Saturday, December 20, 2008

KALI PERTAMA AKU BERJALAN JAUH

Waktu dulu, ayah pernah janji jika ada di kalangan kami adik beradik yang berjaya dalam peperiksaan awam Malaysia, tak kira la PTS ke UPSR ke PMR ke SPM ke Periksa Darjah Khas ke, ayah akan bawa kami anak beranak pergi makan angin. Time tu, aku-lah yang paling seronok sebab aku yang pertama sekali antara adik beradik yang menempuhi peperiksaan awam iaitu UPSR.

Alhamdulillah, cemerlang. Dan ayah janji nak bawak kami pergi Langkawi. Zaman itu pergi Langkawi dah di kira champion dah. Sebab paling jauh Datsun 120Y ayah boleh pergi takat ke KL je. Kalau pergi lebih-lebih, ayah dah pancit dah. Pening la ngantuk la. Tapi nasib baik kami naik bas.

Dia punya seronok memang tak sama dengan menang main wrestling getah pemadam. Itu-lah kali pertama pengalaman aku naik kenderaan idaman aku waktu itu. Geng-geng aku takat naik bas South Johore no.14A je pergi bandar. Kira aku lagi champion la.

Zaman itu stesen bas JB bukan kat Larkin. Kami naik teksi sampai kat tengah bandar. Sekarang stesen bas tu dah jadi tempat parking kereta kot. Atau stesen teksi laluan bandar. Aku pakai baju 2,3 lapis malam bertolak itu. Orang cakap air-cond bas ekspress gile sejuk. Sampai gigil-gigil la. Bekalan jajan dah penuh plastik aku bawak. Aku siap-siap beli sejak semalam kat kedai Raju. Duit bekal sekolah seminggu aku save elok-elok dalam sapu tangan aku, yang merangkap dompet. Aku dah pasang angan-angan nak beli jam Boy London yang boleh tukar-tukar warna kalau masuk ice-box tu. Mana boleh tak ikut perkembangan fesyen semasa, kan?

Sampai kat Kuala Perlis, aku memang tak terfikir langsung dapat naik feri. Aku ingat Langkawi tu kat Kedah, tapi pergi dari Perlis pula. Memang masa itu ilmu geografi aku belum penuh di dada. Asyik kena tipu je dengan ayah. Dapat pulak naik feri. Memang la jadi bahan borak masa naik sekolah menengah nanti. Bangga aku, bangga.

Sampai kat pekan Kuah, aku minta makan kat emak. Jajan malam tadi dah habis sebelum bas keluar dari Johor lagi. Punya la excited naik bas ekspres. Lalu emak ajak ayah pergi gerai makan selepas ayah ambil kereta sewa. Masa tu kancil belum lahir lagi. Kereta yang murah pun Datsun 120Y, macam ayah punya kat Johor.

Sampai kedai makan kat Pekan Kuah, aku terus terbayang Nasi Ayam Goreng Mak Nah depan rumah. Dia punya ayam, pergh! Gariinngg! Lantas sebelum brader kedai makan ambil order, aku dah order dah. Tambah pula dengan air Teh O Ais.

Satu per satu order sampai. Aku masih lagi menantikan ketibaan makanan aku dengan penuh kesabaran. Bayang-bayang ayam goreng gariing dengan nasi goreng panas-panas bermain-main di mata aku. Asap panas berkepul-kepul memenuhi ruang legar meja makan kami. Sambal yang ala-ala pedas tak pedas, manis tak manis. Sedang-sedang elok ja. Aroma Nasi Ayam Goreng memang betul-betul sentap selera aku terhadap Langkawi.

Brader ambil order sampai dengan dulang di tangan. Nah!

Dada aku mula sebak bila ayah dengan emak berdekah-dekah sungguh-sungguh. Hingus pun ala-ala nak tak nak keluar dari hidung. Aku perhatikan Nasi Ayam Goreng yang brader tadi bawa. Mata aku mula berkaca tengok nasi putih, ayam goreng hangus dan kuah gulai yang brader tadi bawa. Kenapa lain benar Nasi Ayam Goreng orang Kedah, aku berteka-teki dalam hati. Bermonolog. Kecik-kecik dah pandai bermonolog.

Mana nasi gorengnya? Mana sambalnya? Mana ayam goreng gariingnya?

Petang tu aku merajuk. Mengaruk tak tentu pasal. Aku suap je roti krim manis sambil layan Voltron kat TV1. Tinggal sorang-sorang kat hotel pun takpe dari makan Nasi Ayam Goreng Kedah. Huh!

No comments:

Post a Comment

Komenlah Aku