Monday, October 09, 2023

KEJANGGALAN SOSIAL

 Kami jarang makan malam di luar. Jika malas nak masak sekali pun, kami akan order makan menggunakan servis penghantaran atau bungkus makanan di kedai dan makan di rumah. Walaupun penularan COVID sudah mula mereda, namun trauma dengan tempat sesak masih bersisa. Dan oleh kerana jarang berada di luar, kemahiran sosial kami suami isteri mula berkarat.

Bila berada dalam masyarakat, kami mengalami kejanggalan sosial.

Baru-baru ni, saya balik ke kampung untuk ziarah emak yang sedang dirawat di hospital. Seharian menghabiskan masa di hospital dan pelbagai urusan, kami pulang ke rumah setelah matahari terbenam. Dan ayah dah pesan awal awal untuk makan terus di luar sebab di rumah takde apa apa untuk dimakan.

Jadinya setelah ronda ronda,  kami ambil keputusan untuk singgah di sebuah medan selera. Di sini urusan pesanan makanan adalah secara servis kendiri. Kau tanda sendiri menu pilihan dalam kertas pesanan yang disediakan, bawa dan bayar terus di kaunter. Elok juga cara begini, tak perlu pelayan nak tunggu lama kita fikir nak makan apa dan kita tak rengsa tengok pelayan tercegat sebelah kita menunggu kita fikir nak makan apa.

Bila tiba giliran saya untuk bayar, tiba-tiba juruwang bertanya, "Abang duduk mana?"

Bukan main mesra lagi juruwang ni. Ringan mulut memulakan perbualan. Kadang-kadang perbualan ringan begini yang buat kita sebagai pelanggan rasa selesa dan ingin datang kembali.

"Duduk Taman Bukit Mutiara. Yang sebelah KPJ Dato Onn tu. Tapi rumah orang tua saya la. Saya sekarang duduk Putrajaya."

Panjang lebar saya jawab. Bila orang mula berbuat baik, saya melihat ini sudah menjadi tanggungjawab saya untuk menjawabnya juga dengan baik, malah lebih baik dan penuh kesantunan. Namun juruwang itu nampak resah bila mendengarkan jawapan saya.
.
.
.
"Errrr... Bukan macam tu bang. Maksud saya abang duduk meja mana? Nanti makanan kami hantar ke meja abang terus."
.
.
.
Insert - Ya Allah, aku pasrahkan diriku sepenuhnya pada saat ini, kepada penguasa di langit dan di bumi, kerana aku ikhlas Ya Allah, aku ikhlas
.
Krik.
.
Krik.
.
Krik.

Nampak gaya aku memang kena mula bersosial kembali la. Berkarat sangat dah ni.

Thursday, September 01, 2022

KENA TUKAR

Masa berborak tentang urusan Haji, memandangkan masih dalam suasana Aidiladha, ada kawan tiba-tiba mencelah perbualan dengan wajah yang risau.

 
"Pergi haji memang nak kena guna visa ke? Mastercard tak boleh? Nak kena pergi tukar dulu la, ye tak?"
 
😴😴😴😴

Thursday, August 25, 2022

YAHOO! KAHWIN LAGI!

 

Petang hari itu, kami kelaparan.

Saya sediakan nasi goreng. Dia nak makan nasi goreng kampung telur mata. Saya turuti. Saya masak 2 biji telor mata kerbau. Sorang dapat satu. Dan sekuali nasi goreng. Saya minta dia sediakan juga air teh o panas.
 
Baru la mantap sesi minum petang kami.
 
Kami menikmati nasi goreng sambil menonton Running Man. Sambil tangan masing-masing menatang pinggan, mata fokus di televisyen. Tiba-tiba dia tanya, "Awak nak kahwin lagi ke?"
 
Ah, sudah. Belum sempat sesuap lagi nasi goreng ni, dah kena tembak. Kenapa tiba-tiba keluar soalan macam ni pulak? Eh, saya ada salah cakap apa-apa ke? Tak berani nak bertentang muka dengan dia. Biarpun saya tahu saya tak melakukan apa-apa kesalahan tapi bila berdepan dengan soalan random oleh makhluk Tuhan bernama wanita, sebarang kemungkinan boleh berlaku.
 
Selepas 35 tahun hidup, baru la saya dapat cari orang yang sudi kahwin dengan saya. Kalau ikut kira-kira mudah, paling-paling pun umur 70 tahun nanti kot baru terfikir nak kahwin lagi. Tu pun kalau cukup saving la.
 
