Ini tak boleh jadi.
Lepas satu konsert tiketnya habis terjual ke satu konsert lain yang tiketnya juga habis terjual, saya ajak dia pergi ke salah satu konsert yang bakal berlangsung akan datang. Teruja selepas menonton video-video pasca konsert di media sosial.
"Malas la. Awak je la yang pergi."
Dia buat acuh tak acuh dengan pertanyaan saya. Matanya masih fokus di televisyen. Menonton drama Korea di Netflix, Taxi Driver. Sesekali disuakan kerepek pisang baki hari raya tempoh hari ke mulutnya.
"Dah tu, awak ajak la girlfriend awak pergi sekali."
"Awak jangan cabar saya!"
Saya balas dengan suara yang lantang, tegas dan keras. Mata saya jegilkan, menambahrasa bahawa saya ini berpenampilan tegas dan garang orangnya. Selayaknya untuk seorang lelaki budiman. Dia ingat lelaki macam saya ni tak boleh ada girlfriend ke? Ini Fikri tau
Pantang tok nenek moyang saya kalau dicabar. Hampir saya buka buah silat di tengah ruang tamu rumah. Membuak-buak semangat pendekar dalam jiwa. Hati dah meraung-raung tersampuk. Haish!
"Tapi nanti baju kerja awak, gosok sendiri!"
Alamak.
Saya pura-pura buka aplikasi perbankan internet, tunjuk baki akaun pada dia dan duduk kembali di sebelah dia.
"Memang tak boleh pergi pun. Balance dah tinggal dua angka.”
Saya buka penutup telap kerepek pisang. Ambil sekeping dan sua ke mulut. Kami berdua menghabiskan waktu perdana malam itu dengan menonton drama Korea tadi.
"Elok lagi kerepek pisang ni ye. Dah sebulan lebih dah."
No comments:
Post a Comment
Komenlah Aku