Showing posts with label Certot Kedai Makan. Show all posts
Showing posts with label Certot Kedai Makan. Show all posts

Monday, December 05, 2011

KENA CARI AWEK BARU

Lokasi : Kedai Stimbot Mutiara Rini
Waktu : Lepas maghrib, Ahad.

Ayah dapat jemputan kawannya yang baru buka kedai makan ala stimbot di area ini. Maka, selaku lelaki berkeluarga, ayah bawa satu famili bersekali. Berkat, katanya. Dalam majlis doa selamat serba ringkas itu, ramai kawan sepejabat ayah yang hadir. Yang tua, yang muda, yang dekat, yang jauh, yang kenyang, yang lapar, yang biasa makan ala stimbot, yang tak pernah makan ala stimbot tapi berlagak cool buat BBQ ayam tak letak margerin, yang bawa isteri pertama tapi tinggalkan isteri kedua sebab takut kena bahan, yang datang awal dan juga yang datang waktu orang dah nak balik.

Tapi slot perbualan kami anak beranak tidak tertumpu kepada kawan ayah yang buka kedai makan sebegini. Perbualan kami lebih menjurus kepada awek kepada adik aku yang dijadualkan pulang ke tanah air dari mengerjakan haji, pada hari ini (Isnin, 5 Disember).

Akak : Dik, awek adik balik bila?
Adik : Esok.
Aku : Lepas ni adik tak boleh keluar dating selalu dengan hajah la.
Adik : Apsal plak?
Akak : Ye la, dia kan dah hajah. Apa plak jiran-jiran dia kata nanti.
Aku : Dah tak boleh pergi CS, tak boleh tengok wayang, tak boleh pergi zoo.
Adik : Ye ke? *muka curiga* Tengok wayang pun tak boleh?
Akak/Aku : Tak caya tanya emak.

Emak. Tengah sibuk BBQ kepak ayam dan rebus bebola daging. Tangan kiri balik-balikkan ayam yang ayah letak, manakala tangan kanan pegang ais krim potong perisa kacang merah. Multi-tasking.

Adik : Mak, orang balik haji tak boleh tengok wayang eh?
Emak : Memang la. Tak kan tak tahu kot? *Yeah, emak play along dengan kami nak troll adik*
Adik : Ish, ye ke? *Muka percaya*
Emak : Kalau nak dating, kat rumah mak dia je la. *Trolling berjaya!*

Adik diam sekejap. Muka dia monyok sekejap. Seketika kemudian.

Adik : Rasanya, adik kena carik awek baru la kalau gini. He he he.

WIN!

Wednesday, November 16, 2011

SEKSUALITI KELIRU :)

Lokasi : Restoren Ayam Penyet Ria, Plaza Angsana.
Masa : Dinner

Ayah belanja kami sekeluarga sempena ulangtahun kelahiran aku. Kami sambut awal sehari sebab pada hari kejadian merupakan hari kerja. Malam hari kerja biasa kami makan dekat rumah je sebab malas nak keluar. So, takkan nak sambut ulangtahun kelahiran makan biasa-biasa plak, kan?

So, oleh kerana selalu dengar artis-artis dan kawan-kawan menggambarkan betapa sedapnya nasi ayam penyet di Restoren Ayam Penyet Ria, Sunway Pyramid, aku pun rasa teruja nak pergi makan di restoren yang orang kata sedap ni. Tapi di cawangan Johor Bahru.

Bila kami duduk di kubikel, seorang pelayan datang membawa senarai menu. Kami pilihan makanan ikut sedap tekak. Sementara itu, mata kami memberi signal sesama kami. Ada gelak bisu yang cuma diluahkan. Selepas pelayan itu pergi, terhambur segala yang terbuku di mulut.

HAHAHAHAHA.

Tiba-tiba datang sepasang pemuda-pemudi duduk di belakang kubikel kami. Pelayan yang sama datang menghulurkan senarai menu.

"Nanti kami panggil bila nak order" Ujar pemuda itu kepada pelayan. Sopan.

Kami menanti dengan tabah. Tunggu pasangan tadi nak order.

"Kak!... Ermm.. Bang!... Erm..." Pemuda tersebut cuba panggil pelayan yang sedang agak sibuk.

