Kuris, Jagindas dan Mumbalak merayau di kaki lima Jalan Hitam. Mereka singgah di sebuah kafe siber yang agak sesak dengan pelanggan. Rata-rata pelanggan kafe siber itu adalah golongan muda dan beberapa pelanggan separuh umur. Dari luar, ia kelihatan seperti kafe siber yang lain. Bercermin gelap, cahaya lampu malap, asap rokok mengganggu rongga pernafasan dan jeritan pelanggan yang bermain permainan atas talian yang semakin popular dewasa ini, Ragnarok.
Mereka tidak ke kaunter ataupun ke mana-mana komputer. Sebaliknya, mereka terus ke pintu arah belakang kedai itu. Nah, di sana kelihatan lebih ramai pelanggan berbanding di ruang hadapan kedai.
Bunyi mesin kuda menguasai ruang kecil belakang kedai itu. Ditambah seri dengan hilai tawa, jeritan pengunjung menang dan kalah. Masing-masing kusyuk dengan mesin kuda di hadapan mereka, langsung tidak menghiraukan kehadiran Jagindas, Mumbalak dan Kuris di situ.
''Boss! Awal lu datang bulan ni. Sekarang baru berapa haribulan.''
Laungan dari arah kaunter mengejut mereka. Lantas tuan milik suara itu mendekati mereka dan mempelawa mereka ke satu sudut bilik itu yang agak tersorok.
''Itu Ah Fatt suruh datang ma. Dia kata bulan ni lu punya bisnes ada untung. Itu yang datang awal.'' Jawap Jagindas seperti mengetuai rombongan konco-konco Ah Fatt ke kedai itu.
''Aiyo brader, lain kali mahu datang awal, kasi calling dulu. Sekarang mana ada banyak cash ma.'' kata Tokey Kedai sambil menyerahkan beberapa not RM50 kepada Jagindas.
Selepas memastikan jumlah wang mencukupi, Jagindas bersalaman dengan Tokey Kedai dan berjalan keluar dari 'ruang sulit' Kafe Siber itu. Ketika berjalan keluar, mata pelanggan tertumpu kepada mereka bertiga. Bukan sahaja bau badan mereka yang merisaukan, pakaian mereka sahaja sudah menimbulkan keinginan orang untuk mengumpat. Menyedari kehadiran mereka menjadi tontonan umum, mereka cepat-cepat beredar sebelum fesyen pakaian mereka menjadi topik perbualan. Tidak ramai yang menyenangi lelaki gagah seperti mereka berpakaian single hitam berlogokan tengkorak, jadi demi anjakan paradigma yang sering dilaung-laungkan majikan mereka, Ah Fatt, sejak akhir-akhir ini mereka lebih senang berpakaian kurta warna krim buatan Jalan Masjid India. Murah, nipis, cantik dan yang paling penting, buatan Malaysia.
''Gangster tidak dinilai melalui pakaian, hati itu yang penting. Kita gangster dalam jiwa!''
Nasihat Ah Fatt itulah yang menjadi azimat oleh mereka bertiga untuk meneruskan hidup. Mereka sangat menghormati Ah Fatt kerana memperkenalkan mereka dengan kerjaya ini; pengutip hutang. Jika putih kata Ah Fatt, putih la yang mereka buat. Jika hitam kat Ah Fatt, hitamlah yang mereka akan buat.
Kini mereka tidak lagi perlu menyelongkar tong-tong sampah belakang KFC untuk makan sedap. Dan mereka lebih teruja dengan kerjaya ini bila Ah Fatt mula memberi 'lesen penuh' kepada mereka untuk membelasah pondan-pondan 'haram' Jalan Hitam. Entah kenapa mereka jengkel sangat melihat pondan-pondan itu hidup senang. Padahal, pondan-pondan itu langsung tidak pernah mengguris perasaan mereka.
*******
No comments:
Post a Comment
Komenlah Aku