Friday, December 05, 2014

AGEN BUSANA HITAM - PART 4



3



Di satu sudut bumi di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Gadis-gadis tempatan mula membanjiri perkarangan KL Live. Konsert Kay Park akan berlangsung beberapa jam sahaja lagi. Sepanduk-sepanduk memuja-muja Kay Park mula kelihatan. Dibawa oleh gadis-gadis genit berpakaian seksi. Kebanyakkan dari mereka mengenakan persalinan lolita gothik.
Di belakang pentas, Kay Park dilihat sedang berlatih lirik lagu yang bakal didendangkannya malam ini. Lagu berentak fastbeat menjadi pilihan. Dia mahu peminatnya berpukau dengan tarian rancak barunya. Dan persembahannya ini bakal diakhiri dengan lagu berentak ballad. Buat hati peminat wanitanya terbuai. Dan ketika mereka terbuat dan mahukan yang lebih, persembahan ini ditamatkan. Dengan itu, mereka akan jadi lebih teruja. Jika bernasib baik, peminat ini semua akan merusuh. Secara tidak langsung, dia akan jadi fenomena. Licik betul agenda Kay Park.
Masa berbaki 10 minit lagi sebelum Kay Park membuat kemunculan di pentas utama. Para penari sudah mula berkumpul di belakang pentas. Keadaan agak berserabut. Bagi meredakan sikit tekanan, Kay Park menyalakan sebatang rokok. Disedut dalam-dalam, memenuhi ruang dalam paru-parunya. Dihembus jauh-jauh. Tekanan mula menurun 30%. Hebat sungguh keredaan yang dapat diberikan oleh nikotin.
Dalam keadaan tegang sebegitu, muncul seorang lelaki dalam keadaan terhuyung-hayang. Dengan hanya berpakaian dalam, dia berlari menuju himpunan penari latar. Bertempiaran lari semua penari tersebut. Takut-takut ditetak atau dirogol. Zaman sekarang jangan buat main-main. Nenek berusia 60 tahun, berkain batik pun jadi mangsa. Apatah lagi gadis mongel gebu penari latar ini.
Terjelepuk terlentang lelaki tersebut. Wajahnya comot tapi fesyen rambut saling tak tumpah seperti Kay Park. Peminat fanatik Kay Park barangkali. Sedikit demi sedikit lelaki yang terlentang itu dikerumuni. Dengus mengah nafasnya yang rakus menghirup oksigen jelas kedengaran.
“Palsu… Dia palsu…”
Suara lelaki tersebut separa jelas namun dapat didengari oleh mereka yang berkerumun. Kay Park yang sedari tadi ralit berlatih tarian dan sambil menyanyi, berhenti. Lepas lama diperhati, wajah lelaki mengah tadi saling tak tumpah seperti Kay Park! Bukan sahaja saling tak tumpah, mereka salinan fotokopi manusia. Semuanya sama. Penari latar semua jadi kecoh. Masing-masing mula beredar dari belakang pentas. Perkara pelik sebegini jarang mereka mahu ambil pusing. Anggap sahaja ini hal samseng bandaraya. Wajah sama? Segalanya mungkin di zaman manusia bertuhan teknologi sekarang ini.
Kay Park jadi kaget. Persembahannya bakal berlangsung kurang 5 minit lagi dan semua penari latar sudah tiada.
“ Siapa kau? Kenapa perlu sabotaj persembahan aku? “ Kay Park menyoal lelaki tadi. Wajahnya yang tenang jadi merah padam menahan amarah.
“Ha. Ha. Ha.“ Lelaki mengah tadi bangun mengibaskan punggungnya yang berhabuk. “Kenapa? Takut?“
Tiba-tiba tirai di dewan persembahan dinaikkan. Penonton bersorak bagaikan terkena sampukan jembalang.
Kay Park! Kay Park! Kay Park!
“Dengar, peminatmu bersorak. Pastinya kau seseorang yang amat berpengaruh di sini”. Lelaki tersebut berjalan ke arah Kay Park sedikit demi sedikit. Pakaian dalamnya yang compang camping diselubungi asap hitam dan bertukar menjadi wanita yang bernama Nurakka.
