Saturday, November 05, 2011

PROJEK BARU - KORUPSI (EPILOG : BANDAR SERI KORUPSI)

TAHUN 2075

Tengah malam musim sejuk tahun ini memang bukan calang-calang punya sejuk. Mengikut ramalan kaji cuaca dari berita siaran televisyen berbayar TV3 jam 9 malam tadi melaporkan suhu malam ini mencecah suhu di bawah takat beku. Pada suhu yang sebegini, hanya manusia kacukan beruang kutub sahaja yang dapat bertahan. Kebanyakkan penduduk Bandar Seri Korupsi hanya menghabiskan masa menonton televisyen di rumah bersama keluarga sambil menghirup minuman bangsawan “3 Shots Carmomile’s Expresso” untuk memanaskan badan. Gedung membeli belah juga banyak yang sudah menutup perniagaan. Tidak seperti 40 tahun yang lalu, Bandar Seri Korupsi seolah bandar mati menjelang waktu senja.

Mengikut logik akal, jika ada yang baru sudah pasti ada yang lama. Di satu sisi gelap, 10 kilometer dari Pintu Masuk Selatan yang lebih dikenali sebagai Pagar Phoenix, sekelompok manusia yang berkumpul mengelilingi unggun api cuba memanaskan badan dan mengekalkan haba untuk meneruskan hayat. Mereka hanya berteduh di runtuhan bangunan, kilang produk ping pong dan bangkai kereta yang terbiar. Bau hanyir seakan menjadi haruman utama. Dengan keadaan sebegitu, hatta tikus sekalipun hidup dalam ketakutan, takut menjadi santapan utama manusia di situ. Yang paling menyedihkan, penduduk kawasan ini semakin berkurangan semasa musim sejuk. Ini adalah kerana pembunuh utama kebanyakkan manusia di sisi gelap ini adalah musim sejuk. Tubuh yang sudah kejung dan terbujur kaku tidak dikebumikan tetapi dijadikan bahan bakar untuk manusia lain menahan ajal. Ya, tidak lain tidak bukan, kawasan ini dinamakan Lembah Mati.

Pemerintah Bandar Seri Korupsi tidak pernah berhenti berfikir tentang Lembah Mati. Tiada kenderaan yang dibenarkan keluar masuk dari keempat-empat Pintu Masuk Utama. Kawalan yang terlalu ketat sehinggakan lalat dari Lembah Mati sekalipun tidak berjaya melepasinya. Susunan tembok gagah mengelilingi Bandar Seri Korupsi langsung tiada cela. Berjuta-juta Litta (matawang Bandar Seri Korupsi) dilaburkan dalam sektor keselamatan yang melibatkan pelbagai teknologi tercanggih yang pernah dicipta pada masa itu. Yang menjadi persoalan kepada para pemimpin itu ialah bagaimana manusia di Lembah Mati dapat meneruskan hidup sedangkan bekalan makanan dan air bersih disekat sepenuhnya. Manusia yang dibuang ke Lembah Mati seharusnya mati dan memang itu tujuan Lembah Mati dicipta.

Jika mahu diceritakan titik permulaan sejarah hitam Bandar Mati bermula, selapis demi selapis lembaran sejarah perlu diselongkar. Cerita tentang kemusnahan dan kerakusan manusia meratah hasil bumi untuk tujuan peribadi diturunkan secara lisan dari satu generasi ke satu generasi sehinggalah ada inisiatif untuk ditulis iaitu sewaktu tersebarnya virus yang menyebabkan mulut mereka ditumbuhi cacar sehingga menyukarkan mereka untuk bertutur. Helaian bersejarah yang telah dibukukan ini cuba dimusnahkan oleh manusia-manusia berkepentingan itu tetapi berjaya diselamatkan oleh hero yang tidak ditulis kisahnya. Jasa hero-hero ini hanya mampu mereka peringati melalui arca-arca yang mereka bentuk dari sisa runtuhan bangunan dan kenderaan. Hanya dengan ini sahaja mereka mampu tinggalkan untuk generasi masa hadapan sebagai peringatan bahawa harapan untuk mereka sentiasa ada. Dan dengan bantuan hero ini, mereka masih lagi diberi pulang untuk bernafas di bumi tuhan ini.

No comments:

Post a Comment

Komenlah Aku