Thursday, May 17, 2012

ALGOJO DARI NURAKKA - SENJA JINGGA

Langit Johor Bahru tidak seperti petang-petang hari kebiasaannya. Senjanya jingga yang luar biasa. Ada biasan merah Marikh. Rakyat jelata memandang kagum kejadian aneh ini di Pantai Lido. Ramai yang mengambil kesempatan untuk memberhentikan kereta di bahu jalan. Ada yang bergambar, ada yang ber-instagram dan tidak kurang juga yang ber-twitpic. Mungkin juga segelintir kecil yang memuatnaik gambar ke dalam akaun Facebook masing-masing. Semuanya dengan tujuan untuk berkongsi dan mengabadikan momen sekali-dalam-sejuta ini kepada rangkaian kawan-kawan di internet. Dan tidak kurang juga yang mahu riak.

Petang makin larut. Lalulintas bertambah sesak. Lagi-lagi waktu itu adalah waktu orang pulang dari tempat kerja. Makin bertambah orang yang mahu berhenti di bahu jalan. Hinggakan abang Trafik tak mampu nak halang. Yang tidak berhenti, mungkin ada alasan kukuh yang lain seperti takut emak marah sebab balik lambat, nak ambil anak balik sekolah, isteri suruh singgah pasar beli ikan selar kuning dan pelbagai alasan logik yang lain. Tetapi kebanyakkan antara mereka berkongsi alasan yang sama; tidak memiliki telefon pintar, sama ada tidak mampu atau malas nak beli.


Kejadian aneh ini mendapat liputan luas di dalam media cetak, media massa dan media elektronik. Para blogger yang mencari jumlah pengunjung yang banyak akan menulis tentang teori-teori konspirasi berkaitan dengan kejadian ini. Para artis twitter mentweet tentang pendapat mereka dan follower mereka akan retweet. Golongan serbanistas pula terus mengaitkan fenomena alam ini dengan dunia akhir zaman tanpa mengetahui asal usul fenomena ini dan berbangga apabila pendapat mereka dikongsi dengan banyaknya di dalam Facebook.  Muka depan akhbar aliran utama memaparkan gambar fenomena tersebut dengan tajuk berita yang sangat mengujakan para pembaca. Senang kata fenomena ini menjadi bualan ramai. Bermula dari di Johor Bahru sehingga ke Lahad Datu.


Tidak ramai yang tahu, di satu sudut di bumi Johor Bahru. Sekumpulan makhluk mula berhimpun. Mereka menjelma entah dari mana. Satu demi satu makhluk ini hadir dalam bentuk bayang yang amat menakutkan turun dari langit seakan dewa kematian tetapi mengubah kepada bentuk seakan manusia apabila sampai ke sebuah altar yang dikelilingi jamung dengan api berwarna biru. 6 makhluk yang berselubung dengan kain baldu berwarna jingga nipis merapati meja pemujaan dengan cogan alam masing-masing. 


“Mengapa kau menyeru kami ke sini, Jagindas?” Makhluk bertopeng putih memulakan bicara.


“Kau tenang saja dulu, Karambit. Apa yang kau terburu?” Yang bertopeng biru bernama Mumbala pula mencelah.


“Saudaraku, maaf dengan panggilan tanpa sebarang notis ini. Aku ada berita kecemasan yang tidak dapat ditangguh.” Jagindas memulakan bicara.


Jelas sekali makhluk-makhluk ini tidak mengenali teknologi manusia yang dinamakan telekonferens.


“Mesti kau semua masih ingat lagi mangsa pemujaan kita yang pertama sewaktu kita mula sampai ke bumi ini.” Jagindas melemparkan soalan.


“Mana mungkin kami boleh lupa perempuan montok itu. Ha ha ha.” Katipang menjawab. Dengan memori sewaktu itu mula bermain di fikirannya.


“Ya, buas! Bagai kuda liar di padang ragut Mongolia. Ha ha ha.” Kali ini Paragas pula yang menyambung.


“Manakan tidak liar, habis dilibas burungmu sehingga senak berminggu lamanya. Ha ha ha.” Sumajang mencelah. Kali ini gelaknya disambut dengan gelak makhluk yang lainnya kecuali Paragas.


Dengan muka monyok, Paragas melemparkan topengnya ke altar, “Apa yang penting sangat? Jika diseru hanya sekadar untuk mentertawakan aku, aku ada urusan yang lebih utama dari ditertawakan.”

No comments:

Post a Comment

Komenlah Aku