Saturday, September 08, 2012

CRUSH AKU SEORANG BIDADARI - PETIKAN DARI ZINE SKANDAL

Aku melangkah longlai. Cuaca terik buat aku makin lemah. Macam Ultraman yang berdada lip lap lip lap menunggu tenaganya kering. Kadang-kadang aku berfantasi dan imajinasi. Burung hering sedang berlegar-legar di atas kepala aku. Menunggu aku tumbang rebah ke bumi dan menjadi mayat. Memamah cebis-cebis daging aku dengan rakus. Selisih malaikat 44!
Syiling yang aku genggam berkerincing. Aku goncangkan dalam gumpalan penumbuk. Saja aku mainkan begitu. Supaya hilang fantasi dan imajinasi tadi. Langkah aku makin laju. Blok-blok rumah pangsa separuh usang menjadi tempat teduhan dari terus dijirus cahaya mentari yang panas berdentum.
"Mok, awak nak pergi mana tengahari gini?"
Seorang makwe berbangsa tionghua memanggil aku dengan pelat cina. Dia yang hanya mengenakan blaus pendek polkadot berwarna hijau kaktus itu menjerit dari tingkat 4. Dia kawan sekelas aku. Biarpun kami dari blok yang berlainan tapi hubungan kami rapat. Aku selalu pinjam kerja rumah dia. Nama dia Suzee. Suzee makwe yang paling seksi dalam kelas. Budak melayu semua pakai baju sekolah jenis kurung tapi Suzee masih steady mengenakan pinafore. Walau kami masih di sekolah rendah tapi kami sudah pandai menilai kecantikkan anugerah tuhan.
"Saya nak pergi kedai Maniam. Awak nak ikut tak?"
"Tunggu!"
Sebentar kemudian Suee turun dan berjalan sekali dengan aku menuju kedai Maniam. Tersengih-sengih muka dia sambil tangannya menunjukkan not kertas RM1.
"Apak saya bagi, dia kirim belikan aiskrim. Dia suruh belanja awak sekali."
Waktu itu, walaupun masih lagi muda, otak aku hanya berfikir, tindakan Uncle Lim membelanja aku aiskrim hari ini seolah-olah merestui hubungan aku dengan Suzee. Rasa macam Uncle Lim bisik di telinga aku, "Lu jaga anak wa baik-baik" je.
Kedai Maniam terletak beberapa blok dari blok kediaman aku. Untuk ke sana, aku perlu melintas blok kediaman Suzee dan 3 blok yang lain sebelum sampai. Di kedai Maniam ada jual aiskrim potong. Aiskrim perisa kacang merah dalam potongan kiub bentuk empat segi. Sebanyak-banyak kedai runcit di Taman Cempaka ini, kedai Maniam je yang ada jual. Selain rasanya yang lebih berkrim dan banyak serdak kacang merah, harganya jual murah. 10 sen untuk sebatang.
Suzee beli 3 batang aiskrim. 1 untuk dia dan 2 untuk aku. Kami makan di padang permainan sebelah kedai. Dengan dipayungi pokok yang rendang dan angin petang, kami bagai 2 insan yang bercinta. Kadang-kadang Suzee mengelap jejesan ais krim yang comot di mulut aku. Dan kadang-kadang, aku menjilat jejesan ais krim cair yang mengalir di tangannya. Sungguh comel sekali. Adakah ini cinta monyet?
Yang menariknya, padang permainan ini menyediakan kerusi cement ferro tetapi kebanyakkan telah rosak kerana gejala vandalisme oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Sebagai lelaki gentleman, aku mempelawa Suzee duduk di kerusi dan aku hanya bersila di atas rumput. Ah, bukan sebarangan punya pelan yang aku sediakan. Sambil menjilat lelehan ais krim yang cair, mata sempat mengerling ke arah Suzee. Atau lebih tepat lagi ke arah spender Suzee. Waktu itu, perangai tak berapa nak dewa sangat. Akibat terlalu bergaul dengan budak lain yang terpesong jauh, aku terikut-ikut akhlak buruk yang satu ini. Tapi tak kan kau tak pernah buat kan?
Suzee membeli 5 batang ais krim potong lagi untuk dibawa pulang. Tak puas makan katanya. Asyik kena kecek dengan aku sahaja. Dah memang ais krim tu sedap. Mana cukup 2 batang saja. Aku beli lagi 3 batang dengan wang yang aku bawa awal tadi. Aku menemani Suzee hingga ke tangga blok. Dan terus menanti dan memerhati sehingga dia sampai ke muka pintu rumahnya. Berpuas hati dengan keselamatan Suzee, aku meneruskan perjalanan ke blok aku. Aku terpaksa berlari sebab takut ais krim ini akan cair. Tak sedap makan pula. Tak elok pula kalau bagi pada Sofia nanti.
Sofia?
"Lambatnya awak beli ais krim!" Satu suara lunak menjerit dari kejauhan. Aku hanya mampu menggaru kepala yang tidak gatal dan berlari-lari anak ke arahnya.
"Maaf. Saya kena tahan dengan geng-geng Samsul tadi." Aku berbohong dengan lancar sambil menghulurkan sebatang ais krim kepada Sofia.
"Awak tak apa-apa ke?" Sofia yang dari tadi leka bermain pondok-pondok di parking lot motosikal segera mendekati aku untuk mengambil ais krim dan memeriksaan keadaan aku.
"Tak ada apa-apa. Bergelut sikit je. Tak luka pun. Cuma lebam sikit je." Aku menunjukkan peha yang kebiruan kerana lebam. Bukan disebabkan bergelut dengan geng-geng Samsul tetapi akibat disesah oleh ayah sebab mendapat keputusan peperiksaan yang teruk malam semalam.
"Nasib baik awak terer. Sebab tu saya suka awak." Sengih Sofia sambil membuka bungkusan ais krim dan menyuakan ke mulutnya. Aku hanya mampu tersenyum dengan gelagat Sofia. Adorable sangat-sangat. Kena bohong pun percaya sahaja.
Sofia adalah jiran aku di blok rumah pangsa kediaman aku. Kami saling mengenali sejak aku mula berpindah ke kejiranan ini. Kebetulan, Sofia duduk bersebelahan dengan rumah aku dan secara automatiknya ibu Sofia menjadi pengasuh aku ketika ibu bapa aku kerja. Aku pernah juga terdengar gurauan ibu bapa kami yang mahu menjodohkan kami bila usia menginjak dewasa. Aku tak kisah jika cita-cita mereka dikabulkan tuhan kerana Sofia memang mempunyai ciri-ciri wanita cantik suatu hari nanti. Tetapi ada satu perangai dia yang aku kurang gemar. Sejak kecil.
Sofia yang sedang berjalan menuju ke arah parking lot motorsikal, memusingkan tubuhnya ke arah aku.
"Awak tadi bergelut dengan geng-geng Samsul atau awak berdating dengan budak cina blok belakang tu?"
"Saya bergelut. Sumpah." Aku angkat tangan kanan gaya berikrar. Sofia nampak berpuas hati dengan sumpah aku tadi. Aku tarik nafas lega.
Satu perangai yang aku kurang gemar dengan Sofia ialah dia seorang stalker. Kecil-kecil lagi dah jadi stalker. Itu pasal aku pasang skandal dengan amoi bernama Suzee.