"Ish awak ni.. Panggil dia akak la... Nanti kecik ati dia." Ujar si pemudi.

"Ish.. Tak nak la... Kan dia tu lelaki. Kang kecik hati plak." Balas si pemuda lalu membuat isyarat memanggil yang universal. Petik jari sambil lambai tangan.

Kami sekeluarga : HAHAHAHAHAHA

Kami yang keliru oi. Kami yang serba salah oi.

Friday, January 14, 2011

NAN CHEESE AYAM TANDOORI BAHAGIAN PEHA KANAN

Lepak di kedai mamak lepas balik dari kerja adalah aktiviti yang semakin aku abaikan. Sejak kerja mula bertambah dan tanggungjawab semakin serius, aktiviti ini aku terpaksa lupakan sebentar.

Petang itu, aku pulang awal. Tekak pun teringin bebenor nak makan roti nan cheese dan ayam tandoori bahagian peha kanan. Aku singgah di kedai mamak yang dulu pernah bertakhta di hati.

Aku cari seat yang paling steady-tak-sakit-tengkuk-nak-tengok-screen. Screen tengah tayang cerita baik punya. Ngam ngam aku datang, mamak bukak CD movie sedap. Macam nak meraikan kedatangan aku pula. I terharu tawww.

Mata melilau-lilau cari pekerja mamak yang aku biasa ambil order. Nak ambil order bukan dengan sebarangan orang. Sebab ada segelintir tu pure dari India, masih dalam crash course belajar bahasa lagi. Nanti minta nan cheese ayam tandoori bahagian peha kanan dapat nasi lemak ayam goreng bahagian dada plak. Hish, mana ada orang makan ayam bahagian dada? Dari nanti panas hati sebab order lain dapat lain, baik aku tunggu sampai aku nampak pekerja mamak yang aku biasa ambil order.

Tunggu.

Tunggu.

Tunggu.

Ok, aku mengalah. Mamak Sahul dah ambil ramai pekerja baru. Dan semua nampak sama. Tak tahu nak panggil yang mana.

Aku lambai tangan kanan panggil seorang waiter. Sambil tunjuk isyarat "minum". Dia buat muka derk. Aku lambai tangan kanan lagi sambil buat isyarat "minum". Lagi muka dia blur. Aku lambai tangan kanan lagi sambil tunjuk isyarat "minum" tapi kali ini tangan kiri tunjuk isyarat lucah bawah meja. Dia tetap dengan muka blur. Kemudian aku nampak dia panggil seorang geng dia dan geng dia datang pada aku.

"Mau oder appa bang?"

"Nan cheese ayam tandoori bahagian peha kanan. Minum, teh tarik gelas besar dengan ais kosong satu."

"Ittu saja bang?"

"Lagi satu. Apsal kau punya kawan tadi aku panggil dia tak mau mari sini?"

"Bhaiyya, itu bukan kawan saya la. Itu customer sini juga."

"Owhhh...."

Nasib baik brader yang aku panggil tadi dah on the way balik. Kalau dia baru nak makan, nescaya aku sanggup tangguhkan aktiviti kempunan-nak-makan-nan-cheese-ayam-tandoori aku ke hari lain.

I malu tawww.

Tuesday, June 29, 2010

KALAU AKU ADA ANAK DALAM MASA 10 KE 20 TAHUN AKAN DATANG

Kalau aku ditakdirkan ada anak bila dah besar nanti, aku nak bawa anak-anak aku melancong. Paling kurang pun, pelancongan domestik. Naik kereta. Waktu itu mungkin aku dah pakai kereta Persona Elegant paling kurang. Ingat, paling kurang. Mungkin juga aku pandu kereta yang lebih mewah. Nissan Fairlady Z misalnya.

Mula-mula nak bawa mereka jalan ke pantai timur. Kena bawa waktu siang. Biar mereka nampak laut. Biar mereka hargai alam semulajadi. Kan cantik tengok laut waktu siang. Kalau tengok laut waktu malam, kebarangkalian nak nampak "belangkas" memang tinggi. Tak sesuai pengaruh itu untuk anak-anak aku.