“Nurakka?” Kay Park yang tadi berani kini berundur.
Tirai sudah dinaikkan. Penonton gamat bersorak. Dari permandangan penonton, mereka seperti menonton persembahan ala-ala teater.
“Lihat, peminat kau bersorak bagai mahu gila. Masih tidak mahu bertukar ke bentuk asal bangsa Xylar?” Nurakka tersengih menganjing.
Kay Park membuka kasut Macbeth sebelah kanannya. Asap ungu mula berkepul keluar dari dalam kasut dan mengelilingi Kay Park. Sedikit demi sedikit susuk tubuh Kay Park yang kurus membesar sehingga kelihatan kekar seperti ahli bina badan yang lengkap dengan mantel ber-hud warna jingga nipis. Penonton menjadi lebih teruja. Laungan nama Kay Park bergema seluruh dewan. Lebih teruja kerana Kay Park yang mereka lihat tadi membuat silap mata!
“Perkemaskan dirimu wahai Paragas, ajal bakal menantimu,” Ujar Nurakka lantas menyerang Paragas menggunakan tekpi berkembarnya.
Paragas hanya mengelak dan sekali sekala mengilas menggunakan senjata miliknya, nunchuck kembar tiga. Biarpun fizikalnya besar namun ia bukan menghalang Paragas untuk menjadi lincah. Dia nampak tenang laksana pahlawan yang sudah biasa bertempur. Menyimpan tenaga dan melepas bila hanya diperlukan.
Penonton kelihatan takjub dengan persembahan tak tersangka ini. Masing-masing bersorak bilamana Paragas atau Kay Park pada pandangan mata mereka, berjaya menepis semua serangan Nurakka. Malah dengan mudah sekali Nurakka dibelasah. Bertubi-tubi perutnya dilutut oleh Paragas. 4 batang tulang rusuk Nurakka patah. Mulut memuntahkan darah.
Kay Park! Kay Park! Kay Park!
Paragas makin bersemangat bila mendengar nama Kay Park dilaungkan.  Dia hanyut dalam gema sorak. Jiwanya melayang. Langsung terlupa perihal Nurakka yang cedera parah dibantainya tadi. Langsung lupa bahawa Nurakka tadi cuma cedera, bukan mati. Kemasyhuran bisa buat semua makhluk tuhan alpa.
Paragas mendepangkan tangan menghadap penonton yang bersorak. Penonton mana yang fanatik menitiskan air mata. Atas sebab apa, itu kurang pasti. Sorakan bertambah kuat bila tangan yang didepang tadi turun dan terkulai. 2 batang besi berwarna gangsa terpacak di dada Paragas. Darah mengalir dari mulut dan dada. Bila batang besi itu dicabut, Nurakka menendang Paragas dan Paragas tersungkur ke arah penonton.
Penonton semua bertempiaran. Menjerit ketakutan, takut-takut mereka menjadi mangsa ditikam seterusnya seperti Kay Park. Persembahan yang mengkagum tadi menjadi persembahan yang paling menakutkan.
Jasad Paragas mencair. Dan menyerap ke karpet. Hilang tanpa kesan. Nurakka yang parah merapati nunchuck kembar tiga milik Paragas. Diambil dan disimpan disebalik jubah hitam ber-hudnya. Dengan perlahan-lahan dia melangkah menggunakan pintu kecemasan sebelum ada orang yang melihatnya. Dengan kecederaan yang sebegini parah, agak mustahil untuk dia jugakan kuasa teleportasi.
Siang esoknya, penuh di dada-dada akhbar tentang kejadian yang berlaku di KL Live semalamnya. Misteri kehilangan Kay Park menjadi tanda tanya. Tercapai juga hasrat Paragas mahu menjadi popular dan berada di muka depan akhbar. Tapi popularnya bukan kerana karier. Namun ada juga yang bersorak gembira tas kejadian malang semalam. Dia tak lain dan tak bukan ialah, Kay Keddy, Presiden Persatuan ArtGuy.

