Saturday, May 31, 2008

ANAKKU MINTA KAHWIN!

Van Cik Burn PBSM berlumba-lumba. Sekejap ke hulu, sekejap ke hilir. Nuar CIMB, Malu JPM, Zali KWSP, Poji Johorland termangu-mangu. Mata masih tertancap di kenderaan yang bergerak itu. Tangan masih lagi memegang gelas teh tarik Osman Mydin.

"Siapa la yang dalam van tu ye?" fikir mereka. Tertanya-tanya sesama sendiri.

"Pak Akob Parang Kontot la. Dia tercekik tulang ikan patin." Jawab Cikgu Amin tiba-tiba menyapa dari belakang.

***

Di rumah Pak Akob Parang Kontot. Anaknya, duduk diam di meja makan. Makan tak selera. Nafsu tertutup. Mak Minah Murai Kampung jadi pelik. Selama ini, anaknya, Icam Ganja pantang kalau dimasakkan ikan patin masak tempoyak. Berselera besar Icam Ganja. Tapi sejak dua menjak ni, perangainya berubah.

Jika dulu, bangun paginya selepas habis waktu dhuha, sekarang sebelum azan subuh dia dah bangun. Jika dulu, tikus pun boleh sesat dalam biliknya, kini tersusun rapi barangnya. Jika dulu, spenda scubanya Mak Minah Murai Kampung yang basuhkan, kini spenda Mak Minah Murai Kampung pula yang Icam Ganja basuh. Icam Ganja mengalami perubahan drastik.

Pak Akob Parang Kontot tak fikir apa-apa pun tentang anak. Fikirnya, jika Icam Ganja sudah bersedia untuk bercerita, dia akan berceritalah pada Pak Akob Parang Kontot.

"Pak, saya nak sesuatu la." Kata Icam Ganja. Memecah kesunyian meja makan.

"Hah, apa yang kau nak cakap tu Cam?" Tanya Pak Akob Parang Kontot sambil bertambah nasi. Lagi sesenduk.

"Err... Saya rasa... Err... Saya hendak kahwinlah, Pak." Jawab Icam Ganja malu-malu.

"Alhamdulillah la Cam. Patutlah mak tengok kamu banyak berubah." Kata Mak Minah Murai Kampung sambil tersenyum menyindir. Sengih macam kerang busuk.

Icam Ganja hanya tunduk sahaja. Segan barangkali. Tersipu-sipu.

"Siapalah wanita bertuah tu, Cam?" Tanya Pak Akob Parang Kontot sambil tangannya menyudu kuah ikan patin masak tempoyak. Beberapa sudu sampai penuh pinggan nasinya. Juga sepotong ikan.

"Err... Bukan wanita pak. Lelaki. Dia Dato' Pak. Businessman. Boleh Pak ye?" Kata Icam Ganja. Kemerah-merahan pipinya. Macam disapu blusher.

Pak Akob Parang Kontot yang sedang menghirup kuah ikan patin masak tempoyak, tiba-tiba biru mukanya.

"Tercekik tulang rusuk ikan!" Jerit Mak Minah Murai Kampung. "Telefon Cik Burn PBSM cepat!"

"Saya nak kahwin macam mana ni mak!" Jerit Icam Ganja. Seakan merajuk.

Mak Minah Murai Kampung pula yang tumbang. Kini kerja Cik Burn PBSM jadi 2 kali ganda.

***

"Kesian Pak Akob Parang Kontot. Makan ikan patin pun boleh tercekik." Jawab Nuar CIMB sedih.

"KITA BOIKOT IKAN PATIN!" Jerit mereka. Semangat. Demi ketua kampung mereka.

2 comments:

Komenlah Aku