah ke dengan nama saya?

Aku sedikit kecewa dengan sikap nurse tadi. Harap je body solid tapi otak udang. Tak kan la aku boleh tak ingat nama aku sendiri.

Nurse : Encik kena letak nama pesakit, bukan nama encik.

Astaghfirullah, aku lupa. Aku sengih dan ambil borang tadi semula. Aku "liquid-paper"kan ruang nama dan aku tulis semula nama selepas "liquid-paper" tadi kering.

"Comot Abu Lola" tercatat di ruangan nama.

Macam mana la aku boleh lupa. Aku hantar Comot jumpa doktor untuk rawat kakinya yang cedera, "jajan" dari kucing gangster hitam putih kat taman aku.

P/S : Comot kini tergolong dalam KKU (Kucing Kurang Upaya). Moga-moga dalam Belanjawan akan datang, KKU dapat sedikit insentif. Asal lepas duit ikan Comot, jadi la.

Friday, May 29, 2009

PESTA BUKU VERSI JOHOR BAHRU

Walaupun tidak-lah se-gah pesta buku Kuala Lumpur, tetapi boleh-lah. Dari takde.

Aku berjalan mengelilingi khemah moden itu. Terletak di kawasan taman Danga City Mall (Best World lama). Tidak banyak booth yang dibuka pada hari pertama. Lebih-lebih lagi pada waktu malam. Tentunya ramai peniaga yang sudah keletihan kerana menyediakan formasi susunan buku yang menangkap mata pengunjung.

Aku singgah di booth yang menjual produk "Ana Muslim". Produk ini agak popular bagi pelajar-pelajar IPT masa kini. Selain menjual kemeja T labuh dan berlengan panjang, rekaannya juga menarik. Sempat la juga belek-belek 2,3 produk untuk dijadikan bukti sokongan terhadap produk ini yang rata-ratanya mengajak kaum wanita untuk cenderung kepada menutup aurat. Produk lain seperti buku tulis, patch, batch dengan imej awek bertudung kiut miut. Sejuk je mata memandang.

Masa aku nak bayar di kaunter, awek tu cukup manis. Gigi putih, pipi bagai pauh di layang, kulit kuning langsat. Memang idaman ibu mertua la pendek kata. Tetapi sayang....

Walaupun ini booth produk "Ana Muslim", penjaga kaunter dan penolong jualan berpakaian macam tak berpakaian. Tak "in" langsung dengan tema produk. Pakcik-pakcik yang nak masuk booth bawa anak-anak pun kena pikir 2,3 kali. Ada makcik tu sampai cubit-cubit lengan pakcik yang asyik dok pejam celik pejam celik tak keruan.

Alahai.

Tuesday, May 19, 2009

KAD POS HIDUP DI NERAKA

Terima kasih kepada Tok Rimau kerana bakal mengeposkan aku poskad "Life In Hell" yang sendiri tidak tahu asalnya dari mana, apa isi kandungannya dan sehebat mana kad itu. Yang pastinya, jika poskad ini tiba di peti pos rumah aku, aku akan tabalkan bahawa poskad ini adalah poskad pertama yang aku terima selama aku pernah hidup di muka bumi ini.

Entri suka-suka yang aku buat, akhirnya melayakkan aku menerima poskad ini. Aish, rasa bangga pun iye. Aku menang. Hehehe.

Thanks anyway, Tok!

Entri kemenangan. Klik sini.

Monday, May 18, 2009

BUDAK

Semalam. Aku terserempak dengan seorang kawan zaman diploma dulu. Dia yang sudah berkahwin, bersama-sama dengan anak lelakinya yang berusia kira-kira 3 tahun. Juga bersama suaminya yang gagah.

Aku tegur. Sebagai seorang sahabat, bukan pemusnah rumahtangga. Selepas bersalaman lebih kurang dengan suaminya, aku salam dengan anaknya yang comel itu.

"Aiman, sini salam dengan Uncle Fikri." kata kawan aku tu.

Aku tersenyum sahaja melihat teletah anak kecil itu. Menggeletak hati bila dia lihat mamat besar nak salam dia. Takut bukan main. Tapi aku tak kesah. Dah biasa. Dulu, ada budak menangis tak henti-henti bila emak dia kata aku ni Bangla nak ambil dia sebab dia nakal.