Thursday, December 04, 2014

AGEN BUSANA HITAM - PART 3



2

 
Bazar Karat kelihatan seperti malam yang biasa-biasa. Brader-brader jurujual baju terpakai sibuk menarik beg yang berisi jualan mereka. Ada juga yang menyusun jualan mereka di atas tar yang hanya dilapik kanvas biru putih. Ada juga yang menggantungkan di penyangkut baju. Brader-brader jurujual air pula tak henti-henti ke hulu hilir mengangkut ais dari van ke tempat jualan air. Peluh mengalir bersatu dengan ais yang dipikul. Akak-akak yang jurujual barang kosmetik dan lens sesentuh sibuk melayan pembeli yang rata-ratanya makcik-makcik yang baru pulang dari kerja. Pendek kata, inilah rutin kehidupan di sini, di Bazar Karat.
Keadaan aman seperti malam-malam yang biasa.
BAM!
Bunyi kuat yang entah datang dari mana buat orang ramai yang hingar bingar tadi diam seketika. Bak kata orang melayu, ada malaikat lalu. Sesaat kemudian bunyi sok-sek-sok-sek orang ramai menduga asal datangnya bunyi tadi.
BAM! BAM!
Bunyi kuat kali kedua ini disertai dengan kelibat objek yang jatuh di tengah-tengah siar kaki diikuti dengan kelibat objek satu lagi yang jatuh di atas objek jatuh mulanya. Aspalt berterbangan serentak dengan jatuhan tadi menyebabkan orang ramai berundur agar tidak tercedera. Asap berbau sengit seakan ammonia menyelubungi objek berkenaan. Orang ramai mula berundur selangkah demi selangkah sehingga objek tersebut dapat dipastikan. Namun, dasar orang Malaysia, ada juga yang sanggup membahayakan diri mendekati objek berkenaan untuk mengambil gambar. Jelas sekali mereka mahu memuatnaik di dalam Facebook atau paling tidak, akan di-instagram-kan di laman sosial Twitter.
Dua susuk tubuh manusia mula kelihatan di sebalik asap tebal yang mula menipis dipuput bayu Selat Tebrau. Seorang wanita bersaiz sederhana dengan berpakaian sepersalinan hitam dengan mantel baldu ber-hud warna jingga nipis mula kelihatan. Tangan kanannya mencekak batang leher seorang pemuda berpakaian K-Pop lengkap dengan kasut Supra warna emas. Tergantung. Kakinya bergelitik mahu lepaskan diri. Ibarat cicak yang dijadikan permainan si kucing. Dibunuh tidak, dimakan pun tidak.
“Mana kawan-kawan kau yang lain?” Tanya wanita itu dengan nada garang.
“Siapa kau? Aku tak kenal kau. Lepaskan aku!” Jerit pemuda itu pula.
“Apa kau sudah mahu mengaku asalmu? Dasar bangsa Xylar yang tak sedar diri.” Bentak wanita tersebut lalu melemparkan pemuda tadi.
Orang ramai jadi huru hara. Ada yang bergegas menutup gerai jualan. Ada juga bergegas ke kenderaan masing-masing. Pengawal bazaar pun tak boleh lakukan apa-apa selain menunggu bantuan tiba. Tenaga 2 makhluk ini tidak tara manusia. Tak terlawan.
Pemuda yang tersembam ke permukaan asphalt mula bangkit. Kasut Supra warna emas sebelah kaki kanan dibuka dan dipegang dengan tangan kanan. Matanya berubah kebiru-biruan. Asap aneh berwarna jingga yang datang dari hala mana mula muncul mengelilingi kasut Supra warna emas yang dipegang di tangan kanannya. Lalu membentuk cokmar berkembar. Tubuhnya berubah sedikit demi sedikit bermula dari kepala. Oh! Pemuda itu sebenarnya ialah Mumbalak yang menyamar dalam bentuk manusia. Entah apa selera Mumbalak sehingga sanggup menyamar sebagai pemuda berpakaian K-Pop.
“Sudahku jangka. Perhitungan aku tak pernah tersasar.” Kata wanita sambil menghunuskan tekpi berkembar warna gangsa dari pergelangan pinggangnya.
Serangan bertubi-tubi oleh wanita tadi menyebabkan Mumbalak yang belum berubah sepenuhnya ke bentuk asal bangsa Xylar mula jadi kucar kacir. Tenaganya masih dalam bentuk manusia. Jurus senjata tekpi berkembar wanita ini amat luar biasa tetapi langkahnya amat diingatinya. Dek kerana khayal mengingatkan butir-butir memori silam, Mumbalak langsung terlupa jurusnya. Tekpi berkembar tersebut menusuk dadanya dan nyawa pun sedikit demi sedikit meninggalkan jasad Mumbalak.
“Aku sudah ingat. Kau… Kau… Nurakka?”
“Ya. Sekarang perkemaskan dirimu wahai Mumbalak, sebelum ajal menantimu”, kata wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Nurakka.
“Argh!” Jerit Mumbalak sambil melemparkan cokmarnya ke langit dan mengeluarkan cahaya terang seperti suar kecemasan. Jasadnya tercampak di bumi. Tak bermaya. Tak bernyawa.
Jasad Mumbalak yang terbaring di atas jalanraya mula mencair dan mengeluwap. Nurakka mengambil cokmar yang ditinggalkan Mumbalak. Dan menghilang dalam bentuk asap hitam. Orang ramai yang dari tadi terkesima, mula berborak sesama mereka. Masing-masing meluahkan rasa kecewa kerana tidak sempat merakam detik-detik tadi ke dalam telefon pintar mereka. Ya, dasar manusia berteknologi.

