Wednesday, December 10, 2014

AGEN BUSANA HITAM - AKHIR



EPILOG



Di tepian Pantai Lido, makin ramai yang singgah. Sudah hampir 2 jam sejak cahaya ibarat tiang yang menongkat langit itu kelihatan. Kini semakin ramai wartawan dari pelbagai agensi media cetak dan media elektronik yang datang membuat liputan. Berasak-asak memenuhkan jemaah di tepi Pantai Lido.
Bunyi seretan dan decitan tayar yang kasar kedengaran. Beberapa buah kenderaan pelbagai fungsi (MPV) berwarna hitam di parkir di tepi jalan dengan bantuan polis trafik. Kenderaan itu aneh. Ada alat seakan lampu kalimantang bersaiz luar biasa di atasnya. Lelaki-lelaki dengan sepersalinan lengkap baju melayu berwarna hitam, bersampin songket hijau dan mengenakan kaca mata gelap keluar dari perut kenderaan. Lagaknya macam askar tapi dengan persalinan baju melayu. Aneh. Kombinasi yang aneh.
Alat pembesar suara dikeluarkan dari kenderaan dan diletakkan di atasnya. Seorang lelaki semacam ketua kumpulan itu berdiri di atas kenderaan.
“PERHATIAN!”
Semua manusia di tepi Pantai Lido terdiam. Masing-masing memalingkan badan ke arah suara tadi.
FLASH!
Tiba-tiba satu cahaya putih terang memancar selama beberapa saat.
“Sekarang anda semua boleh pulang ke kenderaan masing-masing dan pandu terus balik rumah. Kejadian yang anda nampak di sini cuma kejadian biasa sahaj. Tak perlu nak berhimpun sangat. Okay, jangan berebut-berebut. Beratur untuk ke kenderaan masing-masing.”
Bagai terkena sihir, semua manusia yang sejak dari tadi ralit menonton kejadian siang tadi mengikut kata lelaki tadi. Semua. Beberapa minit kemudian, kawasan yang penuh sesak dengan umat manusia seperti mahu melontar jumrah tadi, menjadi lengang. Kosong.
“Tuan Alif, semua manusia dah beredar. Perimeter selamat.” Seorang lelaki bernama Prebet Jim member laporan kepada Alif, lelaki yang member arahan kepada semua manusia tadi.
“Prebet Jim, hantar pasukan ke lokasi asal cahaya tadi. Aku dapat rasakan ini ada kaitan dengan kes kita 20 tahun lepas.”
“Faham Tuan Alif, saya akan hantar pasukan HaZaDal ke sana.”
“Hati-hati Prebet Jim. Kalau ini berkaitan juga kes pembunuhan baru-baru ini, pihak Man In Melayu Suit (MIMS) akan berdepan dengan serangan pihak K-Pop Hipster. Jangan sampai manusia biasa dapat tahu.”
“Faham Tuan Alif. Walaupun jauh dalam hati kita, kita bersorak dengan kematian pelopor budaya K-Pop di Malaysia ini dan berterima kasih kepada makhluk asing yang membunuh mereka, namun kita terpaksa ambil risiko menghadapi kemarahan pihak K-Pop Hipster.”
“Tangkap makhluk asing ini dan tempatkan dia di fasiliti kita di Simpang Rengam. Saya mahu dia selamat. Dia sebenarnya hero kita.”
Kenderaan hitam tadi mula beredar sedikit demi sedikit. Pihak MIMS masih lagi dalam usaha mengesan makhluk asing berkenaan. Kemungkinan untuk mengetahui rahsia asal-usul budaya K-Pop datang ke tanah melayu boleh diungkaikan melaluinya.
Zaman ini. Ketika ini. Budaya K-Pop adalah penyakit masyarakat. Sukar untuk diubati apatah lagi mahu dibanteras. Sampai bila budaya ini terus menjajah pemuda harapan bangsa?

