3
Di satu sudut bumi di tengah-tengah bandaraya Kuala
Lumpur. Gadis-gadis tempatan mula membanjiri perkarangan KL Live. Konsert Kay
Park akan berlangsung beberapa jam sahaja lagi. Sepanduk-sepanduk memuja-muja
Kay Park mula kelihatan. Dibawa oleh gadis-gadis genit berpakaian seksi. Kebanyakkan
dari mereka mengenakan persalinan lolita gothik.
Di belakang pentas, Kay Park dilihat sedang berlatih
lirik lagu yang bakal didendangkannya malam ini. Lagu berentak fastbeat menjadi
pilihan. Dia mahu peminatnya berpukau dengan tarian rancak barunya. Dan
persembahannya ini bakal diakhiri dengan lagu berentak ballad. Buat hati
peminat wanitanya terbuai. Dan ketika mereka terbuat dan mahukan yang lebih,
persembahan ini ditamatkan. Dengan itu, mereka akan jadi lebih teruja. Jika bernasib
baik, peminat ini semua akan merusuh. Secara tidak langsung, dia akan jadi
fenomena. Licik betul agenda Kay Park.
Masa berbaki 10 minit lagi sebelum Kay Park membuat
kemunculan di pentas utama. Para penari sudah mula berkumpul di belakang
pentas. Keadaan agak berserabut. Bagi meredakan sikit tekanan, Kay Park
menyalakan sebatang rokok. Disedut dalam-dalam, memenuhi ruang dalam
paru-parunya. Dihembus jauh-jauh. Tekanan mula menurun 30%. Hebat sungguh
keredaan yang dapat diberikan oleh nikotin.
Dalam keadaan tegang sebegitu, muncul seorang lelaki
dalam keadaan terhuyung-hayang. Dengan hanya berpakaian dalam, dia berlari
menuju himpunan penari latar. Bertempiaran lari semua penari tersebut.
Takut-takut ditetak atau dirogol. Zaman sekarang jangan buat main-main. Nenek
berusia 60 tahun, berkain batik pun jadi mangsa. Apatah lagi gadis mongel gebu
penari latar ini.
Terjelepuk terlentang lelaki tersebut. Wajahnya comot
tapi fesyen rambut saling tak tumpah seperti Kay Park. Peminat fanatik Kay Park
barangkali. Sedikit demi sedikit lelaki yang terlentang itu dikerumuni. Dengus
mengah nafasnya yang rakus menghirup oksigen jelas kedengaran.
“Palsu… Dia palsu…”
Suara lelaki tersebut separa jelas namun dapat
didengari oleh mereka yang berkerumun. Kay Park yang sedari tadi ralit berlatih
tarian dan sambil menyanyi, berhenti. Lepas lama diperhati, wajah lelaki mengah
tadi saling tak tumpah seperti Kay Park! Bukan sahaja saling tak tumpah, mereka
salinan fotokopi manusia. Semuanya sama. Penari latar semua jadi kecoh.
Masing-masing mula beredar dari belakang pentas. Perkara pelik sebegini jarang
mereka mahu ambil pusing. Anggap sahaja ini hal samseng bandaraya. Wajah sama?
Segalanya mungkin di zaman manusia bertuhan teknologi sekarang ini.
Kay Park jadi kaget. Persembahannya bakal berlangsung
kurang 5 minit lagi dan semua penari latar sudah tiada.
“ Siapa kau? Kenapa perlu sabotaj persembahan aku? “
Kay Park menyoal lelaki tadi. Wajahnya yang tenang jadi merah padam menahan
amarah.
“Ha. Ha. Ha.“ Lelaki mengah tadi bangun mengibaskan
punggungnya yang berhabuk. “Kenapa? Takut?“
Tiba-tiba tirai di dewan persembahan dinaikkan. Penonton
bersorak bagaikan terkena sampukan jembalang.
Kay Park! Kay Park! Kay Park!
“Dengar, peminatmu bersorak. Pastinya kau seseorang
yang amat berpengaruh di sini”. Lelaki tersebut berjalan ke arah Kay Park
sedikit demi sedikit. Pakaian dalamnya yang compang camping diselubungi asap
hitam dan bertukar menjadi wanita yang bernama Nurakka.
