Wednesday, October 14, 2009

CERTOT KEDAI MAKAN : SERIGALA BERBULU AYAM

Dua gadis yang tidak kedekut senyuman itu hampir beredar. Maka urusan makan Saiful juga sepatutnya selesai. Cepat-cepat dia mencicipi baki-baki teh tariknya yang masih tersisa namun telah hilang kaw-nya. Srut! Srut! Dengan harapan dia sempat mengucapkan “Hai girls!” dengan penuh tona seorang penggoda kepada dua gadis tadi. Atau paling kurang pun, dengan gaya lebih ‘bad boy’ - “Fewit! Fewit! Merahnya maju mak ngah!” walaupun baju mereka tidak berwarna merah.

**********************************

Di medan makan itu. Terlalu banyak kedainya. Terlalu banyak menunya. Terlalu banyak pe’el-nya. Terlalu banyak ego-nya. Andai salah pilih kedai, minta lain dapatnya lain. “Eh, betul la tuuuu!”

Makanya Saiful ada teori tersendiri, bukan guna kaedah “tan-tan-tot keladi we-we” yang sudah lapok, untuk pilih kedai makannya. Hari-hari makan di kedai yang sama, boleh jadi muak juga. Jadinya, Saiful berjalan sambil mata-nya tak kelip-kelip pandang sekeliling. Medan makan itu luas, kalau tak pandang habis, tak boleh-lah guna teori tu. Jalan setapak, pandang kanan. Jalan setapak, pandang kiri.

Oh! Di hujung sana. Nun di hujung selekoh kedua sebelum deretan kedai makan di medan makan itu berakhir. Di sebuah kedai yang lengang. Namun ada harumnya. Harum cempaka 2 kuntum di selitan sanggul dua orang gadis. Terpana Saiful dalam sihir mereka.

Dua gadis yang sedang menyedut air sarsaparilla srut! srut! dari botol warna hijau itu kelihatan menawan hati Saiful bila mereka tersenyum. Dup dap dup dap saja hati Saiful, hampir meletup. Siapa mereka ini?

Saiful duduk di meja paling selatan, hampir 3 ela dari meja dua gadis tadi. Saiful bagaikan kelasi yang kerosakkan kompas di tengah lautan asmara dan dua gadis ini adalah bintang utaranya. Bintang penyelamat untuk navigator ke arah selamat. Dan memang Saiful sangat jiwang orangnya.

Mee goreng mamak yang dipesannya sudah lama sejuk. Air teh tarik yang diminta sudah lama hilang kaw-nya. Waktu rehat tengah hari-nya juga hampir sampai ke hujung waktu. Namun, sihir dua gadis yang masih lagi menyedut air sarsaparilla srut! srut! masih lagi ampuh menjadikan Saiful seperti zombie. Diam. Mati. Perlahan sahaja menikmati makan tengah hari-nya hari ini, yang juga sama menu-nya seperti menu makan tengah hari semalam, kelmarin, seminggu lepas dan sebulan lepas.

Saiful dah mula berangan. Padang rumput depan rumah menjadi lokasinya. Sasa dengan sut kurta bermanik dan dua gadis tadi manis dengan sari berwarna terang. Menari-nari mengikut alunan irama lagu gubahan A.Rahman. Ala-ala lagu “Jai Ho”. Golek-golek menuruni bukit rendah. Sorok-sorok di belakang pokok-pokok bunga kertas. Kejar-kejar biar pun tak penat namun berpeluh. Main belai-belai rambut dan…. “Eeeii.. sedapnya”

Dua gadis yang tidak kedekut senyuman itu hampir beredar. Maka urusan makan Saiful juga sepatutnya selesai. Cepat-cepat dia mencicipi baki-baki teh tariknya yang masih tersisa namun telah hilang kaw-nya. Srut! Srut! Dengan harapan dia sempat mengucapkan “Hai girls!” dengan penuh tona seorang penggoda kepada dua gadis tadi. Atau paling kurang pun, dengan gaya lebih ‘bad boy’ - “Fewit! Fewit! Merahnya maju mak ngah!” walaupun baju mereka tidak berwarna merah.

Dalam kekalutan keinginan untuk makan dan keinginan untuk mengawan, Saiful mengejar dua gadis itu dan malangnya, kakinya tersadung kerusi. Terjatuh. Saiful dan kerusi. Malu bukan main. Nasib baik kedai makan di hujung selekoh kedua sebelum deretan kedai makan di medan makan berakhir ini tidak ramai pelanggannya. Cuma dua gadis tadi dan Saiful saja. Makcik tuan punya kedai pun dah cepat-cepat lari ke kawasan lapang. “Makcik ingat tadi gegar-gegar ada gempa bumi…!”

Mata Saiful tertangkap satu objek di bawah meja dua gadis tadi. Dompet! Tak dapat berkenalan, dapat dompet pun jadi la. Cepat-cepat dia kutip dompet berwarna pink berbelang putih dengan lukisan hati merah itu. Dihidu-hidu. Dibelai-belai. Dompet pink itu keresahan. Saiful tak ubah seperti pedofilia yang ghairah dengan anak-anak kecil. Dalam konteks ini, dengan dompet pink tadi.

Saiful mengambil langkah yang tidak wajar dengan membuka dompet tersebut, semata-mata mahu mengetahui nama salah seorang dari dua gadis tersebut. Suka bukan main, malu akibat jatuh kerusi tadi terus hilang. Dengan muka senyum, dia menarik keluar kad pengenalan tuan punya dompet tadi.

*******************************************

Dompet pink berbelang putih dengan lukisan hati merah itu terkulai di pinggir tong sampah kedai makan di hujung selekoh kedua sebelum deretan kedai makan di medan makan berakhir itu. Saiful entah mana pergi. Dua gadis yang menyedut air sarsaparilla srut! srut! dari botol warna hijau itu pun entah mana pergi. Hanya Makcik tuan punya kedai itu sahaja yang masih lagi di kawasan lapang.

Turut serta di pinggir tong sampah itu ialah beberapa titis air mata Saiful dan kad pengenalan tuan punya dompet pink berbelang putih dengan lukisan hati merah tadi; Idris b. Jusoh!

No comments:

Post a Comment

Komenlah Aku