Saya kuatkan hati. Saya tak salah. Kenapa nak takut.
 
Saya berpaling pada dia.
 
Mata dia terpejam rapat, lidah terjelir.
 
"Masinnnnnnnnnn. Berapa sudu awak letak garam ni?"
.
.
.
.
.
.
.
Oh..... Masin.... πŸ₯²πŸ₯²πŸ₯²πŸ₯²

Thursday, August 18, 2022

JANGAN INGAT KITA YANG BELI BERAS, KITA TAKUT!

 

Ini tak boleh jadi.
 
Lepas satu konsert tiketnya habis terjual ke satu konsert lain yang tiketnya juga habis terjual, saya ajak dia pergi ke salah satu konsert yang bakal berlangsung akan datang. Teruja selepas menonton video-video pasca konsert di media sosial.
 
"Malas la. Awak je la yang pergi."
 
"Dah tu, awak nak saya pergi sorang-sorang?"
 
Dia buat acuh tak acuh dengan pertanyaan saya. Matanya masih fokus di televisyen. Menonton drama Korea di Netflix, Taxi Driver. Sesekali disuakan kerepek pisang baki hari raya tempoh hari ke mulutnya.
 
"Dah tu, awak ajak la girlfriend awak pergi sekali."
 
"Awak jangan cabar saya!"
 
Saya balas dengan suara yang lantang, tegas dan keras. Mata saya jegilkan, menambahrasa bahawa saya ini berpenampilan tegas dan garang orangnya. Selayaknya untuk seorang lelaki budiman. Dia ingat lelaki macam saya ni tak boleh ada girlfriend ke? Ini Fikri tau
 
Pantang tok nenek moyang saya kalau dicabar. Hampir saya buka buah silat di tengah ruang tamu rumah. Membuak-buak semangat pendekar dalam jiwa. Hati dah meraung-raung tersampuk. Haish!
 
"Tapi nanti baju kerja awak, gosok sendiri!"
 
Alamak.
 
Saya pura-pura buka aplikasi perbankan internet, tunjuk baki akaun pada dia dan duduk kembali di sebelah dia.
 
"Memang tak boleh pergi pun. Balance dah tinggal dua angka.”
 
Saya buka penutup telap kerepek pisang. Ambil sekeping dan sua ke mulut. Kami berdua menghabiskan waktu perdana malam itu dengan menonton drama Korea tadi.
 
"Elok lagi kerepek pisang ni ye. Dah sebulan lebih dah."

Sunday, December 18, 2016

TITIK MULA

Aku seorang yang degil. Kalau aku tak nampak dengan mata kepala aku atau aku tak pernah alami sendiri, maka aku akan kata something itu sukar untuk diterima akal. Walau pun aku tahu something itu benar, aku sukar untuk menerima.

Orang selalu kata, sedekah itu membuka pintu-pintu rezeki. Aku sendiri pada mulanya agak negatif dengan kenyataan ini. Tapi segalanya berubah bila aku pasang niat ikhlas untuk bersedekah.

Sebelum ini, status kewangan aku separas hidung. Wang gaji aku sekadar cukup makan, cukup pakai dan cukup-cukup saja. Susah mahu mendapati baki amaun di bank aku lebih dari RM20, kadar paling minimum untuk akaun simpanan. Jangankan kata mahu menyimpan, mahu berjoli saja sukar sekali. Perlu cantas perbelanjaan sana sini, baru aku boleh bernafas. Masa hujung minggu banyak dihabiskan di rumah, semata mahu berjimat.

Satu hari aku berniat mahu bersedekah dengan ikhlas. Buat pertama kali aku ikat perut, telan kemahuan untuk berjoli, semata mahu beramal. Hati aku lega. Sepertinya ada beban yang dialih dari bahu. Kemudian aku bersedekah lagi. Entah kenapa, bersedekah membuat hati aku lega.

Nikmat Tuhan yang mana satu yang mahu aku nafikan?

Kemudian sedikit demi sedikit, aku dimurahkan rezeki, ada sahaja wang yang aku terima. Yang aku tidak sangka aku akan miliki. Baru aku sedar, betapa jauhnya aku selama ini dengan Tuhan. Tetapi Tuhan tidak pernah jauh dari aku.

Aku harap ini titik permulaan untuk aku terus berubah.

Amin.

Friday, December 16, 2016

HADIAH HARI NATAL DARI SEORANG STRANGER

Hari ini hari bersejarah. Aku terima hadiah di pagi hari. Melalui online.

