Emma duduk tak senang. Apatah lagi mahu berdiri. Nora dan Alif yang pulang ke rumah untuk mengambil pakaian "show"nya masih belum sampai lagi. Padahal lokasi hotel dan Flet Cempaka hanya beberapa kilometer sahaja. Mereka kemalangankah? Atau berjimak terlebih dahulukah? Kalau betul mereka berjimak, Emma terfikir mahu memarkirkan sahaja kasut tumitnya ke dahi Alif? Atau... Mereka diserang oleh konco-konco Ah Fatt? Berderau juga dada Emma bila memikirkan kemungkinan terakhir itu.
Cukuplah dengan kecacatan yang mereka lakukan terhadap Miela, Rozie dan June dulu. Itu pun sudah buat empayar perniagaan Emma separuh lumpuh. Tiada siapa yang mahu panggil 'showgirl' yang lempang dan berkerusi roda. Jenuh juga dia mahu melatih pondan-pondan baru yang masih mentah. Hanya bersandarkan pada paras rupa dan fizikal semata-mata. Seni 'showgirl'nya ke laut.
******
Imbas kembali.
Miela dan Rozie dah separuh mati dipukul Jagindas dan Mumbalak. Manakala Kuris masih lagi menghenyak June. Libasan kayu beluti yang entah ke berapa kali itu benar-benar melemahkan June. Dengan kudrat jantan yang masih tersisa, June menghayun paip pvc 2 kaki panjang, ke arah Kuris. Tiba-tiba muncul Ah Fatt dari belakang June dan menghayunkan kayu besbol tepat di lutut June. June menjerit macam nak keluar anak tekak. Bunyi tulang patah jelas kedengaran, diselangi jeritan pedih June bercampur tangisan syahdu. Langsung tidak berbekas di hati Kuris atau Ah Fatt bila mendengar rayuan mereka.
Jeritan June benar-benar menakutkan Emma. Dia yang diikat di kerusi dan dipaksa menonton aksi membelasah anak-anak buahnya, rasa tertekan. Pundi kencingnya tidak dapat menahan perasaan takut yang tiada penghujungnya itu. Dia dapat rasakan ajalnya sudah di hujung selekoh. Tidak lama sahaja lagi. Lantai tidak lagi kering kerana sudah dibajai dengan urine dan darah.
Pang!
Berdengung telinga kanan Emma bila dilibas dengan kayu beluti. Pipi kanannya kebas bagai tiada darah di situ. Otaknya berpinar-pinar, kewarasannya bertaburan entah ke mana. Belum pulih dengan trauma melihat anak buahnya dibelasah, ditambah pula dengan pukulan yang meninggalkan konsusi ke kepalanya.
''Lu, gua dah bagi warning, jangan tunjuk muka lagi dalam kawasan gua kalau tak mau bayar!''
Amaran Ah Fatt itu antara dengar dengan tidak. Telinganya yang berdengung masih tidak dapat menangkap apa yang dikatakan Ah Fatt.
''Sekali lagi lu buat macam ni, lu dengan pondan-pondan lu gua sula. Ingat!''
Tak banyak yang Emma ingat tentang kejadian malam itu. Pukulan beluti 4 inci itu sedikit sebanyak melemahkan daya ingatannya. Apa yang dia ingat, dia sudah berada di dalam van ambulance dan bau-bauan ubat.
Tamat imbas kembali.
*******
No comments:
Post a Comment
Komenlah Aku