Thursday, April 15, 2010

ADAKAH CINTA MAHU SINGGAH KE HATI HANIS LAGI?

Semenjak Hanis memberikan nombor telefonnya kepada Uncle David, hari-hari yang Hanis lalui menjadi lebih mencabar macam membuka kotak-kotak coklat yang Hanis takkan tahu apa coklat yang bakal Hanis perolehi. Berdebar-debar macam nak beratur ambil slip keputusan SPM.

Tiap kali ada panggilan yang melibatkan nombor-nombor asing, hati Hanis bagai mahu meletup. Padahal, yang menelefonnya itu hanya dari pihak bank yang memberi peringatan untuk membayar hutang kad kredit yang tertunggak.

Hanis rasa, apa yang menyebabkan Hanis jadi merenyam begini adalah semata-mata hanya untuk mencari aktiviti bagi melupakan perbuatannya bekas kekasih sahaja. Sangat tidak dapat dimaafkan apabila Dia menghantar MMS romantik mohon maaf bukan setakat pada Hanis seorang tetapi kepada 2 gadis yang lain. Hangin bukan main Hanis. Kalau nak diikutkan, mahu sahaja Hanis maki Dia dan-dan itu juga. Tetapi memandangkan Hanis berada di pejabat, Hanis pendamkan sahaja hasrat itu. Lantas Hanis mengamuk dalam status mukabuku-nya sahaja.

Ketika itu, jika segala macam haiwan bertaring yang mempunyai akaun mukabuku membaca status Hanis, nescaya-nya haiwan-haiwan ini akan beroleh ketakutan. Itu belum dikira dengan haiwan tanpa taring lagi.

Kali ini Hanis benar-benar nekad. Tiada lagi peluang kepada Dia. Dia hanya rekod sejarah buruk bagi Hanis dalam sejarah percintaan Hanis. Rekod paling pendek dan rekod paling jahanam. Nak dijadikan arkib dalam Pusat Arkib Negara pun tak layak.

Hanis tidak pasti. Adakah cinta bakal singgah di hatinya semula dalam bentuk yang berbeza? Tiada yang mustahil di dunia ini.

No comments:

Post a Comment

Komenlah Aku