Lepas subuh, aku cuba bermalas-malasan atas tilam sambil layan twitter. Aku skrol sedikit demi sedikit tweet-tweet yang aku terlepas sepanjang malam. Sesekali tweet baru melintas timeline. Aku nampak nama Lin. Dia tweet bertanya, "What do you want for christmas?". Pagi-pagi begini aku jarang serius lantas aku retweet, "All i want for christmas is you". Ya, itu lagu Mariah Carey yang sangat popular menjelang perayaan hari Natal.

Tak lama kemudian dia tanya aku sama ada jika aku diberi pilihan antara kasut sukan dan ipod, aku pilih yang mana satu. Sudah tentu aku pilih ipod sebab kasut sukan aku dah ada. Kemudian dia minta nombor akaun bank. Aku panik. Lin ni betul ke tidak?

Dia tanya lagi, "awak betul nak sihat?" dan dah tentu la aku jawab, "Ya" sebab malam sebelum ni aku ada kata aku mahu serius kawal pemakanan dan bersenam.

Tak lama lepas aku DM nombor akaun aku, dia kata dia dah transfer sejumlah wang untuk aku beli ipod. Aku dah macam dalam situasi OMG moment. Aku cubit lengan dan aku pasti aku bukan bermimpi.

Ini kali pertama aku terima something yang significantly mahal dari seorang stranger. Aku cuma kenal dia ni Twitter dan Instagram sahaja. Tak perasan kalau pernah jumpa dia in real life.

Lin, if you read this, terima kasih banyak banyak. Terima kasih sebab tak terlalu memaksa saya untuk turunkan berat badan. Terima kasih sebab selalu kongsi IG makanan kesihatan. Terima kasih atas ipod ini, boleh saya dengar lagu masa berlari atas treadmill nanti.

Aturan Tuhan cantik sekali. Saat seorang give up on me, someone still believe that i can do. And i will not let you down.

PULANG PAKU BUAH KERAS 2

Seorang staff baru lapor diri di pejabat kami. Bukan freshie. Cuma pertukaran dalaman sahaja. Maka, sesetengah dari kami yang telah lama berkhidmat di pejabat ini, kenal dia. Lelaki dengan penampilan botak dan brader-brader ini merupakan pemandu kepada pengarah kami. Ringan mulut dan mulut bergaul.

Tadi masa kami berkumpul dan berborak sementara menunggu penggera balik berbunyi, dia mula buka cerita tentang event-event yang mereka pernah hadiri bersama dulu. Maka, mereka berbalas ketawa dan momen "Oh, aku ingat dulu" bila sedikit demi sedikit mula mengimbas kembali detik itu.

"Aku dah tak perasan kau sekarang ni." Kata Brader Joe kepada Kak Lin. "Sebab masa tu kau free hair lagi, kan?"


"Kau ni datang event memang usha perempuan je eh?" Balas Kak Lin yang mula tak selesa. Ini bukan kali pertama Kak Lin menghadapi lelaki yang cuba stalk dia.

"Dah tu karang aku kalau usha lelaki, korang bawak mulut pulak kata aku gay." Brader Joe membalas balik dengan dekahan dari kami, sek-sek lelaki sambil buat gesture high five.

Barulah buku bertemu ruas.

Ha, perasan cantik sangat la tu.


Thursday, December 15, 2016

PULANG PAKU BUAH KERAS

Pagi ini all the bosses pergi kursus, jadi kami sebagai tikus di pejabat mula menari-nari. Masing-masing buat kerja secara santai. Ada yang sambil dengar lagu dan ada yang sambil baca novel tebal sejengkal. Tapi kebanyakkan dari mereka, berkumpul dan bergosip. Kecuali lelaki. Kami duduk di kubikel masing-masing dan layan internet.

"Huish, tebalnya!" Kak Lin pegang novel cinta yang ada atas meja Keknis.

Keknis cuma jeling je. Malas nak layan. Selain pembaca novel tegar, dia juga penonton drama adaptasi novel yang tegar.

"Ni kalau nak tunggu habis baca ni, boleh siap lipat baju 6 bakul tau." Kak Lin terkekek ketawakan Keknis. Mempersendakan hobi orang memang forte dia.

"Eleh, kau tu yang tak baca novel tebal pun 6 bakul baju tak siap lipat lagi." Keknis balas tepat kena dahi jendul Kak Lin. Adeh.

Pergh. Kena tepat. Kami yang lelaki ni pulak ketawa berdekak selepas pasang telinga perbualan tadi.