Kemudiannya, bawa mereka ke pantai barat. Tengok matahari terbenam. Mungkin sambil makan makanan laut yang mewah seperti ikan siakap 3 ekor masak masam manis, bakar dan stim. Sambil layan matahari terbenam. Tapi bukan ke waktu peralihan waktu itu masa yang syaitan suka? Eh, tak jadi la. Aku bawa anak-anak aku solat Maghrib berjemaah di Masjid Kampus Utara kemudian makan nasi kandar Subaidah Kampus Utara. Tak pun makan roti canai kuah parpu.

Untuk melengkapkan perjalanan pelancongan domestik, aku bawa anak-anak aku ke Kolumpo, ibukota Malaysia. Pergi tengok tugu negara, KLCC, naik LRT. Kemudian waktu tengah malamnya pula, aku bawa anak-anak aku lalu Jalan Hang Tuah atau Jalan Pudu. Waktu itu jalan dah luas. Tak macam sekarang.

Kemudian aku akan berhenti di bahu jalan. Aku suruh mereka pandang sekeliling. Kalau nampak hantu gantung diri, bagitahu aku. Kalau ada dengar orang jerit-jerit tak tentu pasal, bagitau aku. Biar mereka seram. Biar mereka tertanya-tanya, "What in hell dekat tengah bandar ada suara hantu?"

Ha ha ha ha.

"Urban legend ni anak-anak," Kata aku, "Kat sini dulu tapak penjara pudu. Tempat orang kena penjara. Banyak orang mati."

Kalau mereka tak percaya, aku akan suruh mereka tonton dokumentari pasal penjara pudu.

Eh, ada ke dokumentari pasal penjara pudu?

Harap ada pihak bertanggungjawap dan buat dokumentari ini. Apa aku nak cerita kat anak-anak aku nanti? Karang mereka kata aku kaki putarbelit pulak! Takkan aku nak cerita pasal Terminal Bas Pudu pulak. Kongruen tu...

Saturday, October 24, 2009

KEDAI NASI BUNGKUS PAKCIK DAHAGA KASIH SAYANG

Di kedai itu. Di kedai nasi bungkus itu. Dua pemuda hadir dalam keadaan yang paling memasong penglihatan. Ya, dua pemuda yang menjadi kunci kepada hati wanita tertutup. Pelampung kepada hati wanita yang hanyut. Lelaki pertama kelihatan lebih segak. Gagah. Tampan. Sasa. Rambut flat top. Badan ketul 6 di perut. Pakai baju bodyfit yang menimbulkan otot-otot berurat. Muka garang tapi hensem. Kulit putih macam mat salleh. Mata liar mencari mangsa yang bernama wanita. Senaraikan apa sahaja sifat lelaki yang menjadi dambaan wanita. Bayangkan. Semua ini dimiliki oleh lelaki pertama itu.

Manakala lelaki kedua lebih dalam keadaan rilek. Pakai kemeja T warna serona dengan warna seluar jeans; biru lusuh. Rambut tercacak. Badan kurus sampai tulang leher timbul. Pakai selipar jepun Tat Sing. Senang kata, kebanyakkan sifat mereka berlawanan sama sekali. Namun mereka tetap berkawan. Dan masing-masing mempunyai aura yang menyihir pandangan wanita. Juga lelaki (?).


Ah! Terlalu banyak sifatnya. Kalau ini adalah realiti, tentu sekali ramai lelaki yang akan membujang. Hanya lelaki bersifat sebegini yang hidup senang berkuotakan 4 isteri.

Meja di kedai nasi bungkus itu tidak banyak. Sudah tentu-lah, sebab semua lebih selesa bungkus saja makanan mereka. Kerusi pun ala-ala macam hidup segan, mati tak mahu; kerusi kayu hasil kerjatangan tukang kayu amatur, sambungan perca-perca kayu dari kawasan pembinaan berhampiran.

Tengah hari itu. Ya, mereka ke kedai nasi bungkus waktu tengah hari. Waktu puncak perut manusia mengalunkan muzik lapar. Jadi, barisan di kedai itu boleh tahan panjangnya. Barisan yang menghimpunkan pelbagai jenis manusia lapar. Termasuk dua pemuda tadi.