Ceh!

Sebelum beredar, aku bisikkan sesuatu di telinga kawan aku.

"Rin, kau jangan ngajar anak kau panggil gua UNCLE. Panggil ABANG pun takpe. Gua bukan tua sangat pon."

Rin angguk tanda setuju. Muka terukir senyuman sinis. Aku tak kisah kalau orang kata aku besar, tapi aku pantang kalau orang panggil aku UNCLE. Gua bukan tua sangat pun.

Tuesday, March 10, 2009

BILA MIMPI JADI BERANI, AKU NAK SELALU MIMPI JE LA.

Sejak dua menjak, feel aku nak mengarang cerita terbantut. Macam-macam benda yang aku nak kena fikir. Tugasan akademik lagi, tempoh 30 dah nak tamat lagi, kes berangan nak bercinta lagi. Aha!

Dan kekadang buat aku terfikir yang ini adalah simptom-simptom pelajar semester akhir kot. Buat benda gila yang dahulunya tak terfikir nak buat. Dan kegilaan aku terkini adalah bergambar. Konon nak bergambar guna kamera mahal tapi tak mampu. So, pinjam kamera kompak kawan saja-lah!

Berjalan sekitar kampus. Dengan poket seluar jeans penuh dengan kamera, telefon bimbit, kunci bilik, kuaci dan duit syiling. Ada masa aku upload gambar. Sekarang tak de masa.

2,3 entri sebelum ini pun aku mengarut tak tentu hala. Asalkan terlintas, aku tulis. Konsikuensi letak belakang. Adoi!

Dan semalam ku bermimpi, aku jadi berani. Tanya dia pasal dia, "Dah berpunya ke belum?".

Tapi itu hanya dalam mimpi! Kenapa-lah mulut aku ini tak selancar bila berdepan secara realiti?

Oho!

Wednesday, February 11, 2009

BERITA BISNES : NATA DE DADIH TELAH MENEMBUSI PASARAN "SWEET CORNER"

Alhamdulillah. Hari ini merupakan hari bersejarah bagi kami (Pengurus Cawangan MISC, Petronas dan Proton) dan rakan kongsi kami kerana pasaran untuk produk kami, Nata De Dadih telah berjaya dipasarkan di "Sweet Corner" a.k.a tempat jual paper di hadapan FPK dan FE.

Tempat ini merupakan antara kedai jual paper yang paling lama di kawasan ini. Malah, mereka telah mempunyai pelanggan-pelanggan tetap dan rangkaian perniagaan yang luas. Maka, tanpa ragu-ragu kami cuba untuk memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan mereka.

Dan hari ini telah bermula. Bagi permulaan, kami bermula dengan stok dengan kadar sederhana iaitu sebanyak 24 cawan. Bukan kami tidak confident yang produk kami akan laku (kerana menghantar hanya 24 cawan), cuma hendak memberi ruang kepada peniaga dadih muda yang lain untuk membina empayar dadih mereka sendiri.

Kami tidak lihat ini sebagai suatu saingan 'membunuh'. Lebih kepada saingan sihat kerana rezeki tuhan apa salahnya kita sebar-sebarkan, ye tak?

Akhir kalam, kami menjemput para pelanggan untuk ke "Sweet Corner" jika ada kelapangan. Pusat jualan kami di MISC, Petronas, Proton dan kedai kerepek Mall masih beroperasi sepeti biasa.

Sokongan pelanggan yang jitu, membuatkan semangat kami meneruskan perniagaan bertambah-tambah walaupun hakikatnya, kami mempunyai jadual tugasan akademik yang ketat.

Terima kasih jutaannya.

Tuesday, February 10, 2009

ALIM-ALIM KUCING, ALIM LAGI COMOT

Toilet. Atau tandas dalam bahasa melayunya. Dan ada juga menggelarnya bilik termenung, bilik berehat dan sebagainya. Tandas awam 20 sen tetapi tandas awam kat Tasik Titiwangsa berdekatan dengan Eyes Of Malaysia berharga 50 sen (kalau tak silap).

Di rumah aku ada tiga tandas yang percuma. Aku selesa menggunakannya. Sebab percuma (sedangkan bapa aku bersusah bayar bil air tiap-tiap bulan). 2 di tingkat atas. 1 di tingkat bawah.

