Di kedai itu. Di kedai nasi bungkus itu. Dua pemuda hadir dalam keadaan yang paling memasong penglihatan. Ya, dua pemuda yang menjadi kunci kepada hati wanita tertutup. Pelampung kepada hati wanita yang hanyut. Lelaki pertama kelihatan lebih segak. Gagah. Tampan. Sasa. Rambut flat top. Badan ketul 6 di perut. Pakai baju bodyfit yang menimbulkan otot-otot berurat. Muka garang tapi hensem. Kulit putih macam mat salleh. Mata liar mencari mangsa yang bernama wanita. Senaraikan apa sahaja sifat lelaki yang menjadi dambaan wanita. Bayangkan. Semua ini dimiliki oleh lelaki pertama itu.
Manakala lelaki kedua lebih dalam keadaan rilek. Pakai kemeja T warna serona dengan warna seluar jeans; biru lusuh. Rambut tercacak. Badan kurus sampai tulang leher timbul. Pakai selipar jepun Tat Sing. Senang kata, kebanyakkan sifat mereka berlawanan sama sekali. Namun mereka tetap berkawan. Dan masing-masing mempunyai aura yang menyihir pandangan wanita. Juga lelaki (?).
Ah! Terlalu banyak sifatnya. Kalau ini adalah realiti, tentu sekali ramai lelaki yang akan membujang. Hanya lelaki bersifat sebegini yang hidup senang berkuotakan 4 isteri.
Meja di kedai nasi bungkus itu tidak banyak. Sudah tentu-lah, sebab semua lebih selesa bungkus saja makanan mereka. Kerusi pun ala-ala macam hidup segan, mati tak mahu; kerusi kayu hasil kerjatangan tukang kayu amatur, sambungan perca-perca kayu dari kawasan pembinaan berhampiran.
Tengah hari itu. Ya, mereka ke kedai nasi bungkus waktu tengah hari. Waktu puncak perut manusia mengalunkan muzik lapar. Jadi, barisan di kedai itu boleh tahan panjangnya. Barisan yang menghimpunkan pelbagai jenis manusia lapar. Termasuk dua pemuda tadi.
Dua pemuda itu ada hobi yang tak semua pemuda idaman wanita suka lakukan. Perhatikan manusia dan mengkritik manusia itu. Kritis dan penuh dengan kata-kata nista. Dan kedai nasi bungkus itu merupakan tempat yang sesuai untuk mereka.
Di kaunter kecil merangkap tempat ambil nasi, seorang makcik berpakaian kemeja t lusuh, berseluar bundle dan berselipar sedang mengorek-ngorek dompet syiling berkarakter Pikachu. Mencari-cari syiling untuk melengkapkan bayaran nasi berlaukkan sayur dan ikan masin. Setiap sen dari hasil titik peluhnya adalah amat berharga sungguh syiling 5 sen. Tersimpan dalam dompet syiling itu.
Lelaki buruh binaan pula sedang membungkus banyak nasi. Mungkin kali ini sudah sampai gilirannya membeli nasi dan lauk untuk kawan-kawannya. Lauknya mudah; ikan atau ayam dan sayur dalam setiap polistrin. Serta sedikit kuah kari dan sesudu sambal belacan. Sesekali dia menyeka peluh yang mengalir perlahan. Sungguhpun penat bekerja keras, demi sesuap nasi halal, dia terpaksa.
Di satu sudut lain meja lauk, ada seorang lelaki berpakaian kemeja hijau pucuk pisang. Ada gaya eksekutif. Pekerja pejabat bergaji kecil barangkali. Hidup di bandar besar harusnya sebegini, jika hendak bergaya dan hendak teruskan hidup, makan di kedai sebegini; berlaukkan telur dada, sambal belacan dan masak lemak sayur taugeh bukan satu opsyen malah ianya sesuatu yang statut jika hendak berjimat. Makan di kedai ternama; Secret Recipe, Manhattan Fish Market – hanya jika dapat bonus; setahun sekali.
Kini giliran dua pemuda tadi memilih lauk. Kerana terlalu masyuk memerhatikan orang, mereka memilih untuk makan saja di kedai itu; dengan meja usang dan kerusi hidup segan mati tak mahu itu. Dengan lauk ulaman kacang keceper, ulam raja, asam pedas ikan pari dan sosej goreng, mereka duduk dan kembali menonton pementasan dunia ini.
