Tuesday, November 08, 2011

KORUPSI - BAB PERTAMA

BANDAR PURA CENDANA . TAHUN 2035

Ruang pejabat Bank Of Korupsi yang terlalu padat dengan pekerja kelihatan seperti pasar basah. Pekerja adakalanya terpaksa berlaga punggung bila berjalan. Dengan ruang sekecil ini, dilambakkan dengan seramai boleh pekerja di dalamnya. Bukan tidak pernah mereka bising-bising dengan pihak pengurusan. Dah beberapa kali Shahrul, Pengurus Bank Of Korupsi Cawangan, turun naik pejabat pengurusan Korupsi Corp untuk melaporkan hal ini tetapi sampai sudah tiada tindakan diambil.

Hubungan antara pekerja juga tidak berapa baik. Beberapa siri pertikaman lidah pernah berlaku sehingga mereka berpecah kepada 2 clique. Pernah sekali mereka bergaduh tentang cawan. Cawan tak berbasuh di sinki sudah berminggu tapi tak siapa pun ambil peduli sehingga se-koloni semut membina sarang di dalam cawan. Itu belum lagi kes jumpa anak “Mak Menti” yang masih merah-merah dalam jug di sinki.

Dalam ramai pekerja yang berbalah, hanya seorang sahaja pekerja yang dilihat neutral. Dia tak pernah kisah dengan siapa dia berkawan, dengan siapa dia keluar makan tengah hari atau siapa yang dia tumpangkan kereta. Semuanya dilayan dengan senyuman. Namanya Jack. Ya, hanya Jack.

Sudah menjadi lumrah dunia, kuasa batil lebih besar dari kuasa haq. Berbuat baik dengan semua orang tidak menjanjikan Jack bebas dari dibuli. Segelintir pekerja lelaki yang nakal gemar memperkotak-katikkan Jack sehingga segelintir dari pekerja yang lain tidak menyenangi dengan perbuatan mereka.

"Seth, kau ni tak baik tau buat Jack macam tu. Kau ingat ni zaman sekolah ke?" Jack hanya tersengih sahaja tiap kali Kak Mawar membelanya.

"Ah, kau ni Mawar. Tak sporting langsung. Bukannya aku liwat ke rodok ke budak ni. Aku suruh bancuh kopi dengan beli crepe coklat je. Kecoh la."

Selalunya Abang Ali-lah yang selalu melenting kalau Kak Mawar bersuara. Selalunya memang macam ni. Orang lain tak berani nak masuk campur sebab mereka berdua pekerja yang paling lama berkhidmat. Tentu sudah masak dengan keadaan seperti ini.

Di pejabat ini, kebiasaannya pekerja baru akan berlindung di bawah "sayap" Kak Mawar iaitu Grup Perdagangan Antarabangsa, sebab takut dibuli oleh Abang Ali dan gengnya. Tapi lain pula bagi Jack. Jack memilih untuk berada di dalam Grup Pinjaman Peribadi dan merelakan dibuli oleh mereka.

"Kau ni yang bodoh sangat pergi masuk Grup Ali tu kenapa?" Pernah sekali Kak Mawar memarahi Jack.

"Tak pe la kak. Orang lelaki, kenalah kalis maki dan buli." Jack hanya tersenyum sahaja. Memang senyum tak pernah lekang dari bibirnya. Memang itu sifat semulajadi Jack.

Suatu hari, ada seorang pekerja baru mendaftar diri dan dek kerana kemelut dalaman pekerja, pihak atasan Bank Of Korupsi mengarahkan pekerja baru ini untuk berada di Grup Pinjaman Peribadi dan ini menyebabkan Kak Mawar jadi resah. Tetapi tidak bagi Abang Ali. Sekurang-kurangnya ada sekuntum mawar yang kembang di dalam grupnya. Tidaklah bosan selalu menghadap muka-muka lelaki lain yang ketandusan kasih sayang.

Sejak kehadiran Wendy di Grup Pinjaman Peribadi, aktiviti membuli Jack semakin berkurangan kerana mata-mata keranjang yang lain sibuk menawarkan diri untuk membantu Wendy tanpa disuruh. Sesekali timbul rasa kasihan di hati Jack sebab Wendy dilihat macam rimas dan tidak boleh fokus pada kerjanya.

Suatu hari, Jack mendapat pesanan suara dari Wendy yang mengajaknya untuk keluar makan tengah hari bersama. Tanpa ada niat lain seperti rakan kerjanya yang lain, Jack bersetuju sahaja. Makan tengah hari itu menjadi makan tengah hari yang paling bermakna bagi Jack sebab Wendy bukan sahaja cantik dan berjaya mencairkan hati para mata keranjang di pejabat, malah hati Jack sendiri sudah cair meleleh. Jack tidak sedar bahawa kemesraannya tengah hari itu dijenguk oleh bencana.

Di lorong belakang pejabat, Jack ditahan oleh beberapa oleh rakan kerjanya. Pada mulanya mereka hanya bertekak dan Jack seperti biasa bertindak untuk mengendurkan ketegangan. Namun rasa berang mereka terhadap jack memang tidak dapat dibendung. Merasa juga se-das dua pukul ceduk ke perut Jack tapi Jack tidak melawan. Wendy yang dari tadi menjerit ketakutan segera mendekati Jack usai dia ditibai oleh rakan kerjanya.

“Kau tak apa-apa? Kenapa kau tak melawan?” Wendy melemparkan soalan yang dia sendiri tahu jawapannya. Bukan soalan yang literal tetapi bukankah itu soalan yang biasa diajukan dalam keadaan begitu?

“Kau ada tisu?” Jack bertanya. Dikalisnya soalan dengan soalan. Bijak. Dia cuma tidak mahu Wendy risau.

“Nah, aku bawa kau pergi klinik?” Tanya Wendy penuh sangsi.

“Tak perlu. Aku okay. Kejap lagi baiklah ni.” Jack bukan mahu tunjuk hero. Dia tak mahu kejadian kecil ini menjadi besar. Biasalah tu kalau lelaki bergelut pasal cemburu buta. Jack mahu kejadian ini habis di sini.

“Kau janji tak laporkan kepada manager okay? Aku tak mahu mereka dibuang kerja sebab benda kecil begini.”

“Okay”. – Dalam keadaan begini, kau masih lagi risaukan nasib orang yang memukul kau lebih dari nasib kau sendiri. Kau memang istimewa.

No comments:

Post a Comment

Komenlah Aku