Aku tak pasti samada makhluk kuning itu semua beragama apa. Bentuk tubuh mereka seakan manusia tetapi terdapat perbezaan pada sesetengah anggota badan dari segi saiz. Pakaian mereka seakan pakaian makhluk yang aku biasa tonton di televisyen. Ketat, sendat dan refleks cahaya.
Aku ingat lagi masa itu, aku sedang berkayuh basikal BMX ke port makan tengahari, di sebuah kotai tinggal. Kayuhan di bawah cahaya terik matahari benar-benar meletihkan. Namun, selepas terbayangkan nasi berlaukkan kari ayam bahagian peha kanan (kuah campur), aku jadi bertenaga tiba-tiba. Tak ramai yang sudah berkumpul di port. Cuma ada aku dan Medzar saja. Port dengan sekolah aku tak jauh sangat. Aku dah biasa sampai awal. Manakala Medza datang awal sebab hari ini turn dia beli nasi. Yang lain-lain seperti Seth Tan, Malik, Fadil dan Shark biasa tiba lewat 20 minit kerana lokasi sekolah mereka yang sangat jauh.
Makan tengahari secara berjemaah di bulan Ramadhan menghasilkan kekenyangan dan kepuasan yang luar bahasa, Dek kerana jahil, agama kami ketepikan. Fikiran kami masih fikiran remaja 15 tahun. Dosa pahala tak ambil pusing.
Tapi hari itu tuhan mahu tunjukkan kekuasaannya pada kami. Sedang sedap kami pekena nasi lauk kari ayam bahagian peha kanan, dan hirup air limau asam boi, atap kotai terpelanting dan cahaya terang menerjah secara tiba-tiba. Kami yang kesilauan dan kekalutan terus bertempiaran lari mahu selamatkan diri. Nasi berterabur dan dinding plywood bergoncang kuat. Benda terakhir yang aku ingat hanya aku sempat jamah ayam sebelum aku pitam.
*****
Makhluk kuning itu semuanya sedang sibuk mempersiapkan rumah mereka untuk perayaan yang aku sendiri tak tahu. Aku yang tercongok di sebuah bilik yang hanya bertingkap, hanya dapat memerhatikan sahaja mereka dari situ. Bilik kedap bunyi, nak berteriak pun tiada guna.
Aku yakin ini bukan Bumi tapi tak jauh beza dengan bumi. Tatkala ini ketika langit semakin gelap, seakan waktu maghrib di bumi, azan berkumandang dan tak ada seekor makhluk pun yang berkeliaran. Tiba-tiba dinding bilik aku terbuka dan makhluk kuning menghidangkan aku makanan yang aku sendiri tak tahu namanya. Yang pasti ia bukan ayam golek atau nasi kerabu. Macam rumput dan berbau paing. Aku menangis teresak-esak. Aku nak berbuka. Eh, aku tak puasa. Kena raid masa lunch tadi!
*****
Sejak hari makhluk kuning melepaskan aku kembali ke bumi, aku berjanji akan berpuasa penuh pada setiap tahun sebab tak nak kena culik makhluk kuning sebab lauk berbuka diorang tak sedap!
huhuhu... kreatif imaginasi ko nih...
ReplyDelete