“Nurakka?” Kay Park yang tadi berani kini berundur.
Tirai sudah dinaikkan. Penonton gamat bersorak. Dari
permandangan penonton, mereka seperti menonton persembahan ala-ala teater.
“Lihat, peminat kau bersorak bagai mahu gila. Masih
tidak mahu bertukar ke bentuk asal bangsa Xylar?” Nurakka tersengih menganjing.
Kay Park membuka kasut Macbeth sebelah kanannya. Asap
ungu mula berkepul keluar dari dalam kasut dan mengelilingi Kay Park. Sedikit
demi sedikit susuk tubuh Kay Park yang kurus membesar sehingga kelihatan kekar
seperti ahli bina badan yang lengkap dengan mantel ber-hud warna jingga nipis.
Penonton menjadi lebih teruja. Laungan nama Kay Park bergema seluruh dewan.
Lebih teruja kerana Kay Park yang mereka lihat tadi membuat silap mata!
“Perkemaskan dirimu wahai Paragas, ajal bakal
menantimu,” Ujar Nurakka lantas menyerang Paragas menggunakan tekpi
berkembarnya.
Paragas hanya mengelak dan sekali sekala mengilas
menggunakan senjata miliknya, nunchuck kembar tiga. Biarpun fizikalnya besar
namun ia bukan menghalang Paragas untuk menjadi lincah. Dia nampak tenang
laksana pahlawan yang sudah biasa bertempur. Menyimpan tenaga dan melepas bila
hanya diperlukan.
Penonton kelihatan takjub dengan persembahan tak
tersangka ini. Masing-masing bersorak bilamana Paragas atau Kay Park pada
pandangan mata mereka, berjaya menepis semua serangan Nurakka. Malah dengan
mudah sekali Nurakka dibelasah. Bertubi-tubi perutnya dilutut oleh Paragas. 4
batang tulang rusuk Nurakka patah. Mulut memuntahkan darah.
Kay Park! Kay Park! Kay Park!
Paragas makin bersemangat bila mendengar nama Kay Park
dilaungkan. Dia hanyut dalam gema sorak.
Jiwanya melayang. Langsung terlupa perihal Nurakka yang cedera parah
dibantainya tadi. Langsung lupa bahawa Nurakka tadi cuma cedera, bukan mati.
Kemasyhuran bisa buat semua makhluk tuhan alpa.
Paragas mendepangkan tangan menghadap penonton yang
bersorak. Penonton mana yang fanatik menitiskan air mata. Atas sebab apa, itu
kurang pasti. Sorakan bertambah kuat bila tangan yang didepang tadi turun dan
terkulai. 2 batang besi berwarna gangsa terpacak di dada Paragas. Darah
mengalir dari mulut dan dada. Bila batang besi itu dicabut, Nurakka menendang
Paragas dan Paragas tersungkur ke arah penonton.
Penonton semua bertempiaran. Menjerit ketakutan,
takut-takut mereka menjadi mangsa ditikam seterusnya seperti Kay Park.
Persembahan yang mengkagum tadi menjadi persembahan yang paling menakutkan.
Jasad Paragas mencair. Dan menyerap ke karpet. Hilang
tanpa kesan. Nurakka yang parah merapati nunchuck kembar tiga milik Paragas.
Diambil dan disimpan disebalik jubah hitam ber-hudnya. Dengan perlahan-lahan
dia melangkah menggunakan pintu kecemasan sebelum ada orang yang melihatnya.
Dengan kecederaan yang sebegini parah, agak mustahil untuk dia jugakan kuasa
teleportasi.
Siang esoknya, penuh di dada-dada akhbar tentang
kejadian yang berlaku di KL Live semalamnya. Misteri kehilangan Kay Park
menjadi tanda tanya. Tercapai juga hasrat Paragas mahu menjadi popular dan
berada di muka depan akhbar. Tapi popularnya bukan kerana karier. Namun ada
juga yang bersorak gembira tas kejadian malang semalam. Dia tak lain dan tak
bukan ialah, Kay Keddy, Presiden Persatuan ArtGuy.
No comments:
Post a Comment
Komenlah Aku