Wednesday, December 03, 2014

AGEN BUSANA HITAM - PART 2



1


Tidak ramai yang tahu, di satu sudut di bumi Johor Bahru. Sekumpulan makhluk mula berhimpun. Mereka menjelma entah dari hala mana. Satu demi satu makhluk ini hadir dalam bentuk bayang yang amat menakutkan turun dari langit seakan dewa kematian tetapi mengubah kepada bentuk manusia apabila sampai ke sebuah altar yang dikelilingi jamung dengan api berwarna biru. 5 makhluk yang berselubung dengan mantel baldu ber-hud warna jingga nipis merapati meja pemujaan dengan cogan alam masing-masing.
“Mengapa kau menyeru kami ke sini, Jagindas?” Makhluk bertopeng putih memulakan bicara.
“Kau tenang saja dulu, Karambit. Apa yang kau terburu?” Yang bertopeng biru bernama Mumbalak pula mencelah.
“Saudaraku, maaf dengan panggilan tanpa sebarang notis ini. Aku ada berita kecemasan yang tidak dapat ditangguh.” Jagindas memulakan bicara
Jelas sekali makhluk-makhluk ini tidak mengenali teknologi manusia yang dinamakan telekonferens.
“Mesti kau semua masih ingat lagi mangsa pemujaan kita yang pertama sewaktu kita mula sampai ke bumi ini.” Jagindas melemparkan soalan.
“Mana mungkin kami boleh lupa perempuan montok itu. Ha ha ha.” Katipang menjawab. Dengan memori nakal sewaktu itu mula bermain di fikirannya.
“Ya, buas! Bagai kuda liar di padang ragut Mongolia. Ha ha ha.” Kali ini Paragas pula yang menyambung.
“Manakan tidak liar, habis dilibas burungnya sehingga senak berminggu lama. Ha ha ha.” Katipang mencelah. Kali ini gelaknya disambut dengan gelak makhluk yang lainnya kecuali Paragas.
Dengan muka monyok, Paragas melemparkan topengnya ke altar, “Apa yang penting sangat? Jika diseru hanya sekadar untuk mentertawakan aku, aku ada urusan yang lebih utama dari ditertawakan.”
“Sudahlah kawan. Jangan kamu merajuk lagi. Sudah serupa nangka bonyok. Sebenarnya aku terima sepucuk surat bertinta darah dari isteri Sumajang di Xylar malam semalam. Tidak lena tidur dibuatnya.” Jagindas mula bercerita.
“Sumajang, sahabat kita di Xylar telah mengalami kecelakaan. Kepalanya dipenggal, kulitnya disiat dan tubuh malangnya di gantung di persimpangan jalan. Menurut kata-kata di jalanan, jurus seumpama ini hanya dimiliki oleh keturunan Masmerah, perempuan yang diculik dan bawa ke bumi dulu.”
“Ah, itu perkara 10 tahun lepas. 10 tahun sebelum kita dapat pelajari jurus-jurus maut di bumi ini. Aku pasti kita mampu membanteras apa sahaja kecelakaan yang dialami Sumajang.” Kata Paragas dengan garang. Sejak dari di Xylar lagi, sifat garang ini yang tidak dapat dikawal oleh Jagindas, selaku ketua.
Makhluk Xylar yang lain hanya mengangguk tanda setuju dengan kenyataan Paragas.
“Itu silap Sumanjang sendiri. Baru sampai ke Bumi sudah rindu Xylar. Belum menimba ilmu, sudah rindu belaian isteri. Dasar lelaki cengeng.” Ujar Katipang.
“Aku sekadar mahu saudaraku berhati-hati.” Jaragas mengingatkan.
“Jangan kau khuatir saudaraku, selagi panji alam kurniaan tok guru ada di tangan kita, tiada sebarang senjata dan ilmu yang ampuh untuk menewaskan kita.” Kata Karambit penuh bongkak, “Jika tiada apa lagi hal yang penting, aku bergegas pulang dahulu. Takut-takut manusia akan merusuh jika kedai karaokeku tidak buka menjelang malam. Ha ha ha.”
Lalu Karambit pun menghilang dalam bentuk asap hitam yang kemudiannya menipis dipuput angin malam.
“Jika begitu, kami juga mahu mengundur diri. Semua kita lebih berhati-hati selepas ini. Sampaikan salam kami kepada anakmu. Lama sungguh tak bertemu.” Ujar Mumbalak, yang paling senyap, sambil mengulum senyum. Dan Paragas serta Katipang turut menghilang menyerupai bebola api dan kemudian meluncur ke udara. Berpecah ke arah masing-masing.
“Aku cuba beri amaran awal sahabatku. Cuma pandai-pandai kamu untuk mentafsirnya.” Ujar Jagindas, yang berubah menyerupai bentuk burung. Terus terbang keluar dari bangunan usang yang dahulu dimimpikan menjadi pusat membeli belah bernama Kemayan City.

Tuesday, December 02, 2014

AGEN BUSANA HITAM - PART 1

Untuk memulakan nyawa baru blog ini, saya akan muatnaik cerpen yang pernah saya tulis untuk buku Kultus Pop satu ketika dulu.

Bahagian baru akan dimuatnaik setiap hari jam 2.00 pm.

Enjoy!