Padan muka.

Tuesday, November 15, 2016

SEGENGGAM HATI - RAHIMIDIN ZAHARI

“Ku simpan segenggam hatiku
di dalam almari baju 
tak siapa tahu termasuk isteriku
bahawa aku pergi
dan kembali saban hari

Kupesankan untuk isteri
katakanlah kepada anak-anak kita
sekiranya aku telah tiada
bahawa hatiku ini
tidak pernah
ku belah dua."




Kulukiskan Engkau Biru Dan Engkau Bertanya Kenapa Tidak Merah Jambu Seperti Warna Kesukaanku?

Wednesday, December 10, 2014

AGEN BUSANA HITAM - AKHIR



EPILOG



Di tepian Pantai Lido, makin ramai yang singgah. Sudah hampir 2 jam sejak cahaya ibarat tiang yang menongkat langit itu kelihatan. Kini semakin ramai wartawan dari pelbagai agensi media cetak dan media elektronik yang datang membuat liputan. Berasak-asak memenuhkan jemaah di tepi Pantai Lido.
Bunyi seretan dan decitan tayar yang kasar kedengaran. Beberapa buah kenderaan pelbagai fungsi (MPV) berwarna hitam di parkir di tepi jalan dengan bantuan polis trafik. Kenderaan itu aneh. Ada alat seakan lampu kalimantang bersaiz luar biasa di atasnya. Lelaki-lelaki dengan sepersalinan lengkap baju melayu berwarna hitam, bersampin songket hijau dan mengenakan kaca mata gelap keluar dari perut kenderaan. Lagaknya macam askar tapi dengan persalinan baju melayu. Aneh. Kombinasi yang aneh.
Alat pembesar suara dikeluarkan dari kenderaan dan diletakkan di atasnya. Seorang lelaki semacam ketua kumpulan itu berdiri di atas kenderaan.
“PERHATIAN!”
Semua manusia di tepi Pantai Lido terdiam. Masing-masing memalingkan badan ke arah suara tadi.
FLASH!
Tiba-tiba satu cahaya putih terang memancar selama beberapa saat.
“Sekarang anda semua boleh pulang ke kenderaan masing-masing dan pandu terus balik rumah. Kejadian yang anda nampak di sini cuma kejadian biasa sahaj. Tak perlu nak berhimpun sangat. Okay, jangan berebut-berebut. Beratur untuk ke kenderaan masing-masing.”
Bagai terkena sihir, semua manusia yang sejak dari tadi ralit menonton kejadian siang tadi mengikut kata lelaki tadi. Semua. Beberapa minit kemudian, kawasan yang penuh sesak dengan umat manusia seperti mahu melontar jumrah tadi, menjadi lengang. Kosong.
“Tuan Alif, semua manusia dah beredar. Perimeter selamat.” Seorang lelaki bernama Prebet Jim member laporan kepada Alif, lelaki yang member arahan kepada semua manusia tadi.
“Prebet Jim, hantar pasukan ke lokasi asal cahaya tadi. Aku dapat rasakan ini ada kaitan dengan kes kita 20 tahun lepas.”
“Faham Tuan Alif, saya akan hantar pasukan HaZaDal ke sana.”
“Hati-hati Prebet Jim. Kalau ini berkaitan juga kes pembunuhan baru-baru ini, pihak Man In Melayu Suit (MIMS) akan berdepan dengan serangan pihak K-Pop Hipster. Jangan sampai manusia biasa dapat tahu.”
“Faham Tuan Alif. Walaupun jauh dalam hati kita, kita bersorak dengan kematian pelopor budaya K-Pop di Malaysia ini dan berterima kasih kepada makhluk asing yang membunuh mereka, namun kita terpaksa ambil risiko menghadapi kemarahan pihak K-Pop Hipster.”
“Tangkap makhluk asing ini dan tempatkan dia di fasiliti kita di Simpang Rengam. Saya mahu dia selamat. Dia sebenarnya hero kita.”
Kenderaan hitam tadi mula beredar sedikit demi sedikit. Pihak MIMS masih lagi dalam usaha mengesan makhluk asing berkenaan. Kemungkinan untuk mengetahui rahsia asal-usul budaya K-Pop datang ke tanah melayu boleh diungkaikan melaluinya.
Zaman ini. Ketika ini. Budaya K-Pop adalah penyakit masyarakat. Sukar untuk diubati apatah lagi mahu dibanteras. Sampai bila budaya ini terus menjajah pemuda harapan bangsa?