Dua pemuda itu ada hobi yang tak semua pemuda idaman wanita suka lakukan. Perhatikan manusia dan mengkritik manusia itu. Kritis dan penuh dengan kata-kata nista. Dan kedai nasi bungkus itu merupakan tempat yang sesuai untuk mereka.

Di kaunter kecil merangkap tempat ambil nasi, seorang makcik berpakaian kemeja t lusuh, berseluar bundle dan berselipar sedang mengorek-ngorek dompet syiling berkarakter Pikachu. Mencari-cari syiling untuk melengkapkan bayaran nasi berlaukkan sayur dan ikan masin. Setiap sen dari hasil titik peluhnya adalah amat berharga sungguh syiling 5 sen. Tersimpan dalam dompet syiling itu.

Lelaki buruh binaan pula sedang membungkus banyak nasi. Mungkin kali ini sudah sampai gilirannya membeli nasi dan lauk untuk kawan-kawannya. Lauknya mudah; ikan atau ayam dan sayur dalam setiap polistrin. Serta sedikit kuah kari dan sesudu sambal belacan. Sesekali dia menyeka peluh yang mengalir perlahan. Sungguhpun penat bekerja keras, demi sesuap nasi halal, dia terpaksa.

Di satu sudut lain meja lauk, ada seorang lelaki berpakaian kemeja hijau pucuk pisang. Ada gaya eksekutif. Pekerja pejabat bergaji kecil barangkali. Hidup di bandar besar harusnya sebegini, jika hendak bergaya dan hendak teruskan hidup, makan di kedai sebegini; berlaukkan telur dada, sambal belacan dan masak lemak sayur taugeh bukan satu opsyen malah ianya sesuatu yang statut jika hendak berjimat. Makan di kedai ternama; Secret Recipe, Manhattan Fish Market – hanya jika dapat bonus; setahun sekali.

Kini giliran dua pemuda tadi memilih lauk. Kerana terlalu masyuk memerhatikan orang, mereka memilih untuk makan saja di kedai itu; dengan meja usang dan kerusi hidup segan mati tak mahu itu. Dengan lauk ulaman kacang keceper, ulam raja, asam pedas ikan pari dan sosej goreng, mereka duduk dan kembali menonton pementasan dunia ini.

“Oh, barisan masih lagi panjang!”

Gadis-gadis genit yang berskirt hitam paras peha, berkemeja putih dan berkasut tumit tinggi warna hitam. Seragam. Gaya-gaya usahawan muda dengan akhlak bandar yang sedia maklum; macam good-good je. Borak sesama mereka dengan slanga inggeris. Ah, kalau sudah orang Malaysia, Malaysia la juga. Lauknya sama sahaja dan mesti ada sambal belacan. Sombong dan tinggi diri pun tak guna. Takde maknanya.

Di meja kecil bersebelahan dua pemuda itu, ada anak kecil berseragam sekolah. Sedang makan bersama bapanya. Bapa tua itu sibuk melayan telatah anaknya yang bercerita tentang perkara yang berlaku di sekolah tadi. Anak kecil itu makan dengan penuh berselera sekali tapi bapa tua itu hanya perhatikan anaknya dengan pandangan sayu dan senyuman kelat. Sesekali memeriksa poket bajunya. Takut tak cukup duit barangkali. “Biarlah ayah tak makan, asalkan anak tak kelaparan”. Mungkin itu bisik hati bapa tua yang senyumnya kelat itu.

Ada seorang yang paling “menangkap” pandangan dua pemuda tadi. Lagi “menangkap” dari mereka sendiri. Seorang lelaki muda berkemeja-T jenama “Crocodile” gaya lama. Berseluar poket tepi yang jauh ketinggalan zaman. Tak kena langsung dengan usia mudanya itu. Mundar mandir mengelilingi meja lauk sejak 5 minit yang lalu. Nasi panas di pinggannya mulai sejuk. Dengan mulut terkumat-kamit, dia kelihatan teragak-agak untuk mengambil lauk. Dan begitu juga dengan 5 minit kemudiannya. Lauk masih belum diceduk! Fikir mereka, pemuda itu mesti kali pertama menjejakkan kaki di bandar ini berdasarkan gaya pakaiannya. Dan tentu sekali mulut pemuda tadi terkumat kamit menghamun lauk yang agak mahal di kedai itu. Al maklum la, lauk di kampungnya lebih murah!

