Seminggu sebelum event berlangsung, aku dah mula korek tabung. Tabung aku masa itu bukan main berat. Buat guna tanah liat atau porselin, aku tahu mana satu. Tapi bentuk buah manggis. Kata ayah, tabung tu beli dekat Air Hitam. Syurga porselin di Johor. Untuk mengorek tabung ini memerlukan skill dan pemerhatian orang dewasa. Ayah telah turunkan skill dia pada aku. Hari minggu itu aku dapat korek dalam $3.00 (Waktu itu sign "RM" belum diperkenalkan lagi). Aku simpan dalam kantung syiling elok-elok. Esok nak bawa pergi sekolah. Nak beli kupon.
Pada hari sukan mula berlangsung, aku datang sekolah awal. Walaupun aku ditidakkan bakat untuk bersukan, namun aku tetap mengambil bahagian dalam hari sukan. Aku jadi penyorak. Bukan yang pom-pom tu. Tapi penyorak yang runcit-runcit je. Lepas selesai acara balapan, aku berlari ke arah gerai-gerai kecil yang disediakan.
Waktu itulah kali pertama aku buat transaksi prabayar dalam sejarah hidup aku. Guna teknik kupon. Aku guna habis $3 kupon yang aku beli minggu sebelumnya. Kalau tak habiskan, rugi. Aku siap tolong kawan habiskan kupon dorang. Pergh, masa itu memang syurga jajan. Super Ring la, jambu potong la, roti krim la, eskrim malaysia perasa milo la, kek hiro la... Masa itu $3 boleh beli macam-macam. Mee goreng ceduk pon baru 50sen.
Bila balik rumah, nak salin baju, aku selok poket. Eh, ada kupon lagi 50sen. Dalam pada aku tolong member abiskan kupon mereka, kupon aku sendiri masih berbaki. Alahai, tahun depan dah tak boleh guna lagi. Last-last aku redeem semula dengan ayah. Yeay!
Zaman itu keluarga aku hidup tak susah tak senang. Biasa-biasa orang marhaen. Tinggal di flat Taman Cempaka yang emak beli cara tolak gaji guna loan gomen. Selesa. Oleh kerana keluarga aku antara keluarga awal yang pindah ke situ, maka kami ada keistimewaan beli parking lot yang ada bumbung.
Tapi itu bukan cerita yang aku nak sampaikan.
Zaman itu aku pergi sekolah jauh. Naik motor dengan ayah. Hala ke bando JB sana. SK Nong Chik namanya. Sebab dekat dengan pejabat emak. Waktu tengahari emak boleh hantar lunch pada aku sebab belah petang lepas habis sekolah rendah, aku terus ke sekolah agama.
Naik motor pagi-pagi kena la bangun awal pagi. Masa itu kira power betul kalau budak umur 10 tahun bangun awal pagi. Satu-satunya motivasi untuk mandi pagi ialah mandi air panas dan emak buatkan milo sedap.
Waktu itu tak mampu nak beli water heater tapi emak gagahkan juga bangun lagi awal dari aku untuk panaskan air buat aku mandi.
Suatu pagi, nak dijadikan cerita, aku bangun lewat. Emak dah tiada di dapur. Dalam bilik tengah siap salin baju. Aku tahu emak dalam bilik sebab aku dengar suara dia membebel marahkan aku sebab bangun lambat. Punyalah kalut, aku terus tarik towel, buka pijama dan lari ke toilet. Aku tutup pintu dan terus ceduk gayung dalam tempayan yang emak biasa buat air mandi pagi aku. Selalu emak buat suam-suam suku.. Sedapsedap hangat badan orang kata.
Keceburrrr.....
"Arrrgghhhh....."
**********
Pagi itu aku tak ke sekolah. Emak dan ayah pun tak ke pejabat. Kami ke klinik untuk rawat badan aku yang melecur. Tapi takde la sampai kulit gelembong. Cuma badan merah-merah. Doktor bagi krim susuh sapu. 2,3 hari hilanglah la merah tu, kata doktor. Pagi itu emak lupa nak tambah air paip lebih sikit dalam tempayan. Aku pula boleh lupa nak rasa air dulu.