Tuesday, December 09, 2014

AGEN BUSANA HITAM - PART 8



7



“Kenapa kau datang ke sini?” Marah lelaki yang dipanggil Nurakka sebagai bapa. Langsung tidak dipandang muka Nurakka. Diteruskan sahaja kerja. Tongkat kayu gaharu tak lepas dari tangan. Takut tersungkur agaknya.
“Nurakka mahu tahu apa yang terjadi selama 2 hari Nurakka terlena.”
“Ada kau ambil apa yang aku suruh kau kutip?” Langsung tak dipandangnya muka Nurakka lagi. Ralit dengan dupa kemenyan yang sedang diasapkannya.
“Apak kena jawab soalan saya dulu!” Bentak Nurakka.
PANG!
Nurakka tercampak ke atas meja. Berhamburan segala harta di atasnya. Beg sandangnya yang berisi dengan senjata milik Mumbalak dan Paragas juga tercampak. Luka hasil bertarung dengan Paragas baru sahaja mahu sembuh, kini tambah pula dengan luka baru hadiah bapanya. Itu bukan tempeleng kosong. Tempeleng itu ada aura. Jika tidak, mana mungkin dia tercampak begitu jauh sekali.
Dengan bersusah payah Nurakka mahu berdiri semula. Terhoyong hayang. Tidak dapat mengimbangkan diri, Nurakka terlanggar pula sebuah gerobok antik. Habis terhambur keluar segala tok nenek benda di dalamnya.
“Ah, kerja aku juga yang kena kemas ni. Eh?” Bisik Nurakka di dalam hatinya.
Nurakka mengangkat satu per satu barang yang berterabur. Bukan dia tak biasa ditempeleng bapanya. Cuma kali ini kuat sikit. Bengong kepala jadinya.
“Apak, ni benda apa? Apa maksud semua ini?” Nurakka mengangkat keris lok 7. Antara barang yang terkeluar dari gerobok antik tadi. Seketika kemudian, dia jumpa pula lembing bulan sabit. Kenapa bapanya memiliki senjata milik 2 lagi targetnya?
“Nurakka tak faham. Apa apak dah buat?”
“Kau masih ingat apa pesan apak?”
“Ingat pak, cari pakcik Sumanjang di Xylar.”
Bapak Nurakka mengambil senjata yang Nurakka kutip tadi. Dia himpunkan dengan 2 lagi senjata yang Nurakka bawa pulang. Diletaknya di atas sebuah altar mini. Dupa kemenyan sudah disiapkan. Bagai ada upacara pemujaan bakal berlangsung. 4 senjata disusun. Tiba-tiba asap ungu mengerumuni bapak Nurakka. Sedikit demi sedikit susuk tubuhnya berubah menjadi lebih tinggi dan perkasa. Dengan mantel baldu hitam ber-hud warna jingga nipis. Hilang terus gaya warga tuanya tadi. Dia berubah menjadi Jagindas! Tongkat kayu gaharunya berubah menjadi parang kontot. Diletakkan bersama-sama dengan senjata lain. Di atas altar untuk dipuja.
“Kau bersiagalah sekarang. Aku akan hantar kau ke sana.”
“Ke mana? Apak nak hantar Nurakka ke mana? Nurakka suka tinggal di bumi.”
“Bumi penuh dengan budaya K-Pop. Dah melarat. Aku tak mahu kau terpengaruh. Lihat sahaja pakcik-pakcikmu yang lain. Sudah hanyut dengan budaya K-Pop. Masuk kali ini, dah lebih 5 kali aku ulang nasihat. Bila kau mahu faham?” Balas Jagindas.
“Apak ikut sekali?”
“Jampi ini hanya untuk seorang sahaja. Bak kata Boney M, one way ticket. “
Nurakka lantas memeluk Jagindas. Peluk macam tak nak lepas.
“Apak jaga diri ye.”
“Sudah tak usah mahu bersandiwara-semasa. Kenakan jubahmu. Diri di atas altar. Aku mahu mulakan jampi.”
Nurakka menitiskan air mata. Baru kejap tadi dia ditempeleng ayahnya. Sekarang mahu meninggalkan dia buat selamanya.
“Sampaikan salam aku pada pakcikmu, Sumanjang.”
BAM! Satu cahaya jingga terpancar dari altar ke langit. Bagaikan cahaya yang menongkat langit.