Usai menikmati makanan, hisap rokok Winston Light kotak 14 adalah satu kemestian. Mungkin ini satu-satu sifat mereka yang tidak digemari oleh wanita. Atau ada sahaja wanita yang suka lelaki perokok. Asap kepul-kepul menghiasi langit yang sedia terik dengan bahang matahari. Mereka mendekati kaunter dan pemuda kedua menghulurkan not kertas RM20. “Keep the change je la mak cik ye. Saya sedekah” bisik pemuda kedua itu ke telinga makcik penjaga kaunter merangkap tauke kedai. Wah! Makcik ini tahu juga berbahasa inggeris ya.

Sebenarnya, RM20 itu bukan suatu nilai yang mencukupi dengan harga pengalaman menonton layar hidup di kedai nasi bungkus ini. Pengalaman adalah guru terbaik.

*****

Dari jauh, makcik penjaga kedai memerhatikan dua pemuda tadi. Pemuda pertama membuka pintu belakang sebelah kiri kereta Toyota Camry keluaran terbaru itu. Dengan sopan, pemuda kedua itu masuk.

“La, boss ke lelaki kudut tu? Mak tak tahu”. Bisik makcik penjaga kaunter merangkap tauke kedai itu.

“Kadang-kadang ada juga sebab kenapa kita tak perlu tahu semua benda”. Muncul anak kecil bersuara. Bapa yang senyumnya kelat berdiri di sebelah makcik penjaga kaunter merangkap tauke kedai dan memeluk pinggangnya yang bersaiz M itu.

“Yang, malam ni kita tidur awal”. Bisik makcik penjaga kaunter merangkap tauke kedai itu ke telinga bapa anak kecil yang bersenyum kelat itu.

Kini, bapa tua itu mampu tersenyum manis. Sekurang-kurangnya sehingga malam ini!

Wednesday, October 14, 2009

CERTOT KEDAI MAKAN : SERIGALA BERBULU AYAM

Dua gadis yang tidak kedekut senyuman itu hampir beredar. Maka urusan makan Saiful juga sepatutnya selesai. Cepat-cepat dia mencicipi baki-baki teh tariknya yang masih tersisa namun telah hilang kaw-nya. Srut! Srut! Dengan harapan dia sempat mengucapkan “Hai girls!” dengan penuh tona seorang penggoda kepada dua gadis tadi. Atau paling kurang pun, dengan gaya lebih ‘bad boy’ - “Fewit! Fewit! Merahnya maju mak ngah!” walaupun baju mereka tidak berwarna merah.

**********************************

Di medan makan itu. Terlalu banyak kedainya. Terlalu banyak menunya. Terlalu banyak pe’el-nya. Terlalu banyak ego-nya. Andai salah pilih kedai, minta lain dapatnya lain. “Eh, betul la tuuuu!”

Makanya Saiful ada teori tersendiri, bukan guna kaedah “tan-tan-tot keladi we-we” yang sudah lapok, untuk pilih kedai makannya. Hari-hari makan di kedai yang sama, boleh jadi muak juga. Jadinya, Saiful berjalan sambil mata-nya tak kelip-kelip pandang sekeliling. Medan makan itu luas, kalau tak pandang habis, tak boleh-lah guna teori tu. Jalan setapak, pandang kanan. Jalan setapak, pandang kiri.

Oh! Di hujung sana. Nun di hujung selekoh kedua sebelum deretan kedai makan di medan makan itu berakhir. Di sebuah kedai yang lengang. Namun ada harumnya. Harum cempaka 2 kuntum di selitan sanggul dua orang gadis. Terpana Saiful dalam sihir mereka.

Dua gadis yang sedang menyedut air sarsaparilla srut! srut! dari botol warna hijau itu kelihatan menawan hati Saiful bila mereka tersenyum. Dup dap dup dap saja hati Saiful, hampir meletup. Siapa mereka ini?