“Oh, barisan masih lagi panjang!”
Gadis-gadis genit yang berskirt hitam paras peha, berkemeja putih dan berkasut tumit tinggi warna hitam. Seragam. Gaya-gaya usahawan muda dengan akhlak bandar yang sedia maklum; macam good-good je. Borak sesama mereka dengan slanga inggeris. Ah, kalau sudah orang Malaysia, Malaysia la juga. Lauknya sama sahaja dan mesti ada sambal belacan. Sombong dan tinggi diri pun tak guna. Takde maknanya.
Di meja kecil bersebelahan dua pemuda itu, ada anak kecil berseragam sekolah. Sedang makan bersama bapanya. Bapa tua itu sibuk melayan telatah anaknya yang bercerita tentang perkara yang berlaku di sekolah tadi. Anak kecil itu makan dengan penuh berselera sekali tapi bapa tua itu hanya perhatikan anaknya dengan pandangan sayu dan senyuman kelat. Sesekali memeriksa poket bajunya. Takut tak cukup duit barangkali. “Biarlah ayah tak makan, asalkan anak tak kelaparan”. Mungkin itu bisik hati bapa tua yang senyumnya kelat itu.
Ada seorang yang paling “menangkap” pandangan dua pemuda tadi. Lagi “menangkap” dari mereka sendiri. Seorang lelaki muda berkemeja-T jenama “Crocodile” gaya lama. Berseluar poket tepi yang jauh ketinggalan zaman. Tak kena langsung dengan usia mudanya itu. Mundar mandir mengelilingi meja lauk sejak 5 minit yang lalu. Nasi panas di pinggannya mulai sejuk. Dengan mulut terkumat-kamit, dia kelihatan teragak-agak untuk mengambil lauk. Dan begitu juga dengan 5 minit kemudiannya. Lauk masih belum diceduk! Fikir mereka, pemuda itu mesti kali pertama menjejakkan kaki di bandar ini berdasarkan gaya pakaiannya. Dan tentu sekali mulut pemuda tadi terkumat kamit menghamun lauk yang agak mahal di kedai itu. Al maklum la, lauk di kampungnya lebih murah!
Usai menikmati makanan, hisap rokok Winston Light kotak 14 adalah satu kemestian. Mungkin ini satu-satu sifat mereka yang tidak digemari oleh wanita. Atau ada sahaja wanita yang suka lelaki perokok. Asap kepul-kepul menghiasi langit yang sedia terik dengan bahang matahari. Mereka mendekati kaunter dan pemuda kedua menghulurkan not kertas RM20. “Keep the change je la mak cik ye. Saya sedekah” bisik pemuda kedua itu ke telinga makcik penjaga kaunter merangkap tauke kedai. Wah! Makcik ini tahu juga berbahasa inggeris ya.
Sebenarnya, RM20 itu bukan suatu nilai yang mencukupi dengan harga pengalaman menonton layar hidup di kedai nasi bungkus ini. Pengalaman adalah guru terbaik.
*****
Dari jauh, makcik penjaga kedai memerhatikan dua pemuda tadi. Pemuda pertama membuka pintu belakang sebelah kiri kereta Toyota Camry keluaran terbaru itu. Dengan sopan, pemuda kedua itu masuk.
“La, boss ke lelaki kudut tu? Mak tak tahu”. Bisik makcik penjaga kaunter merangkap tauke kedai itu.
“Kadang-kadang ada juga sebab kenapa kita tak perlu tahu semua benda”. Muncul anak kecil bersuara. Bapa yang senyumnya kelat berdiri di sebelah makcik penjaga kaunter merangkap tauke kedai dan memeluk pinggangnya yang bersaiz M itu.
“Yang, malam ni kita tidur awal”. Bisik makcik penjaga kaunter merangkap tauke kedai itu ke telinga bapa anak kecil yang bersenyum kelat itu.
Kini, bapa tua itu mampu tersenyum manis. Sekurang-kurangnya sehingga malam ini!
No comments:
Post a Comment
Komenlah Aku