Di rumah aku, semua orang mula menggunakan tandas seawal umur 3 tahun. Kadang-kadang tu, adik terlupa. Susah nak bezakan tandas dan tilam kalau kita sedang tidur, katanya.

Cuma sekarang tinggal nak ajar 'adik bongsu' aku untuk gunakan tandas. Comot memang degil sikit. Memang dah tergambar masa ayah mula-mula jadikan dia 'anak angkat' dulu.

Nak kena bersepak, terajang, bantai baru dia faham nak guna tandas. Kalau takat bercakap, sampai berbuih mulut pun dia tak faham.

Satu hari ketika kami pulang dari menjelajah pantai timur, kami terus masuk rumah untuk menge'check' keadan Comot. Sehat ke dia, makan cukup ke tak, berak bersepah ke tak. Makan cukup, check! Sehat cukup, check! Berak cuk... err...err... Eh? Kat mana pula Comot ni berak? Biasanya dia berak kat tandas bawah tapi tiada kesan najis cair ataupun pepejal di sekitar kawasan dapur.

Kami dengan senang hati buat andaian yang Comot tak berak sepanjang kami menjelajah. Comot kan kucing baik.

Setelah pintu rumah di kunci dan keadaan di tingkat bawah rumah memuaskan, ayah mendahului ke tingkat atas. Tak sabar-sabar nak tidur. Tak semena-mena....

"COMOT!!!!" Ayah menjerit. Kami yang masih di bawah tersentak.

Rupa-rupanya Comot tak berak di tandas bawah sebab dia dah buat main dengan najis-najisnya di tandas tingkat atas dan kawasan sekitarnya. Habis lantai penuh dengan najis.

Cilakak Comot.

Malam itu, teruk juga Comot kena bantai.

*Get use to it Comot. Nak jadi anak ayah, biasa-biasakanlah badan kena bantai*

Thursday, January 22, 2009

TO THE BANJIRS


Sesekali aku menatap gambar-gambar jamuan tempoh hari, tiba-tiba juga kekreativitian aku memuncak.
Tengok banyak lagi di sini.

Monday, December 29, 2008

SELAMAT TAHUN BARU HIJRAH DAN MASIHI

"Aku tengok ramai orang pergi masjid tadi. Ada majlis apa kat masjid?" Tanya dia 1.

"Ahli nerakalah kamu wahai sahabatku, Hahahaha" Jawab dia 2.

Kepada korang yang tak tahu, kita dah masuk tahun baru islam 1430H dah. Mesti korang tak tahu, kan? Tu la sebab kau tak pergi masjid maghrib semalam untuk baru doa akhir tahun dan awal tahun. Bacaan doa akhir dan awal tahun pun korang tak tahu, kan? Sebab maghrib semalam mesti tengah baru nak balik kerja, tersekat dalam kesesakan jalan raya, tengah main futsal, tengah joli duit PTPTN, tengah beratur nak mandi.

Tapi takpe, paling kurang, lepas baca entri ini, korang dah tahu yang kita dah masuk tahun baru islam 1430H. Biasalah manusia ada kesilapan, terlupa tahun baru islam. Ye lah, masa sambutan tahun baru islam, mana ada orang nak main bunga api. Mana ada artis nak melalak-lalak buat konsert. Jauh sekali ada nak buat kiraan "3, 2, 1" sampai pukul 7.05pm (ikut waktu maghrib negeri masing-masing). Tapi tahun depan jangan lupa pula. Aku dah bagi pesanan ni.

Mana negeri yang ambil cuti pelepasan, selamat bercuti. Mana yang tak, selamat akan bercuti tahun baru masihi 2009.

Happy Both New Year!

Wednesday, December 10, 2008

AKTIVITI MINGGU LALU DENGAN BAKAL CIKGU

Minggu lalu, aku masih lagi menetap di Jitra. Di rumah bakal-bakal cikgu. Agak boring dan tak tau nak buat apa. Tapi. Mujur malam itu ada sedikit majlis yang agak seronok. Seronok juga-lah dari menonton Wonderpet dan Ninja Turtles tiap-tiap hari.

Untuk laporan bergambar seterusnya, sila klik link ini ya!