Saiful duduk di meja paling selatan, hampir 3 ela dari meja dua gadis tadi. Saiful bagaikan kelasi yang kerosakkan kompas di tengah lautan asmara dan dua gadis ini adalah bintang utaranya. Bintang penyelamat untuk navigator ke arah selamat. Dan memang Saiful sangat jiwang orangnya.

Mee goreng mamak yang dipesannya sudah lama sejuk. Air teh tarik yang diminta sudah lama hilang kaw-nya. Waktu rehat tengah hari-nya juga hampir sampai ke hujung waktu. Namun, sihir dua gadis yang masih lagi menyedut air sarsaparilla srut! srut! masih lagi ampuh menjadikan Saiful seperti zombie. Diam. Mati. Perlahan sahaja menikmati makan tengah hari-nya hari ini, yang juga sama menu-nya seperti menu makan tengah hari semalam, kelmarin, seminggu lepas dan sebulan lepas.

Saiful dah mula berangan. Padang rumput depan rumah menjadi lokasinya. Sasa dengan sut kurta bermanik dan dua gadis tadi manis dengan sari berwarna terang. Menari-nari mengikut alunan irama lagu gubahan A.Rahman. Ala-ala lagu “Jai Ho”. Golek-golek menuruni bukit rendah. Sorok-sorok di belakang pokok-pokok bunga kertas. Kejar-kejar biar pun tak penat namun berpeluh. Main belai-belai rambut dan…. “Eeeii.. sedapnya”

Dua gadis yang tidak kedekut senyuman itu hampir beredar. Maka urusan makan Saiful juga sepatutnya selesai. Cepat-cepat dia mencicipi baki-baki teh tariknya yang masih tersisa namun telah hilang kaw-nya. Srut! Srut! Dengan harapan dia sempat mengucapkan “Hai girls!” dengan penuh tona seorang penggoda kepada dua gadis tadi. Atau paling kurang pun, dengan gaya lebih ‘bad boy’ - “Fewit! Fewit! Merahnya maju mak ngah!” walaupun baju mereka tidak berwarna merah.

Dalam kekalutan keinginan untuk makan dan keinginan untuk mengawan, Saiful mengejar dua gadis itu dan malangnya, kakinya tersadung kerusi. Terjatuh. Saiful dan kerusi. Malu bukan main. Nasib baik kedai makan di hujung selekoh kedua sebelum deretan kedai makan di medan makan berakhir ini tidak ramai pelanggannya. Cuma dua gadis tadi dan Saiful saja. Makcik tuan punya kedai pun dah cepat-cepat lari ke kawasan lapang. “Makcik ingat tadi gegar-gegar ada gempa bumi…!”

Mata Saiful tertangkap satu objek di bawah meja dua gadis tadi. Dompet! Tak dapat berkenalan, dapat dompet pun jadi la. Cepat-cepat dia kutip dompet berwarna pink berbelang putih dengan lukisan hati merah itu. Dihidu-hidu. Dibelai-belai. Dompet pink itu keresahan. Saiful tak ubah seperti pedofilia yang ghairah dengan anak-anak kecil. Dalam konteks ini, dengan dompet pink tadi.

Saiful mengambil langkah yang tidak wajar dengan membuka dompet tersebut, semata-mata mahu mengetahui nama salah seorang dari dua gadis tersebut. Suka bukan main, malu akibat jatuh kerusi tadi terus hilang. Dengan muka senyum, dia menarik keluar kad pengenalan tuan punya dompet tadi.

*******************************************

Dompet pink berbelang putih dengan lukisan hati merah itu terkulai di pinggir tong sampah kedai makan di hujung selekoh kedua sebelum deretan kedai makan di medan makan berakhir itu. Saiful entah mana pergi. Dua gadis yang menyedut air sarsaparilla srut! srut! dari botol warna hijau itu pun entah mana pergi. Hanya Makcik tuan punya kedai itu sahaja yang masih lagi di kawasan lapang.

Turut serta di pinggir tong sampah itu ialah beberapa titis air mata Saiful dan kad pengenalan tuan punya dompet pink berbelang putih dengan lukisan hati merah tadi; Idris b. Jusoh!