Aku percaya bahawa mengorat adalah salah satu fasa yang perlu dilepasi atau diharungi oleh setiap lelaki sebelum berjaya menawan hati seseorang wanita. Dan wanita dalam malu-malu juga menanti saat-saat dia dingorat. Sebab orang kita masih lagi teguh berpegang pada “Timba cari perigi” dan masih takut-takut untuk menjadi “Perigi mencari timba”.
Selain daripada ia menjadi satu momen indah dalam alam khayalan percintaan, ia juga boleh dijadikan rujukan oleh anak-anak untuk mendapatkan calon menantu. Gelak bersama-sama ketika berada di waktu romantis, berdua-duaan, sambil terkenangkan momen pengoratan menjadikan hubungan semakin intim dan utuh.
Tapi bagaimana cara lelaki itu memulakan pengoratan atau bagaimana wanita itu menerima sesuatu pengoratan itu, ini menjadi satu saat kritikal sebelum hubungan yang lebih serius bermula. Adakah lelaki salah pendekatan atau menggunakan pendekatan yang tidak menjadi? Atau. Adakah wanita tersalah tafsir dengan pendekatan atau pura-pura malu yang menyebabkan lelaki berputus asa?
Aku telah meneliti beberapa kisah cinta rakan terdekat dan melakukan sedikit ujikaji terhadap beberapa orang subjek yang berlainan latarbelakang, taraf pendidikan, hubungan kekeluargaan dan karier sebelum berjaya mendapat keputusan yang akan didedahkan.
Ada segelintir lelaki lebih gemar untuk memilih pasangan dari lingkungan rakan-rakan yang tak berapa rapat. Sekadar teman sekelas atau teman sekuliah atau teman sepejabat. Atau mana-mana awek yang dianggap sebagai ”love at first sight”. Yang hanya berborak bila diperlukan. Yang berjumpa bila diizinkan. Kiranya tak berapa nak kamceng tapi mesra-lah.
Gaya pengoratan yang biasa digunakan ialah indirect atau tidak langsung. Berkias dan berbahasa basi dalam setiap olahan kata-kata. Berlapik agar tidak terkeluar kata-kata kesat yang merupakan ulaman dalam setiap bicara. Bertopeng menyembunyikan perangai buruk. Suara direndahkan agar tampak lebih romantis. Slow and steady. Gaya seorang romeo atau playboy. Peringkat demi peringkat. Sehingga ke peringkat melamar.
Biasanya, lelaki yang mempraktikkan gaya ini terpaksa menyembunyi perangai sebenar sehingga-lah berjaya menawan hati wanita. Dia juga digelar sebagai seorang yang berani dan outstanding. Jika tidak, tak dapat-lah tackle awek itu.
Ada juga segelintir lelaki yang gemar memilih pasangan dari lingkungan kawan-kawan yang paling rapat dengannya. Rakan yang selesa diajak bergurau tanpa ada sekelumit pun rasa kecil hati. Yang gelak bersama. Kongsi rasa suka dan duka yang sama. Kerana pada lelaki, dalam peringkat ini dia lebih mengenali dalaman dan luaran pasangannya itu.
Gaya pengoratan yang ini pula ialah secara direct atau secara langsung atau berdepan samada bertentang mata atau tidak. Tiada kata-kata puitis dan romantis. Dalam nada selamba, dalam momen yang kurang romantis dan penuh kejutan. Ada kes terpencil pula, hanya melalui SMS atau Instant Messenger (IM) sahaja.
Tiada kata-kata berbahasa basi. Tidak meminjam kata-kata cinta Shakespeares atau Khalil Gibran. Tidak dengan berbunga ros merah dan putih, dan berhadiahkan cincin bertatahkan permata pada hari pelamaran. Tidak pula pada makan malam ”table for two”. Kadang-kadang tu, ketika sedang berborak atau bersembang sahaja. Tanpa disangka-sangka lelaki akan melamar dengan apa sahaja yang ada di sekitarnya seperti bunga kertas atau bunga raya atau paling koman dengan gula-gula ”HACKS” (Kenapa HACKS? Akronim untuk ”Hanya Aku Cinta Kau Seorang”. Sweet!). Kiranya, tanpa perancangan-lah. Maybe ketika sedang menonton wayang atau di gerai cendol. Siapa tahu? Tak disangka, kan? Tapi kebanyakkan lelaki macho jarang memilih gaya ini.
Kenapa gaya ini (berterus terang) kurang digemari?
Jika hendak diikutkan bahasa jiwa, bila seseorang sudah menjadi rapat dan sering berkongsikan cerita, susah untuk meluahkan rasa cinta itu sendiri. Rasa takut digelakkan. Atau takut direject. Atau dianggap satu gurauan. Tak serius nak memikat. Nanti tak pasal-pasal pula berjauhan hati. Putus hubungan persahabatan. Itu sebab kes terpencil itu berlaku. Lelaki yang sering mempraktikkan gaya ini adalah seseorang yang agak pemalu, tak berani menerima kenyataan dan menyanjungi erti persahabatan.
Gaya mana yang lebih wanita suka?
Mengikut kajian aku, 4 daripada 6 responden lebih suka jika lelaki menggunakan bahasa kias-kiasan kerana bagi mereka ianya lebih romantis, penyabar, tidak nampak macam gelojoh atau desperate dan mungkin mereka sukakan sastera (?). Walaupun kadang-kadang kias-kiasan itu susah untuk difahami atau dengan kata yang lebih simple, wanita ini sedikit lampi untuk faham yang tersirat di sebalik kata-kata kias. Kena ulang 2,3 kali baru dapat tangkap maksud kiasan. Tapi bagi mereka, itu tidak mengapa. Apa salahnya bersusah payah sebelum menerima ”ganjaran”,kan?
Manakala, baki 2 dari 6 pula lebih gemar jika lelaki berterus terang dengan ayat yang mudah difahami tanpa perlu kata-kata berbunga atau ayat-ayat pinjaman filem-filem dan lirik lagu romantik. Wanita ini malas sangat nak fikir maksud tersirat kata-kata kias yang kadang-kadang itu hingga jadi mimpi ngeri dalam tidur. Buku sastera Bahasa Melayu tingkatan 5 pun belum tentu habis ditelaah, ini kan pula nak faham kata-kata kiasan cinta dari Shakespeare atau Khalil Gibran. Hell no!
Apa-apa gaya pengoratan sekali pun, terpulang kepada individu untuk mempraktikkan gaya yang lebih sesuai dengan kemampuan mereka. Dan setiap gaya itu mempunyai keistimewaan sendiri yang kita sendiri akan rasakan kelak. Yang penting, be yourself. Jadi diri sendiri.
No comments:
Post a Comment
Komenlah Aku