PROLOG

Langit Johor Bahru tidak seperti petang-petang hari kebiasaannya. Senjanya jingga yang luar biasa. Ada biasan merah Marikh. Rakyat jelata memandang kagum kejadian aneh ini di Pantai Lido. Ramai yang mengambil kesempatan untuk memberhentikan kereta di bahu jalan. Ada yang bergambar, ada yang ber-instagram dan tidak kurang juga yang ber-twitpic. Mungkin juga segelintir kecil yang memuatnaik gambar ke dalam akaun Facebook masing-masing. Semuanya dengan tujuan untuk berkongsi dan mengabadikan momen sekali-dalam-sejuta ini kepada rangkaian kawan-kawan di internet. Dan tidak kurang juga yang mahu riak.
Petang makin larut. Lalulintas bertambah sesak. Lagi-lagi waktu itu adalah waktu orang pulang dari tempat kerja. Makin bertambah orang yang mahu berhenti di bahu jalan. Hinggakan abang Trafik tak mampu nak halang. Yang tidak berhenti, mungkin ada alasan kukuh yang lain seperti takut emak marah sebab balik lambat, nak ambil anak balik sekolah, isteri suruh singgah pasar beli ikan selar kuning dan pelbagai alasan logik yang lain. Tetapi kebanyakkan antara mereka berkongsi alasan yang sama; tidak memiliki telefon pintar, sama ada tidak mampu atau malas nak beli.
Kejadian aneh ini mendapat liputan luas di dalam media cetak, media massa dan media elektronik. Para blogger yang mencari jumlah pengunjung yang banyak akan menulis tentang teori-teori konspirasi berkaitan dengan kejadian ini. Para artis twitter mentweet tentang pendapat mereka dan follower mereka akan retweet. Golongan serbanistas pula terus mengaitkan fenomena alam ini dengan dunia akhir zaman tanpa mengetahui asal usul fenomena ini dan berbangga apabila pendapat mereka dikongsi dengan banyaknya di dalam Facebook.  Muka depan akhbar aliran utama memaparkan gambar fenomena tersebut dengan tajuk berita yang sangat mengujakan para pembaca. Senang kata fenomena ini menjadi bualan ramai. Bermula dari di Johor Bahru sehingga ke Lahad Datu.

Saturday, July 06, 2013

HENSEM KE TIDAK?

Aku peraga baju baru depan emak yang sibuk menumis.

"Mak, hensem tak?"

Emak menjeling, kemudiannya sambung menumis.

"Gemok."

Aku cucuk pinggang emak, "Orang tanya hensem ke tak?"

Emak melatah sikit, "Ye la, emak jawap gemok."

Aku mencebik. "Siapa suruh masak sedap sedap" Aku sambung mengomel.

"Siapa suruh makan?" Emak jawap tanpa toleh muka aku. Tangan kanannya sibuk menumis kangkung goreng belacan.

Di meja makan, siakap 3 rasa telah terhidang. Papadom satu tupperware sudah hampir sejuk.

Siapa yang boleh tahan, kan?

BELAJAR PAKAI KAIN BATIK

Ada seorang cashier akan melangsungkan perkahwinan tak lama lagi dalam usia muda. Lalu saya mengusiknya, "Awak dah kena belajar pakai kain batik dah ni."

"Ah, malas ah bang. Aku tidur pakai boxer je la bang. Bukan laki aku marah pun." Dia jawab sungguh-sungguh.

"Ini bukan soal laki awak marah atau tak.", Saya jawab slow-slow, takut dia tak dapat tangkap apa yang saya cuba sampaikan, "Ini soal lain. Tak caya tanya dia tu."

Saya muncungkan bibir ke arah seorang lagi cashier yang juga kahwin muda, kira-kira 3 bulan yang lepas.

"A'ah. Tapi aku pakai seminggu sekali je kain batik. Khamis malam Jumaat. Smooth je. Hehehe."

SUPAYA APA AKU PINDAH NI?

Terasa brader-brader sangat bila ada adik-adik sekerja yang bertanya tentang resepi kehidupan, perihal kedewasaan hingga ke tanggungjawab perkahwinan. Masing-masing dah pasang angan-angan nak kahwin dah, which is bagus.

Saya kadang tu risau juga. Apa tujuan saya pindah kerja dari tempat yang semuanya lelaki ke tempat yang gegadisnya vouge the vast seramai tidak tapi semuanya nak kahwin awal tanpa saya sempat nak ngorat, kan?

Ah, cari kerja lain la gini. Ahaks.

