Pyan. Dia bukan Suffian Aziz yang kebanyakkan kita kenal semasa di bangku sekolah dulu. Pyan ini nakal sikit. Dan hobinya bukan bermain tenis. Pyan ini kasar orangnya. Berpewatakkan bad-boy dan bergaya playboy sedikit dari Pyan yang kita kenal dahulu. Namun, jika sesiapa yang mempunyai hobi sepertinya, nescaya kamceng-lah mereka.
Hobinya memancing. Ikan. Bukan anak-anak ikan. Ini betul-betul punya ikan.
Malam itu. Selepas bercerita tentang hantu zaman persekolahannya, Pyan bercerita lagi. Kali ini semasa dia pergi ke kawasan perbukitan sekitar Bekok, Segamat. Kata dia Gunung Cabang Tiga. Aku tak pasti betul atau tidak nama itu. Tidak pasti kesahihannya. Cuba kita tanya Apox atau Afzan untuk kepastian ye.
Ok. Dia ke sana atas urusan kerja kursus Form 6 nya. Ya, Pyan pelajar jurusan Geografi dan di sini, di kampus ini, Pyan berjurusan undang-undang pula. Hairan? Possible is nothing, kata Adidas.
Berapa ramai sangat di antara kita yang berpeluang untuk melihat buluh perindu? Penggunaan peribahasa "Suara merdu bak buluh perindu" bukan lagi metafora kosong. Pyan bisa buktikan kewujudan tumbuhan ini. Tapi ini bukan tumbuhan calang-calang. Bukan juga tumbuhan penyembuh tenaga batin seperti tongkat ali atau kacip kak timah. Ini ubat untuk suara merdu. Seperti yang digambarkan dalam peribahasa.
Kata Pyan, menurut Tok Batin yang menjadi ketua rombongan itu, dan seperti yang ditunjukkan oleh Tok Batin, buluh perindu yang mereka temui di hutan itu, tumbuh di atas batu sungai. Pelik bukan? Bagaimana tumbuhan bisa tumbuh di atas batu? Ruasnya kecil sahaja. Hanya sebesar batangan pensil dan tumbuh serumpun seperti buluh yang biasa. Tapi awas kepada penggemar rebung. Buluh ini tiada rebung, tetapi mempunyai bunga sebesar tapak tangan dan berwarna merah jambu cair. Menurut Tok Batin, hanya bunga itu sahaja yang Penjaga Hutan benarkan puaknya ambil. Itu pun selepas membaca sedikit mentera dan digunakan untuk tujuan perubatan.
Menurut Tok Batin lagi, buluh perindu biasanya digunakan oleh orang untuk tujuan kemerduan suara. Sedikit hirisan batang buluh (sebesar jarum peniti) akan ditusukkan di bawah lidah. Kata Tok Batin-lah, tidak pula ditunjukkan caranya. Dan setiap dari buluh perindu itu terjaga oleh Penjaga Hutan, dari benihnya sehingga-lah ke daunnya yang kering. "Nak ambil, kena minta kebenaran dahulu" Tok Batin berpesan.
Tapi cikgu pengiring Pyan bukan seorang yang suka patuh kepada arahan. Maklum-lah, cikgu. Mana nak dengar sangat cakap orang lain. Gatal tangan petik sehelai daun buluh perindu dan diselitkan di buku notanya.
Sesampai sahaja di tapak perkhemahan, daun bertukar menjadi pasir! Eh, macam iklan susu menjadi keju pula.
No comments:
Post a Comment
Komenlah Aku