Monday, December 08, 2014

AGEN BUSANA HITAM - PART 7



6



Nurakka membelek akhbar yang dihantar setiap pagi ke pintu bilik hotelnya. Ada 3 keping. Bermakna sudah 2 hari dia terlena. Badannya semakin segar. Malah luka patah riuknya sudah semakin pulih. Cuma selaput najis matanya agak keras.
“Cis, siapa pula yang caras misi aku?” Fikir Nurakka sendirian. Sepanjang dia tertidur selama 2 hari ini, 2 mangsanya mati. Apa pula yang dia mahu jawab pada ayahnya nanti?
Nurakka jadi bingung. Sarapan yang diordernya tadi, dibiarkan sejuk. Asap nipis dari kopi hitam nan panas makin menipis ke udara.
Mahu atau tidak, Nurakka terpaksa kembali ke pengkalan bapanya untuk melaporkan kejadian ini. Mungkin bapanya ada penjelasan tentang hal ini. Daripada dia disalahkan atas kejadian yang tak diduga ini.

Sunday, December 07, 2014

AGEN BUSANA HITAM - PART 6



5




 Selepas negara digegarkan dengan pembunuhan 2 individu secara misteri di 2 lokasi yang berbeza, pihak berkuasa mendapati kes ini mungkin mempunyai kaitan. Kay Keddy dipanggil ke balai untuk memberi keterangan berikutan kecaman hebatnya terhadap Kay Park di dalam blog, BeautifulKeddy.com. Buat masa sekarang dialah satu-satunya suspek releven yang boleh dikaitkan di dalam kes ini. Biar pun mayat tidak ditemui di kedua-dua lokasi, satu-satunya petunjuk buat masa sekarang ialah gambar-gambar yang dimuatnaik di laman Instagram, Twitter dan Facebook. Berguna juga laman social dalam keadaan ini.
“Kamu berapa di mana sewaktu kejadian?”
“Di rumah. Menonton siaran ulangan Versus.”
“Ada sesiapa boleh menyokong kenyataan kamu.”
“Ada. Mustaffa.”
“Mustaffa ni….”, sambil pegawai berkenaan membelek sebuah fail merah, “ ….siapa? Tidak disebutkan di dalam keterangan awal awak.”
“Oh, Mustaffa adalah housemate saya.”
“Tolong tuliskan nombor telefonnya di sini.” Pegawai berkenaan menghulurkan fail yang dipegangnya tadi.
“Oh, dia tak ada telefon.”
“Mustahil!”
“Apa yang mustahilnya tok…. Mustaffa ni cerpelai belaan saya. Tu je la housemate yang saya ada.”
PAM!
Fail dihempaskan ke meja besi. Kay Keddy terperanjat.
“Betul la saya cakap.”
“Saya tengok awak ni besor kecik besor kecik je tau tak!” Pegawai menjerkah Kay Keddy.
TOK! TOK! TOK!
Pintu bilik soal siasat diketuk. Pintu dikuak. Seorang prebet menjenguk-masukkan kepalanya.
“Mohon seminit tuan.” Kata prebet tadi sambil menghulurkan sebuah fail berwarna hitam. Muka pegawai penyiasat tadi merubah. Makin berkerut.
“Prebet, tolong proses Kay Keddy untuk dilepaskan.” Perintah pegawai penyiasat tersebut. Prebet tersebut masuk dan mengiringi Kay Keddy keluar. Seorang pegawai berpangkat tinggi masuk.
“Macam mana boleh jadi macam ini?” Soal pegawai berpangkat tinggi tadi.
“Saya kurang pasti tuan. Malah saya sendiri hairan. Satu-satunya suspek ada di dalam tahan kita. Namun, ada 2 lagi kes berkaitan di 2 lokasi berlainan yang berlaku kurang dari masa 48 jam sedangkan saspek masih dalam pemerhatian. Ini membingungkan saya.” Kata Pegawai Penyiasat itu sambil menghulurkan fail hitam berkenaan kepada pegawai berpangkat tinggi.
“Apa persamaan dalam keempat-empat kes ini?”
“Keempat-empat mangsa merupakan pelopor dan pengamal budaya K-Pop yang berpengaruh di lokasi mereka didapati dibunuh.”