Saturday, September 08, 2012

CRUSH AKU SEORANG BIDADARI - PETIKAN DARI ZINE SKANDAL

Aku melangkah longlai. Cuaca terik buat aku makin lemah. Macam Ultraman yang berdada lip lap lip lap menunggu tenaganya kering. Kadang-kadang aku berfantasi dan imajinasi. Burung hering sedang berlegar-legar di atas kepala aku. Menunggu aku tumbang rebah ke bumi dan menjadi mayat. Memamah cebis-cebis daging aku dengan rakus. Selisih malaikat 44!
Syiling yang aku genggam berkerincing. Aku goncangkan dalam gumpalan penumbuk. Saja aku mainkan begitu. Supaya hilang fantasi dan imajinasi tadi. Langkah aku makin laju. Blok-blok rumah pangsa separuh usang menjadi tempat teduhan dari terus dijirus cahaya mentari yang panas berdentum.
"Mok, awak nak pergi mana tengahari gini?"
Seorang makwe berbangsa tionghua memanggil aku dengan pelat cina. Dia yang hanya mengenakan blaus pendek polkadot berwarna hijau kaktus itu menjerit dari tingkat 4. Dia kawan sekelas aku. Biarpun kami dari blok yang berlainan tapi hubungan kami rapat. Aku selalu pinjam kerja rumah dia. Nama dia Suzee. Suzee makwe yang paling seksi dalam kelas. Budak melayu semua pakai baju sekolah jenis kurung tapi Suzee masih steady mengenakan pinafore. Walau kami masih di sekolah rendah tapi kami sudah pandai menilai kecantikkan anugerah tuhan.
"Saya nak pergi kedai Maniam. Awak nak ikut tak?"
"Tunggu!"
Sebentar kemudian Suee turun dan berjalan sekali dengan aku menuju kedai Maniam. Tersengih-sengih muka dia sambil tangannya menunjukkan not kertas RM1.
"Apak saya bagi, dia kirim belikan aiskrim. Dia suruh belanja awak sekali."
Waktu itu, walaupun masih lagi muda, otak aku hanya berfikir, tindakan Uncle Lim membelanja aku aiskrim hari ini seolah-olah merestui hubungan aku dengan Suzee. Rasa macam Uncle Lim bisik di telinga aku, "Lu jaga anak wa baik-baik" je.
Kedai Maniam terletak beberapa blok dari blok kediaman aku. Untuk ke sana, aku perlu melintas blok kediaman Suzee dan 3 blok yang lain sebelum sampai. Di kedai Maniam ada jual aiskrim potong. Aiskrim perisa kacang merah dalam potongan kiub bentuk empat segi. Sebanyak-banyak kedai runcit di Taman Cempaka ini, kedai Maniam je yang ada jual. Selain rasanya yang lebih berkrim dan banyak serdak kacang merah, harganya jual murah. 10 sen untuk sebatang.
Suzee beli 3 batang aiskrim. 1 untuk dia dan 2 untuk aku. Kami makan di padang permainan sebelah kedai. Dengan dipayungi pokok yang rendang dan angin petang, kami bagai 2 insan yang bercinta. Kadang-kadang Suzee mengelap jejesan ais krim yang comot di mulut aku. Dan kadang-kadang, aku menjilat jejesan ais krim cair yang mengalir di tangannya. Sungguh comel sekali. Adakah ini cinta monyet?
Yang menariknya, padang permainan ini menyediakan kerusi cement ferro tetapi kebanyakkan telah rosak kerana gejala vandalisme oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Sebagai lelaki gentleman, aku mempelawa Suzee duduk di kerusi dan aku hanya bersila di atas rumput. Ah, bukan sebarangan punya pelan yang aku sediakan. Sambil menjilat lelehan ais krim yang cair, mata sempat mengerling ke arah Suzee. Atau lebih tepat lagi ke arah spender Suzee. Waktu itu, perangai tak berapa nak dewa sangat. Akibat terlalu bergaul dengan budak lain yang terpesong jauh, aku terikut-ikut akhlak buruk yang satu ini. Tapi tak kan kau tak pernah buat kan?
Suzee membeli 5 batang ais krim potong lagi untuk dibawa pulang. Tak puas makan katanya. Asyik kena kecek dengan aku sahaja. Dah memang ais krim tu sedap. Mana cukup 2 batang saja. Aku beli lagi 3 batang dengan wang yang aku bawa awal tadi. Aku menemani Suzee hingga ke tangga blok. Dan terus menanti dan memerhati sehingga dia sampai ke muka pintu rumahnya. Berpuas hati dengan keselamatan Suzee, aku meneruskan perjalanan ke blok aku. Aku terpaksa berlari sebab takut ais krim ini akan cair. Tak sedap makan pula. Tak elok pula kalau bagi pada Sofia nanti.
Sofia?
"Lambatnya awak beli ais krim!" Satu suara lunak menjerit dari kejauhan. Aku hanya mampu menggaru kepala yang tidak gatal dan berlari-lari anak ke arahnya.
"Maaf. Saya kena tahan dengan geng-geng Samsul tadi." Aku berbohong dengan lancar sambil menghulurkan sebatang ais krim kepada Sofia.
"Awak tak apa-apa ke?" Sofia yang dari tadi leka bermain pondok-pondok di parking lot motosikal segera mendekati aku untuk mengambil ais krim dan memeriksaan keadaan aku.
"Tak ada apa-apa. Bergelut sikit je. Tak luka pun. Cuma lebam sikit je." Aku menunjukkan peha yang kebiruan kerana lebam. Bukan disebabkan bergelut dengan geng-geng Samsul tetapi akibat disesah oleh ayah sebab mendapat keputusan peperiksaan yang teruk malam semalam.
"Nasib baik awak terer. Sebab tu saya suka awak." Sengih Sofia sambil membuka bungkusan ais krim dan menyuakan ke mulutnya. Aku hanya mampu tersenyum dengan gelagat Sofia. Adorable sangat-sangat. Kena bohong pun percaya sahaja.
Sofia adalah jiran aku di blok rumah pangsa kediaman aku. Kami saling mengenali sejak aku mula berpindah ke kejiranan ini. Kebetulan, Sofia duduk bersebelahan dengan rumah aku dan secara automatiknya ibu Sofia menjadi pengasuh aku ketika ibu bapa aku kerja. Aku pernah juga terdengar gurauan ibu bapa kami yang mahu menjodohkan kami bila usia menginjak dewasa. Aku tak kisah jika cita-cita mereka dikabulkan tuhan kerana Sofia memang mempunyai ciri-ciri wanita cantik suatu hari nanti. Tetapi ada satu perangai dia yang aku kurang gemar. Sejak kecil.
Sofia yang sedang berjalan menuju ke arah parking lot motorsikal, memusingkan tubuhnya ke arah aku.
"Awak tadi bergelut dengan geng-geng Samsul atau awak berdating dengan budak cina blok belakang tu?"
"Saya bergelut. Sumpah." Aku angkat tangan kanan gaya berikrar. Sofia nampak berpuas hati dengan sumpah aku tadi. Aku tarik nafas lega.
Satu perangai yang aku kurang gemar dengan Sofia ialah dia seorang stalker. Kecil-kecil lagi dah jadi stalker. Itu pasal aku pasang skandal dengan amoi bernama Suzee.

