Pagi tadi dapat khabar ada jiran saya maut dalam kemalangan langgar lari yang berlaku malam semalam. Mangsa merupakan seorang budak lelaki berusia 18 tahun berbangsa India yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas tamat shift di sebuah petrol pam Shell jalan Pinang di Taman Daya, Johor Bahru. Menurut kata makcik kedai runcit (sumber berita tempatan), mangsa yang menaiki motorsikal merupakan pelajar yang baru menerima keputusan SPM dan bercadang untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Apa yang menyayat hati, keluarga mangsa merupakan satu-satu keluarga berbangsa India di kawasan perumahan aku. Mereka antara keluarga yang awal berpindah ke taman perumahan itu sejak 12 tahun lalu (1999) dan aku sendiri yang melihat mangsa membesar dengan bergaul dalam kelompok bangsa melayu. Sedikit pun tidak canggung untuk menyertai apa-apa aktiviti yang dianjurkan oleh masyarakat setempat walaupun ianya perarakan maulud nabi, jamuan hari raya, moreh dan pelbagai aktiviti lagi. Dia sendiri menyatakan yang dia canggung untuk bergaul dengan kawan-kawan bangsa sendiri.
Rasanya baru semalam tengok dia lepak atas motor dengan rakan sebaya di jalan kecil belakang rumah aku. Lepas ini dah tak boleh nak mengusik dia lagi lawak-lawak seperti, "Eh, kau mana boleh makan burger daging!" Yang mana dia akan menjawab, "Boleh je, aku makan tak mati pun."
Aku harap siapa yang langgar dan lari itu akan dihantui rasa bersalah hingga akhir hayat.
Dan ini sedikit sebanyak mengingatkan aku bahawa, maut tidak datang mengikut umur. Tak kira tua, tak kira muda. Jika Allah sudah tetapkan, ianya akan datang juga.
Sudah cukupkah iman untuk aku bawa ke daerah sana?
No comments:
Post a Comment
Komenlah Aku