2
Bazar Karat kelihatan seperti malam yang biasa-biasa. Brader-brader
jurujual baju terpakai sibuk menarik beg yang berisi jualan mereka. Ada juga
yang menyusun jualan mereka di atas tar yang hanya dilapik kanvas biru putih. Ada
juga yang menggantungkan di penyangkut baju. Brader-brader jurujual air pula
tak henti-henti ke hulu hilir mengangkut ais dari van ke tempat jualan air.
Peluh mengalir bersatu dengan ais yang dipikul. Akak-akak yang jurujual barang
kosmetik dan lens sesentuh sibuk melayan pembeli yang rata-ratanya
makcik-makcik yang baru pulang dari kerja. Pendek kata, inilah rutin kehidupan
di sini, di Bazar Karat.
Keadaan aman seperti malam-malam yang biasa.
BAM!
Bunyi kuat yang entah datang dari mana buat orang
ramai yang hingar bingar tadi diam seketika. Bak kata orang melayu, ada
malaikat lalu. Sesaat kemudian bunyi sok-sek-sok-sek orang ramai menduga asal datangnya
bunyi tadi.
BAM! BAM!
Bunyi kuat kali kedua ini disertai dengan kelibat
objek yang jatuh di tengah-tengah siar kaki diikuti dengan kelibat objek satu
lagi yang jatuh di atas objek jatuh mulanya. Aspalt berterbangan serentak
dengan jatuhan tadi menyebabkan orang ramai berundur agar tidak tercedera. Asap
berbau sengit seakan ammonia menyelubungi objek berkenaan. Orang ramai mula
berundur selangkah demi selangkah sehingga objek tersebut dapat dipastikan. Namun,
dasar orang Malaysia, ada juga yang sanggup membahayakan diri mendekati objek
berkenaan untuk mengambil gambar. Jelas sekali mereka mahu memuatnaik di dalam
Facebook atau paling tidak, akan di-instagram-kan di laman sosial Twitter.
Dua susuk tubuh manusia mula kelihatan di sebalik asap
tebal yang mula menipis dipuput bayu Selat Tebrau. Seorang wanita bersaiz
sederhana dengan berpakaian sepersalinan hitam dengan mantel baldu ber-hud
warna jingga nipis mula kelihatan. Tangan kanannya mencekak batang leher
seorang pemuda berpakaian K-Pop lengkap dengan kasut Supra warna emas.
Tergantung. Kakinya bergelitik mahu lepaskan diri. Ibarat cicak yang dijadikan
permainan si kucing. Dibunuh tidak, dimakan pun tidak.
“Mana kawan-kawan kau yang lain?” Tanya wanita itu
dengan nada garang.
“Siapa kau? Aku tak kenal kau. Lepaskan aku!” Jerit
pemuda itu pula.
“Apa kau sudah mahu mengaku asalmu? Dasar bangsa Xylar
yang tak sedar diri.” Bentak wanita tersebut lalu melemparkan pemuda tadi.
Orang ramai jadi huru hara. Ada yang bergegas menutup
gerai jualan. Ada juga bergegas ke kenderaan masing-masing. Pengawal bazaar pun
tak boleh lakukan apa-apa selain menunggu bantuan tiba. Tenaga 2 makhluk ini
tidak tara manusia. Tak terlawan.
Pemuda yang tersembam ke permukaan asphalt mula
bangkit. Kasut Supra warna emas sebelah kaki kanan dibuka dan dipegang dengan
tangan kanan. Matanya berubah kebiru-biruan. Asap aneh berwarna jingga yang
datang dari hala mana mula muncul mengelilingi kasut Supra warna emas yang
dipegang di tangan kanannya. Lalu membentuk cokmar berkembar. Tubuhnya berubah
sedikit demi sedikit bermula dari kepala. Oh! Pemuda itu sebenarnya ialah
Mumbalak yang menyamar dalam bentuk manusia. Entah apa selera Mumbalak sehingga
sanggup menyamar sebagai pemuda berpakaian K-Pop.
“Sudahku jangka. Perhitungan aku tak pernah tersasar.”
Kata wanita sambil menghunuskan tekpi berkembar warna gangsa dari pergelangan
pinggangnya.
Serangan bertubi-tubi oleh wanita tadi menyebabkan
Mumbalak yang belum berubah sepenuhnya ke bentuk asal bangsa Xylar mula jadi
kucar kacir. Tenaganya masih dalam bentuk manusia. Jurus senjata tekpi
berkembar wanita ini amat luar biasa tetapi langkahnya amat diingatinya. Dek
kerana khayal mengingatkan butir-butir memori silam, Mumbalak langsung terlupa
jurusnya. Tekpi berkembar tersebut menusuk dadanya dan nyawa pun sedikit demi
sedikit meninggalkan jasad Mumbalak.
“Aku sudah ingat. Kau… Kau… Nurakka?”
“Ya. Sekarang perkemaskan dirimu wahai Mumbalak,
sebelum ajal menantimu”, kata wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai
Nurakka.
“Argh!” Jerit Mumbalak sambil melemparkan cokmarnya ke
langit dan mengeluarkan cahaya terang seperti suar kecemasan. Jasadnya
tercampak di bumi. Tak bermaya. Tak bernyawa.
Jasad Mumbalak yang terbaring di atas jalanraya mula
mencair dan mengeluwap. Nurakka mengambil cokmar yang ditinggalkan Mumbalak.
Dan menghilang dalam bentuk asap hitam. Orang ramai yang dari tadi terkesima, mula
berborak sesama mereka. Masing-masing meluahkan rasa kecewa kerana tidak sempat
merakam detik-detik tadi ke dalam telefon pintar mereka. Ya, dasar manusia
berteknologi.
No comments:
Post a Comment
Komenlah Aku