Saturday, June 23, 2012

SKROL KE BAWAH UNTUK ENTRI TERKINI - [ IKLAN ] LEBIH BAIK MATI DENGAN PRINSIP DARIPADA HIDUP MACAM PONDAN - GASAK, JUN 2012



Tajuk : Gasak
Penerbit : Sindiket Sol-Jah
Harga : RM20
Genre : Aksi
Tarikh Terbitan : Jun 2012

Pihak polis yang berkubu di hadapan pagar itu cuba meleraikan penunjuk perasaan yang bersenjatakan buluh-buluh runcing dengan papan sepanduk yang menghina negara sambil ketua mereka memekik-mekik mencarut kata-kata nista seperti orang hilang akal dengan pembesar suara.

-- Benci dan Dendam di Gawang Doa oleh Rudy

Penumbuk Wajih melayang ke arah Hani. Dek sudah menyangka perkara ini akan berlaku, Hani sempat mengelak. Penumbuk Wajih terkena tubir mata Hani tetapi lebih tersasar dan mendarat di jenang pintu. Teringat kata-kata Tina, penumbuk sulung Hani mendarat pada rusuk kanan Wajih. Tertunduk-tunduk Wajih memegang rusuknya.
-- Cinta Gila oleh Ay Yusof

Dengan sekuat tenaga, dia menyauk ketiak kanan Nadira dan menghumbannya ke arah pintu. Uncle Mokhsin dan temannya yang tercegat, tidak sempat bertindak atau mengelak apabila pisau yang tergenggam kukuh di tangan kanan Nadira merodok ulu hati wanita kurus tinggi berselendang hitam. Kepala Nadira pula menghentam dinding konkrit dan suasana dirasakan kelam, lalu bertukar gelap.
-- Culik oleh Dayang Noor

He still remembered the feeling of his heart sinking and breaking in two as he saw what was left of Scarlett, a bloody half a torso, her legs half a kilometre away from the scene, her intestines making a long trail from the place she got hit, head tilted at such an impossible angle due to a snap in the neck, mouth agape trickling blood with those lifeless, glossy eyes staring back at the husband.
-- I'm Sorry oleh Tryana

Pemuda itu telah nekad benar mahu menetak batang leher menteri. Mata parang telah diangkat tinggi. Tinggal masa untuk dihayunkan sahaja ke wajahnya. Pucat bagaikan benar-benar malaikat maut telah mencabut nyawanya, menteri kegigilan dalam ketakutan. Situasi begitu membuatkan akalnya yang selama ini bijak mencipta retorik, gagal berfungsi untuk memikirkan jalan keluar bagi menyelamatkan diri.
-- Keris Hitam Bersepuh Kuning oleh Fandy Taher

Dua pihak sedang menunggu detik yang sesuai untuk bertindak. Jimmy sedang menjulang gitar. Rancangannya gitar tersebut akan dijatuhkan tepat ke atas kepala Robert. Sedang Robert pula sudah bersiap sedia dengan batang mikrofon yang akan dilibaskan ke kepala Jimmy selepas Jimmy menjatuhkan gitarnya. John memerhati dengan cemas. Harapnya tiada apa yang buruk terjadi.
-- Konserto Rock Terakhir oleh Zan Zaini

Aku tumpukan sepenuh tenaga pada penumbuk kanan lalu terus aku lepaskan betul-betul ke arah anak tekaknya dan ini terus menyebabkan mamat tadi menekup tangan ke anak tekaknya menahan keperitan. Selepas puas hati dengan kekalahan mamat tadi, aku terus tak ingat apa-apa. Aku syak, penangan but Red Wing dah mula buat otak aku mengalami konkusi.
-- Legenda Skudai Kiri oleh Fikrikacak

Dengan sekali libas, tangan kanan aku menepis muka Zen Zakaria. Lutut kiri aku maju ke dadanya. Sedetik kemudian Zen Zakaria merasa tumbukan kiri yang kuat singgah ke mukanya. Dia terpelanting. Pinggan mangkuk bertaburan di lantai restoran. Sisa-sisa makanan tumpah bersepah. Zen Zakaria terbaring di bawah meja. Mukanya berlumuran darah. Dua gigi depannya patah.
-- Liga Gusti Bawah Tanah oleh Tok Rimau

Samurai Takamura menyerang, sambil menebas-nebas dengan katana. Katsume juga menyerang, dan, serentak dengan itu dia menebas celah kelangkang Samurai Takamura – tepat – tus! Kotek Takamura jatuh mengeletek ke tanah. Katsume memungut kotek yang telah terpangkas dari tubuh musuhnya itu, lalu menggantungkan ke leher.
-- Perempuan Terakhir Penegak Panji Kesamarataan oleh Sinaganaga

Si Bagong pantas menyambar tengkuk Lang Merah dengan kaki kanannya. Sekarang situasi sudah terbalik. Si Bagong berada di atas dan Lang Merah berada di bawah. Si Bagong mengembangkan sayapnya dan berkokok sekuat hati sebelum taji kanannya yang bersarung besi tadi diseret ke leher Lang Merah. Berhamburan darah panas Lang Merah membasahi gelanggang.
-- Taji Kehidupan oleh Aman

Anak-anak buah Chang sudah dibelasah separuh mati oleh Jinggo. Ambulans sudah standby. Tunggu isyarat sahaja. Sekarang hanya tinggal Chang dan Jinggo. Melihatkan anak buahnya lunyai dibelasah Jinggo, Chang mula goyah. Terasa bahagian pinggang ke bawah sudah terpasak ke bumi. Peluh jantan mula menitik satu persatu. Ketika ini, Chang mula terbayang Cikgu Solehah dirangkul kemas oleh Jinggo.
-- Gangster Taman Mawar oleh Abrar Che Teh

Husin melontar kapaknya ke arah lelaki itu. Berpusing-pusing melayang dan terpacak tepat mata kapak di atas dahi. Darah memancut. Lelaki itu rebah ke bumi. Husin cuba keluar dari bilik itu, tetapi dihalang oleh empat lelaki bersenjata. Laksana boomerang, Husin melempar sebilah lagi kapaknya. Kapak itu berputar lalu mencantas leher keempat-empat lelaki tersebut. Kapak melayang kembali ke tangan Husin. Empat badan rebah, empat kepala bergolek.
-- Prima Jaya oleh Mat Jan

Li mengepal sekemas-kemas tangan dan menumbuk perut lawannya sekuat hati. Tanpa memberi peluang lawan bertahan, dia terus menumbuk bertubi-tubi bahagian kiri dan kanan rusuk. Li menepis tangan lawannya membuka ruang melancarkan buah pukul. Rasa sakit tulang tangan berlaga dengan tulang hidung tidak diendah. Bersepai darah memercik dari hidung dan mulut lawannya. Aripin semacam terpinga-pinga, tidak berkata apa-apa.
-- Samseng Kampung oleh Firol

Hassan menarik rambut Megat, lalu dipusingkannya. Megat tertiarap. Dengan sepantas kilat, Hassan mengilas tangan kanan Megat ke belakang sekuat hati, manakala sendi siku dipijak. PRAAKK!!! Tangan kanan Megat terkulai. Tulang-temulang bagaikan hancur. Megat merengus kasar, bagaikan lembu disembelih.
-- Sisakoin oleh Shahir Yusoff

Sumber : Sindiket Sol-Jah